Sabtu, 26 Julai 2008

Gerak-geri Anwar di IPK KL dirakam, peguam pertikai tindakan polis
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa mendakwa, gerak-geri Anwar ketika beliau ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu telah dirakamkan menggunakan kamera video dan melalui kamera litar tertutup.

Sivarasa berkata, ketika beliau mengiringi Anwar yang dibawa polis ke tingkat tujuh IPK tersebut, beberapa anggota polis telah merakam gerak-geri Anwar menggunakan kamera video.

“Menurut Datuk Seri Anwar sendiri, mereka turut merakam pergerakan beliau di dalam lokap termasuk ketika beliau sedang bersembahyang dan hendak ke bilik air.

“Malah, di dalam lokap itu juga ditempatkan beberapa kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan merakam gerak-geri Datuk Seri Anwar ketika beliau bermalam di dalam lokap tersebut,” katanya kepada media selepas memberi keterangan berhubung akuan bersumpah P. Balasubramaniam di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di sini, hari ini.

Sivarasa berkata, rakaman itu turut dilakukan sehingga Anwar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan.

Bagaimanapun, mereka tidak menjalankan rakaman ketika pemeriksaan kesihatan itu terhadap Anwar dijalankan.

Sivarasa berkata, tindakan merakam gerak-geri Anwar menimbulkan banyak persoalan kerana pihaknya tidak akan membuat apa-apa tuduhan jika pihak polis tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk keganasan terhadap Anwar.

“Dulu Anwar dipukul... mengapa polis rasa tidak selamat? Itu pun (rakaman video) nampak keterlaluan kerana tidak patut sampai ke bilik air pun, ada kamera yang mengikut,” katanya.

“Saya tidak tahu kenapa ia dilakukan kerana sepanjang 21 tahun menjadi peguam, saya tidak pernah dengar ada tahanan yang dirakam pergerakannya di dalam lokap.

“Kini saya dapat tahu pula, lokap di tingkat tujuh itu telah dikosongkan pada tengah hari Anwar ditahan kerana sehari sebelum itu, semua lokap di tingkat tersebut berpenghuni.

“Lokap itu tetap dikosongkan walaupun pihak polis telah memberi jaminan Anwar akan dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama,” katanya.

Selain itu, katanya, menurut sumber dalaman polis yag enggan didedahkan beliau, sekumpulan pasukan forensik polis telah masuk ke lokap tempat Anwar bermalam bagi mengumpul kesan-kesan yang ditinggalkan bekas timbalan Perdana Menteri itu.

“Kita dapat tahu pasukan forensik telah masuk ke lokap Anwar ditahan dan menyapu kesan-kesan yang ditinggalkannya seperti rambut, sel kulit dan sebagainya.

“Apa relevannya mereka (polis) melakukan demikian? Saya percaya tujuan Anwar ditahan semalaman bukanlah kerana beliau perlu memberi kenyataan tambahan keesokan harinya tetapi kerana polis mahu mendapatkan kesan-kesan itu,” katanya.

Sivarasa berkata, jika kesan yang didapati dari lokap itu digunakan sebagai bukti di mahkamah, beliau akan membantahnya kerana ia diambil secara tidak sah dan kemungkinan telah bercampur dengan kesan-kesan penghuni lain sebelum ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menyuarakan hal itu kepada polis, Sivarasa berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana polis tahu apa yang dilakukan mereka.

"Bagaimanapun, kita akan beritahu kepada orang ramai melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai apa yang telah dilakukan kepada Anwar ini. Biar rakyat menilai," katanya.

Pada pukul 1 petang 16 Julai lalu, Anwar telah ditahan polis kira-kira 50 meter dari rumahnya dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk disoal siasat bermula pukul 2.50 petang.

Pada pukul 8.35 malam, Anwar yang disoal siasat di Tingkat 7 IPK, dibawa oleh polis ke HKL untuk menjalani ujian DNA di Wad Diraja hospital itu. Bagaimanapun, Anwar menolak untuk diambil sampel darahnya bagi tujuan itu sebaliknya hanya bersetuju dilakukan pemeriksaan biasa tanpa melibatkan pengambilan sebarang sampel.

Anwar bebaskan keesokan harinya dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.45 pagi selepas ditahan hampir 21 jam di IPK.

Anwar kini berdepan dengan dakwaan oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dia diliwat oleh bekas majikannya itu.

Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan di Pondok Polis HKL, mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara, dua hari sebelumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.