Isnin, 18 Ogos 2008

Rakyat sahut tuntutan Islam basmi rasuah, BN kerah jentera lawan rakyat - Anwar
Suara KeADILan

PERMATANG PAUH- Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim menyelar kesungguhan parti pemerintah menggerakkan sumber dan jentera mereka bagi menumpaskan kebangkitan rakyat.

Jelas pemimpin reformasi itu lagi di ceramah pilihanraya malam tadi, serangan demi serangan yang ditujukan oleh parti yang mendakwa mendaulatkan Melayu-Islam itu tidak lain tidak bukan hanyalah bagi memelihara kepentingan politik mereka.

“Kita dapat lihat hari ini, seluruh Kabinet Malaysia turun ke Permatang Pauh dengan segala kekuatan mereka. Kita harus tanya, mereka mahu lawan siapa? Mengapa mereka bersungguh mahu lawan kekuatan rakyat yang bermunajat kepada Allah?” tegas bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu disambut laungan takbir dari 10,000 hadirin malam itu.

Ribuan rakyat Permatang Pauh membanjiri ceramah yang di adakan oleh Pakatan Rakyat bertempat di satu kawasan lapang Boon Siew di Bukit Jelutong, Permatang Pasir. Anwar Ibrahim mengambil masa sekurang-kurangnya 45 minit menyampaikan ucapan beliau kepada lautan hadirin yang dipukau oratori mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa Islam menuntut umatnya menegakkan kerajaan yang amanah, serta membasmi rasuah dan jenayah, yang menzalimi rakyat.

“Mereka ada RM5 billion yang patut dicurahkan kepada rakyat, tetapi mereka ambil RM5 bilion itu under memperkayakan anak-pinak mereka,” marah Anwar disambut dengan laungan takbir yang jauh lebih kuat dari sebelumnya.

Ceramah Anwar malam itu dipantau oleh helikopter polis yang terbang rendah, menghalakan lampu spotlight kearah hadirin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sebab kita bangkit kerana kita sebagai Islam perlu bertanggungjawab kepada nasib masyarakat seluruhnya – Islam dan bukan Islam. Islam harus dihayati, hak kita mestsi dipertahankan, bangsa kita mesti dipertahankan, perpaduan dan kerukunan hidup antara kaum dan agama perlu dijaga seperti yang dituntut Allah,” kata mantan Presiden Abim itu.

Menurutnya, kerajaan akan melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan media bagi menyerang keperibadian beliau dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil ini. Katanya lagi, walaupun kerajaan dan Umno melakukan pelbagai fitnah dan penipuan, namun ia tidak akan mampu menghalang kebangkitan rakyat Permatang Pauh menuntut perubahan di negara ini.

“Kita nak tengok malam ini, kekuatan kabinet di bawah pimpinan Abdullah Badawi atau kekuatan rakyat dengan izin Allah” ujar beliau disusuli dengan laungan reformasi dari orang ramai.

Pakatan Rakyat, tegasnya lagi, berikrar akan membawa suara rakyat ke Parlimen dan sekaligus menuntut perubahan di negara ini bagi melawan segala penipuan dan kebobrokan yang dilakukan kerajaan Umno dan BN.

Anwar Pemimpin Bermoral

Ceramah yang bermula pada pukul 9.00 malam itu mengakibatkan kesesakan lebih 3 kilometer ke jalan menuju ke tempat ceramah berkenaan.

Tinjauan Suara keADILan mendapati, kesukaran mencari tempat letak kenderaan menyebabkan sesetengah penyokong terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk ke tempat ceramah, namun ia tidak mematahkan semangat penyokong-peyokong pakatan rakyat untuk mendengar ucapan yang disampaikan Anwar Ibrahim.

Turut hadir dalam ceramah berkenaan ialah Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga pengerusi KeADILan Pulau Pinang, Zahrain Hashim, Naib Presiden Pas, Husam Musa, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Abdul Ghani Shamsudin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Suara keADILan difahamkan, kesesakan yang berlaku turut menyebabkan kenderaan yang dinaiki oleh Anwar terperangkap dalam kesesakan lalu lintas menyebabkan sesetengah penyokong yang hadir mula merasa gelisah menunggu kehadiran beliau.

Sebelum menunggu ketibaan Anwar, hadirin mendengar ucapan yang disampaikan oleh Husam Musa, Zaharin Hashim dan Abdul Ghani Shamsuddin. Rata-rata mereka menyentuh mengenai pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar dan isu bersumpah Saiful dengan menjunjung Al-Quran.

Abdul Ghani Shamsuddin dalam ceramahnya memberitahu, beliau telah mengenali Anwar selama lebih 20 tahun ketika bekas Timbalan Perdana menteri itu masih belum berumah tangga dan memimpin gerakan Angkatan Belia islam Malaysia (Abim).

Menurutnya, Anwar pada masa mudanya gemar menelaah buku dari tokoh-tokoh seperti Iqbal, Mohammad Naser atau Hamka dan berbicara mengenai soal-soal pemikiran dan intelektual.

“Beliau adalah seorang aktivis Presiden Persatuan Bahasa Melayu di Universiti Malaya bahkan menjadi Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (GMI) dan kerana itu beliau membawa kebangkitan mahasiswa, demonstrasi 1974 dan lain-lain lagi.Yang menjadi perhatian beliau adalah soal-soal masyarakat, soal kemiskinan, soal negara” ujarnya.

Menurutnya, adalah sukar untuk beliau mempercayai tuduhan tersebut kerana sekiranya Anwar berpewatakan seperti itu, tentulah pada usia mudanya beliau cenderung menunjukkan sikap sedemikian.

Katanya, Anwar mempunyai keperibadian dan akhlak yang baik sepanjang beliau mengenali Anwar hinggakan semasa beliau mendirikan rumahtangga pun, jodohnya dicarikan oleh rakan-rakannya sendiri.

“Maka berdasarkan latarbelakang ini pertuduhan yang pertama dan siri kedua ini lebih tidak masuk akal lagi” ujarnya.

Beliau menambah, percanggahan bukti yang dikemukakan terhadap Anwar menunjukkan jelas Anwar telah dianiaya dengn bukti-bukti palsu sehingga pihak terbabit sanggup membelakangkan soal nilai keagamaan dan kemanusiaan.

Beliau menyifatkan Umno dan kerajaan kini telah terdesak sehingga sanggup mempergunakan agama akibat kerakusan kuasa dan bagi menghalang segala kejahatan rasuah mereka selama ini terbongkar.

Tepat jam 11.40 malam, Anwar tiba dengan disambut jeritan reformasi dan laungan takbir dari penyokong-penyokong pakatan Rakyat yang hadir. Anwar mengakhiri ucapannya dengan menyeru supaya rakyat di Permatang Pauh bersama membawa perubahan. Ceramah berkenaan berakhir kira-kira jam 12.30 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.