Muhammad Muhd. Taib: Tawaran Tajol Rosli "terlampau pantas"
MSTAR ONLINE
ALOR STAR: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata tawaran bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kepada PAS untuk menyertai Umno membentuk kerajaan negeri Perak adalah satu "perkembangan yang terlampau pantas".
Seeloknya, kata beliau, perkara berkenaan diserahkan kepada pemimpin tertinggi keduadua parti kerana kebijaksanaan untuk membuat keputusan terletak pada mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Keda di sini hari ini, Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata beliau bimbang matlamat asal kedua-dua parti itu untuk berusaha ke arah perpaduan akan terjejas sekiranya semua pihak memberi pandangan.
"Soal politik dan buat kerajaan ni harus diketepikan dulu. Kita perlu pergi kepada perkara pokok iaitu untuk menyatupadukan ummah," katanya.
Baru-baru ini, Tajol Rosli yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, mencadangkan agar PAS menyertai Umno untuk membentuk kerajaan di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam.
Malah, katanya, Umno sanggup memberikan jawatan Menteri Besar kepada wakil PAS.
Semalam Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tawaran itu melibatkan perkara yang besar bagi parti dan seharusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi untuk dibincangkan.
Mengenai muqabalah antara Umno dan PAS demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan, Muhammad berkata sebarang perbincangan berkaitan perkara itu tidak perlu dihebahkan kerana ia akan mengundang campur tangan banyak pihak.
"Serahkan sahaja kepada pemimpin tentang apa sebenarnya yang patut digarap dan dibincangkan secara aman," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.