Isnin, 4 Ogos 2008

Pilihan raya kecil Permatang Pauh singkat, kempen kurang 13 hari?
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Bahagian Parlimen Permatang Pauh menjadi tumpuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Noor hari ini.

Ezam menemui penduduk kawasan Permatang Pauh pada sebelah pagi menerusi program Perhimpunan Penyatuan Orang Melayu dan Anwar menemui penyokongnya menerusi program Pengisytiharan Pilihan Raya Kecil (Permatang Pauh) di Seberang Jaya.

Pagi ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berada di Pulau Pinang.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh bukan sahaja menjadi perhatian di kalangan pemerhati politik dan parti-parti politik, malah dilihat sebagai sesuatu yang serius oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang perlu mengambil kira pelbagai aspek untuk memastikan pengendaliannya berjaya.

Sambil mengakui soal mengendalikan pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang bakal didakan sesuatu yang mencabar, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia mencabar kerana pertama kali negara menyaksikan pilihan raya kecil seleps pilihan raya umum ke-12.

Malah, kata beliau, ia bakal melibatkan persaingan tokoh politik - penasihat PKR, yang bukan sahaja menarik perhatian tempatan tetapi juga negara-negara luar.

Mencabar

"Ini adalah satu pilihan raya yang perlu diberi perhatian serius, tapi ada memperlihatkan sedikit kelainan berbanding yang sebelum ini kerana ia pilihan raya kecil pertama (selepas 8 Mac lalu) tetapi fokusnya adalah besar," kata beliau kepada mStar Online sambil tidak menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya dengan cepat untuk mengisi kekosongan yang wujud.

Ketika ditanya sama ada SPR akan memperuntukkan tempoh kempen 13 hari sebagaimana disaksikan semasa pilihan raya umum ke-12, Wan Ahmad berkata, lazimnya tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil adalah lebih pendek berbanding jumlah hari berkempen pilihan raya umum.

"Saya tidak mahu mengulas aspek ini... ia akan dibincangkan dengan mendalam oleh SPR dalam mesyuarat Rabu ini.

"Tetapi pada pandangan peribadi saya, dalam pilihan raya kecil tempoh berkempen kemungkinan lebih pendek... tidak memerlukan tempoh yang lama, dan bukan tempat yang besar (berbanding pilihan raya umum).

"Yang pastinya undang-undang memperuntukkan minimum tujuh hari untuk berkempen," katanya lagi.

Tempoh berkempen

Lazimnya tempoh kempen ditentukan bagi pilihan raya kecil adalah antara lapan hingga 10 hari.

Bagaimanapun buat kali pertama sejak 1982, SPR telah membenarkan berkempen selama 13 hari ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

"Lagipun pilihan raya umum baru diadakan. Pilihan raya kecil tidak memerlukan tempoh yang lama untuk berkempen," katanya.

Kata beliau, Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang akan turut hadir dalam mesyuarat Rabu ini untuk memberikan taklimat mengenai pelbagai aspek.

"Pengarah negeri akan memberi taklimat mengenai beberapa aspek bagi membolehkan panel SPR membuat keputusan," katanya.

Khamis lalu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Permatang Pauh dilihat sebagai kubu kuat Anwar, yang pernah menyandangnya dari 1982 hingga 1999.

Beliau tidak bertanding pada 1999 selepas menghadapi kes mahkamah, sebaliknya diisi oleh Dr. Wan Azizah.

Seberapa segera pilihan raya kecil ini akan diadakan? Sebelum akhir Ogos ataupun awal September?

Hari pengundian

Difahamkan SPR sudah ada beberapa pertimbangan mengenai hari pengundian - minggu terakhir Ogos ini ataupun minggu pertama September.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor ketika ditemui mStar Online memberitahu segala-galanya akan diputuskan Rabu ini. "Tunggu hingga 6 Ogos," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, sama ada tempoh kuat kuasanya 60 hari perlu diadakan pilihan raya kecil juga ditentukan Rabu ini.

Tiga pertimbangan diambil kira: Pertama tempoh 60 hari berkuat kuasa mulai hari penyandang jawatan melepaskan kedudukannya, hari Speaker Dewan Rakyat memaklumkan SPR ataupun hari panel suruhanjaya mengadakan mesyuarat.

"Jadi ada tiga tarikh ini bagi menentukan tempoh 60 hari (menentukan tarikh pilihan raya)... ia berlainan dengan pilihan raya umum kerana dikosongkan serentak (semua kerusi)," katanya.

Mesyuarat Rabu ini akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.

Mengambil kira tiga minggu bagi keseluruhan proses pilihan raya, hari pengundian kemungkinan jatuh antara 24 dan 28 Ogos ini.

Memandangkan pilihan raya pernah diadakan pada bulan puasa ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Lunas, empat tahun lalu yang turut dimenangi calon PKR, jika SPR memberikan ruang yang lebih luas, pengundian kemungkinan diadakan minggu pertama bulan September ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.