Catatan di malam terakhir kempen Permatang Pauh
Intan Abdullah
Suasana malam terakhir kempen pilihan raya di Permatang Pauh cukup sesak dengan kenderaan di jalan raya yang bertali arus.
Apatah lagi parti-parti yang mengambil perhatian dalam pertandingan kali ini perlu memaksimumkan usaha mereka bagi memastikan penduduk di Permatang Pauh memberikan undi kepada mereka bagi menentukan kemenangan.
Jalan terus dikuasai penyokong-penyokong parti tersebut meskipun hujan renyai-renyai membasahi mereka, tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka meneruskan usaha meraih undi pada saat akhir ini.
Menelusuri jalan sekitar seberang Jaya, penulis mendapati kenderaan memenuhi kaki jalan serta pembahagi jalan bagi menghadiri ceramah dan perhimpunan yang dianjurkan, apatah lagi terdapat sebuah ceramah perdana yang menampilkan calon 'favourite', Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bakal dinobatkan semula sebagai Yang berhormat esok.
Turut kelihatan dua menteri besar negeri Pakatan Rakyat, iaitu dari Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dato' Seri Nizar Mohd Jamaludin dari Perak yang telah bersama-sama membantu jentera kempen.
Jejak Harakahdaily diteruskan sehingga ke sekitar Bulatan Bukit Tengah menuju ke Bukit Mertajam.
Kenderaan merangkak-rangkak di jalan raya, penulis semakin terasa gelisah dengan berita yang belum disiapkan untuk dihantar buat tatapan pembaca.
Sambil mengeluh, penulis terpaksa akur dengan kebiasaan senario pilihan raya kecil yang merupakan tumpuan seluruh negara apatah lagi pada kali ini ia dikatakan penentu kepada perubahan kerajaan pusat kelak.
Sepanjang berada di Permatang Pauh, kebanyakan masa banyak dihabiskan di atas jalan raya, namun ianya tidak mematahkan semangat penulis untuk meneruskan tugas.
Pihak anggota keselamatan, polis trafik dan jentera pilihan raya KeADILan, PAS dan DAP kelihatan sibuk menjalankan tugas bagi mengawal kesesakan yang berlaku sekitar kawasan ceramah diadakan.
Petugas pula giat mengedarkan bahan dan risalah kempen pada saat akhir sebelum tempoh merayu undi tamat.
Cuma satu kehairanan timbul di fikiran penulis sehingga kini adalah kurangnya petugas mahupun penyokong Umno-BN yang mengedarkan risalah kempen mereka.
Apatah lagi, sukar melihat permandangan pengguna jalan raya yang mengibarkan bendera BN.
Sekali-sekala terdapat juga petugas wanita dan puteri Umno yang berjalan-jalan sekitar bandar Seberang Jaya, pekan Permatang Pauh dan Kubang Semang.
Tetapi sebilangan daripada mereka tidak mengenakan pakaian atau logo BN.
Apapun, penulis merasakan sesuatu akan berlaku pada keesokan hari yang mungkin berada di luar jangkaan atau mengejutkan semua.
Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk masa depan negara tercinta ini. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.