Khamis, 21 Ogos 2008

Projek tidak wujud, dua Exco dianiaya - MB Perak
Alhusseyn dan Johari Jaafar


IPOH - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan kewujudan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar yang didakwa menjadi punca penahanan dua Exco Kerajaan Negeri dan enam yang lain oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sehubungan itu, beliau menegaskan keyakinan bahawa mereka yang terbabit kemungkinan dianiayai.

"Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan mana-mana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar; projek tersebut tidak wujud, jadi mustahil kedua-dua Exco boleh membantu meluluskan projek itu," katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

"Kami yakin kedua-dua Exco dan rakan-rakannya telah dianiaya; Kerajaan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan akan terus tadbir dan urus negeri seperti biasa," katanya.

Nizar bagaimanapun menyerahkan kepada BPR untuk melakukan siasatan dan keputusan kes tersebut akan ditentukan melalui proses undang-undang.

Beliau juga berjanji akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Di masa yang sama, Nizar mengumumkan keputusan Pakatan Rakyat Perak untuk membentuk panel peguam untuk membantu pembelaan dua Exco terbabit.

Dua Exco Perak yang ditahan reman BPR bagi membantu siasatan semalam ialah Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga Adun Changkat Jering, Kepten (B) Osman Mohd Jailu dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan, yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Selain dua exco kerajaan negeri itu, yang lainnya ialah seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah, seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan dua orang peniaga.

Seorang lagi yang didakwa terlibat ialah bekas Adun Bota, Kepten (B) Usaili Alias.

Difahamkan, dua ahli exco yang ditahan itu, tidak terbabit dalam rasuah seks.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Pengerusi DAP Perak yang juga ahli exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan penahanan dua pemimpin Pakatan itu sebagai satu tindakan BN untuk melemahkan kerajaan negeri.

"Ini hanyalah satu percubaan untuk melemahkam Pakatan di Perak, dan satu percubaan untuk menyumbat mereka ke penjara," kata Ngeh, ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen, semalam.

Ngeh berkata, perkhidmatan kedua-dua ahli exco itu tidak akan digantung sepanjang penyiasatan dijalankan oleh BPR, sambil menegaskan bahawa mereka telah dianiaya.

"Kami mengesyaki yang mereka telah dianiaya. Jadi, bagaimana perkhidmatan mereka hendak digantung?" tegasnya.

Beliau juga menyentuh tentang 'tindakan pantas" BPR bertindak dalam kes-kes yang membabitkan wakil rakyat Pakatan.

"Apa yang paling mengecewa dalam hal ini, ialah mengapa BPR bertindak pantas sekali dalam mengambil tindakan terhadap kita, sedangkan kita juga telah membuat banyak laporan terhadap BN tentang perbuatan rasuah mereka?" soalnya.

Ngeh, yang juga ahli Parlimen Beruas, mempertahankan pemimpin Pakatan, sambil berkata mereka telah diingatkan supaya jangan terbabit dalam rasuah sebelulm kerajaan negeri ditubuhkan dahulu.

"Kita mahu mengisytiharkan bahawa kita telah memberi penekanan terhadap ketelusan dan penubuhan sebuah kerajaan yang bebas rasuah, sebelum kita menubuhkan kerajaan negeri," tambahnya. - tajdid _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.