Rabu, 6 Ogos 2008

Permatang Pauh tidak akan syor calon, tapi Ketua Umno Bahagian dipersetujui
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Umno Bahagian Permatang Pauh tidak akan mencadangkan nama untuk dipertimbangkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh melainkan jika diminta berbuat demikian oleh pucuk pimpinan.

Ketuanya, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, tindakan itu adalah bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan konflik dalam Umno kawasan itu kerana kemungkinan calon yang dipilih tidak dipersetujui sesetengah pihak.

"Keputusan untuk memilih calon akan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan BN tetapi jika pucuk pimpinan mahukan kita mencadangkan calon, barulah kita akan bincangkan.

"Tetapi kalau boleh biarlah calon yang dipilih BN itu nanti daripada kalangan anak tempatan kerana mereka lebih biasa dengan masyarakat di sini,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ketika ditanya sama ada Umno bahagian itu akan mencadangkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Pirdaus Ismail supaya diletakkan sebagai calon, Abdul Jalil menegaskan, pihaknya menyerahkan hal itu kepada Umno pusat untuk menentukannya.

Berhubung beberapa nama yang disebut-sebut termasuk dirinya yang berkemungkinan diletakkan sebagai calon, Abdul Jalil berkata, itu hanyalah spekulasi yang dibuat media.

"Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi kerana itu akan mencacatkan pemilihan calon oleh BN nanti.

Ketika ditanya berhubung mesyuarat Umno bahagian itu yang diadakan malam tadi, Abdul Jalil berkata, mesyuarat itu diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya tersebut dan tidak membincangkan isu calon.

Bagaimanapun, Pirdaus ketika dihubungi sejurus selepas itu menyatakan berlaku pengundian untuk menentukan calon yang bakal mewakili BN Permatang Pauh.

"Saya tidak nafikan memang ada pengundian sama ada mahu mencalonkan Datuk Abdul Jalil atau pun calon dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi.

"Keputusan undian itu telah memihak untuk mencadangkan nama Datuk Abdul Jalil mewakili BN keputusan akhir tetap diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan. Itulah yang dicatat dalam minit mesyuarat," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, Umno Bahagian Permatang Pauh sudah pun menggerakkan jentera mereka untuk berkempen bagi pilihan raya kecil pertama yang diadakan selepas pilihan raya umum ke-12 itu.

“Kita sudah pun memulakan kempen untuk BN selepas sebulan pilihan raya umum berlangsung lagi kerana kita sudah tahu hal ini (pilihan raya kecil) pasti berlaku.

“Datuk Seri Dr. Wan Azizah (Wan Ismail) awal-awal lagi sudah berkata yang beliau sedia mengosongkan kerusi itu untuk suaminya, (Datuk Seri) Anwar. Justeru, kita melakukan persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya.

Sambil mengakui perebutan kerusi di Permatang Pauh itu sengit, Abdul Jalil berkata, BN akan tetap memberi saingan yang hebat kepada Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.