A. Kadir Jasin
KEMENANGAN Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh hari ini akan memberi kesan besar dan menyeluruh kepada persekitaran politik negara.
Anwar (Parti Keadilan Rakyat/Pakatan Rakyat) memperoleh 31,195 undi, Arif Shah Omar Shah (Barisan Nasional) 15,524 dan Hanafi Hamat (Akim) 92, memberikan Anwar majoriti 15,671 undi.
Kelebihan undi yang besar itu membuktikan populariti Anwar tetap kental walaupun sudah sedekad terkeluar daripada arus politik perdana dan kini menghadapi tuduhan liwat di mahkamah.
Serentak itu, keputusan pilihan raya kecil itu mengesahkan penolakan yang meluas dan berterusan terhadap Barisan Nasional, khasnya Umno.
Ia juga berupa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan tamparan hebat kepada timbalannya, Mohd Najib Abdul Razak, yang menjadi ketua kempen BN.
Beberapa fakta dan kesimpulan awal yang terbit daripada keputusan pilihan raya kecil itu adalah seperti berikut:
1. Serangan peribadi ke atas Anwar tidak berkesan walaupun BN menggunakan hujah seperti tuduhan liwat dan sumpah laknat si penuduh, Saiful Bukhari Azlan;
2. Gula-gula pilihan raya seperti penurunan harga minyak, janji-janji pembangunan dan buah tangan tidak membantu mengubah pendirian majoriti pengundi yang tidak sukakan BN;
3. Kehadiran begitu ramai pembesar Umno dan BN dengan jentera rasmi dan peribadi mereka ditolak oleh majoriti pengundi;
4. Peranan media massa arus perdana yang terus memberi gambaran yang songsang mengenai keadaan sebenar menyebabkan pemilih jelak dan menolak mesej BN dan pemerintah yang mereka bawa;
5. Kekalahan lebih teruk ini akan memburukkan lagi kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN;
6. Kewibawaan dan integriti pakatan setia Abdullah-Mohd Najib semakin dicurigai apatah lagi apabila Mohd Najib sendiri menggunakan pilihan raya kecil itu untuk bersumpah dengan nama Allah menafikan keterlibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Mohd Najib bersumpah yang dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan wanita
7. Seruan supaya Abdullah segera meletakkan jawatan mungkin memuncak semula dan mungkin berlaku percubaan baru mencalonkan seseorang untuk mencabar beliau dan Mohd Najib pada pemilihan Umno Disember ini;
8. Kemenangan ini memberi mandat yang lebih kuat kepada Anwar untuk memujuk Ahli Dewan Rakyat BN untuk berpaling tadah menjelang Hari
9. Kedudukan Anwar sebagai MP dan calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bergantung dan tertakluk kepada keputusan perbicaraan kes liwatnya;
10. BN tidak lagi boleh menggunakan kuasa kewangan dan pentadbiran untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil. Pada masa lampau, BN umumnya menang pilihan raya kecil malah berjaya merampas kerusi pembangkang; dan
11. Umno akan lebih parah dan mungkin ditolak terus oleh orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang jika kepemimpinannya terus mengabaikan mesej yang dihantar oleh pengundi. Ramai ahli parti dan penyokong BN tidak keluar mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.