Isnin, 16 Jun 2008

Anwar sedia tahu nama komponen BN bakal keluar?


IPOH: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak jika petisyen pilihan raya umum tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya mengenai kemungkinan bertanding pada pilihan raya kecil waktu terdekat ini, Anwar yang telah diberikan 'lampu hijau' oleh Pendaftar Pertubuhan untuk bertanding dan memegang jawatan politik secara aktif baru-baru ini, berkata:

"Saya berpendapat (bertanding) di Perak juga idea yang baik. Kami sedang menunggu keputusan (petisyen pilihan raya) berhubung kerusi Kuala Kangsar."

Anwar menyatakan demikian ketika ditemui wartawan selepas beliau menghadiri persidangan tertutup Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Anwar yang juga Penasihat PKR menambah, sebuah jawatankuasa telah pun dibentuk untuk meneliti persediaan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Jelas beliau, ia akan dilakukan menerusi Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, kerusi Kuala Kangsar dimenangi oleh Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Rafidah menewaskan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr. Khairuddin Abd Malik.

Mengenai desas-desus sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan keluar dalam waktu terdekat, Anwar berkata:

"Kami akan memantau (perkembangan ini) dengan rapat. Saya pasti anda akan mengetahuinya tidak lama lagi."

Ketika ditanya sama Pakatan Rakyat akan mempertimbangkan kemasukan komponen BN ke dalam pakatan pembangkang itu, Anwar memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan yang sesuai tidak lama lagi.

Sama ada beliau sedia mengetahui nama parti komponen berkenaan, Anwar berkata: "Saya ada beberapa maklumat."

Bagaimanapun beliau enggan menjawab apabila ditanya sama ada parti itu datang dari Sabah.

Sebaliknya, Anwar juga secara berseloroh memberitahu: "Saya ingat ia sama ada MCA atau MIC kerana ini masa bagi mereka untuk keluar."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.