Khamis, 28 Ogos 2008

Pembangkang keluar dewan selepas usul ditolak


SEREMBAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan hari ini kecoh seketika selepas kira-kira 25 minit berlangsung apabila 15 orang anggota dewan undangan negeri (ADUN) dari parti pembangkang bertindak keluar dari dewan selepas usul yang dikemukakan oleh ketua pembangkang ditolak.

Kejadian bermula apabila Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAPLobak) cuba mencelah perjalanan dewan semasa soalan pertama sesi soal jawab lisan dengan mengemukakan satu usul mengenai penggiliran sesi soal jawab lisan yang lebih adil.

Loke dilihat tidak berpuas hati dengan penggiliran soal jawab lisan yang dilihatnya hanya memberi keutamaan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan memakan masa yang agak panjang, sehingga boleh menyebabkan wakil Pakatan Rakyat (PR) tidak berpeluang mengutarakan soalan pada sesi itu.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan, Datuk Razak Mansor atas alasan ia perlu terlebih dahulu dicadangkan dan dipersetujui pada mesyuarat jawatankuasa persidangan.

Selain itu Razak berkata usul itu tidak akan diterima kerana peraturan dalam penggiliran sudah lama ditetapkan serta diamalkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini dan mengikut senioriti.

Keengganan Loke menghormati arahan Razak menimbulkan suasana tegang apabila ada ADUN bangun menegur sikap Loke, dan Loke kemudiannya terus bertindak keluar dari dewan dengan diikuti 14 orang pembangkang yang lain.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui di sini berkata perjalanan dewan mempunyai peraturannya yang tersendiri dan ia perlu dihormati serta dipatuhi.

"Kita mempunyai keseluruhan lima jawatankuasa antaranya jawatankuasa bagi peraturan dewan yang mana setiap jawatankuasa tersebut diwakili seorang wakil dari Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan wakil Pakatan Rakyat sekiranya mereka ingin melakukan sebarang perubahan, mereka perlu menggunakan saluran dan prosedur yang betul dan bukannya membawa usul tergempar kerana ia boleh menggangu kelancaran perjalanan dewan.

Sesi penggulungan pada hari pertama Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke12 sudah berakhir dan persidangan kemudiannya ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.