Jual PAS demi 'muka-pak-lah'
Amin Iskandar
Selepas kehilangan kuasa majoriti dua pertiga di Parlimen dan empat buah negeri serta gagal merampas Kelantan daripada PAS, Umno yang menggunakan jentera kerajaan seperti polis tidak duduk berdiam diri.
Strategi terus diatur untuk merampas kembali kekuasaan yang hilang terutamanya negeri kaya seperti Selangor. Hilangnya negeri ini bererti hilanglah satu punca kewangan utama bagi Umno.
Untuk merampas kembali negeri-negeri ini, strategi jangka pendek dan jangka panjang dirangka. Kedua-dua strategi ini matlamatnya hanyalah satu - untuk merampas kembali apa yang telah hilang dan memecahbelahkan Pakatan Rakyat bawah pimpinan Anwar Ibrahim.
Strategi jangka pendek termasuklah apa sahaja yang digunakan dalam penggal ini sebelum pilihanraya akan datang. Umno mahu merampas negeri Selangor dan Perak dengan menggunakan taktik berunding bagi memecahbelahkan Pakatan Rakyat atau setidak-tidaknya menimbulkan kecurigaan sesama pembangkang.
Dalam Pakatan Rakyat, PAS menjadi sasaran utama Umno untuk mengadakan rundingan kerana mereka boleh menggunakan sentimen "perpaduan Islam dan Melayu".
Tambahan lagi dari segi sejarah, zaman pemerintahan bapa Najib Razak, Umno pernah bekerjasama dengan PAS yang pada ketika itu dipimpin oleh Asri Muda.
Jadi dengan adanya faktor perpaduan Islam–Melayu dan sejarah kerjasama Umno–PAS, maka mudahlah mereka mencucuk jarum perang saraf halus mereka.
Menurut bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo di blognya yang bertajuk 'Impian Saya', beliaulah orang yang bertanggungjawab membawa pemimpin-pemimpin tertinggi PAS bertemu perdana menteri selang beberapa hari selepas keputusan pilihanraya umum 8 Mac.
Khir juga menyatakan, jika PAS bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran bersama Umno di Selangor, jawatan menteri besar, timbalan menteri besar dan empat jawatan exco negeri akan diberikan kepada parti Islam itu.
Doktor gigi tersebut menyalahkan Anwar atas kegagalan Umno memancing PAS membentuk kerajaan campuran di negeri itu.
"Malangnya, pengaruh Anwar dalam PAS, melalui setiausaha agungnya Kamaruddin Jaafar telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Anwar memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan," kata Dr Khir.
Dalam mana-mana gerakan ataupun pertubuhan, pasti ada yang berwatak "Si Kitol dan Raja Mendaliar". Umno sudah lama tahu siapa "Si Kitol dan Raja Mendaliar" dalam PAS yang mereka boleh kudakan untuk menjayakan agenda mereka.
Dalam laporan The Star (22 Julai), timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa apabila ditanya tentang Anwar dan Pakatan Rakyat, berkata:
"Saya tidak pasti dengan popularitinya berbanding dengan pada 1998. Perkembangan terbaru - seperti tuduhan Mohd Saiful Bukhari Azlan dan akuan berkanun penyiasat persendirian P Balasubramaniam telah menjejaskan kredibiliti Anwar.
"Akan tetapi, kemampuannya untuk memimpin memang tidak boleh dipertikaikan. Orang-orang Melayu mungkin mula mempercayai tuduhan terhadap Anwar Tindakannya (Anwar) berlengah-lengah untuk bersumpah di hadapan al-Quran juga menjadi isu."
Akhbar itu juga melaporkan "Nasharudin jujur dalam pendapatnya mengenai Pakatan Rakyat: 'Dalam perkembangan terkini, menurut pendapat peribadi saya, Pakatan sangat rapuh; akan tetapi kami sedang
Tindakan ahli parlimen Bachok menjadikan tuduhan liwat terhadap Anwar sebagai alasan untuk berunding dengan Umno sesuatu yang perbuatan khianat dan tidak sesuai dikeluarkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat nasional sepertinya kerana salah satu prinsip perjuangan Pakatan ialah untuk menegakkan keadilan.
Mengapa saya berkata begitu?
Pertama, kenyataan yang keluar dari mulut Nasharudin tidak ubah seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib Razak, Syed Hamid Albar dan juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa menjatuhkan hukuman terlebih dahulu sebelum mahkamah membuktikan Anwar bersalah.
Pemimpin-pemimpin Umno akan menggunakan apa sahaja cara untuk mengekang kemaraan Anwar dan Pakatan Rakyat yang semakin hampir merampas Putrajaya. Apakah Nasharudin merupakan agen Umno dalam PAS?
Kedua, pertemuan di antara pemimpin-pemimpin tertinggi PAS sepertinya, Mustafa Ali dan Khalid Samad (yang mengaku menggantikan Hassan Ali supaya tidak ada "pertembungan kepentingan") dengan perdana menteri bermula sebelum Mohd Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar.
Jadi, faktor liwat tidak boleh dijadikan asas bagi timbalan presiden PAS tersebut untuk menghalalkan rundingan PAS-Umno.
Ketua penerangan PAS Mahfuz Omar baru-baru ini mengeluarkan
Dalam
Mahfuz berkata, beliau sendiri terkejut apabila Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Khir mendedahkan tentang pertemuan yang melibatkan "pembuat keputusan" dalam PAS dan meminta individu terbabit tampil dan memberikan penjelasan kepada ahli dan penyokong parti itu.
Kenyataan ikhlas Mahfuz itu harus dipuji. Beliau berani mengaku salah dan berani mengambil tanggungjawab. Beginilah sikap seorang pemimpin yang berjiwa besar.
Pada pandangan saya, kenyataan Mahfuz itu masih belum cukup untuk mengembalikan kepercayaan dan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap PAS. Golongan ini besar jumlahnya.
Jika mereka tidak menyokong PAS dalam pilihanraya umum lalu, tidak mungkin PAS akan berjaya menawan Kedah dan kerusi-kerusi di kawasan bandar seperti Titiwangsa dan Kota Raja.
Jalan penyelesaiannya ialah “beberapa individu” yang terlibat untuk berunding dengan Umno haruslah tampil memohon maaf secara terbuka kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.
Selepas itu, mereka haruslah meletakkan jawatan dalam parti kerana telah hilang wibawa untuk memimpin PAS.
Mereka ini juga haruslah berani berhadapan dengan media. Contohilah keberanian Mahfuz yang mengaku salah dan berani berhadapan dengan media dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
Saya diberitahu oleh rakan-rakan wartawan bahawa "beberapa individu" yang ingin bersekongkol dengan Umno sering lari apabila didekati oleh media.
Nasib baiklah masih ada "golongan bijak" dalam PAS - Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat memimpin golongan ini dalam parti Islam.
Tanpa mereka, kemungkinan besar PAS sudah dijual oleh "beberapa individu" yang menggunakan nama PAS untuk menyertai Barisan Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.