Rabu, 20 Ogos 2008

Tangguh sidang amalan biasa dalam BN
Saidah Hairan


SHAH ALAM -Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) yang dijangka bermula 20 hingga 21 Ogos ditangguhkan pada pertengahan Oktober tidak menyalahi undang-undang Tubuh Selangor.

Menurut Speaker Dun, Teng Chang Khim apabila sidang ditangguhkan ia akan ditambah bilangan hari bersidang malah jumlah hari tersebut akan melebihi mana-mana hari sidang ketika di bawah pentadbiran kerajaan BN.

"Ini bukan kali pertama sidang Dun ditangguhkan dan ia tidak menjadi isu," katanya.

Beliau yang pernah menjadi Ketua Pembangkang ketika di bawah pentadbiran BN, mengakui banyak sidang Dun yang ditangguhkan sehari malah ada setengah hari.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa kerajaan negeri sanggup menangguhkan sidang Dun kerana mahu memberi tumpuan pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos nanti.

Chang Khim menegaskan, Khir tidak perlu membuang masa menjadikan penangguhan sidang Dun itu sebagai satu isu.

Sebaliknya kata beliau, Khir perlu membangkitkan isu yang berkaitan rakyat daripada perkara remeh temeh.

"Sidang Dun hanya tukar tarikh dan tarikh yang dijangka itu belum diwartakan dan tidak menimbulkan sebarang masalah hanya di sudut pentadbiran," tegasnya.

Beliau berkata, penangguhan sidang Dun itu dilakukan bagi memberi masa yang cukup untuk semua pihak mengambil bahagian dalam sidang nanti._SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.