Selasa, 1 Julai 2008

Anwar buat rapat umum malam ini di Stadium Shah Alam
mstar


PETALING JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Shah Alam jam 2 petang ini.

Sebelum ini, Anwar pernah mendakwa dan mempertikaikan tahap keselamatannya kerana mendakwa mempunyai bukti penglibatan kedua mereka dalam rancangan jahat serta mereka-reka fakta palsu dalam kesnya yang terdahulu, pada tahun 1998.

Sejurus selepas membuat laporan polis, Anwar akan mengadakan satu sidang akhbar di pejabat PKR di Tropicana.

Menurut Naib Presiden PKR Azmin Ali, Anwar juga akan mengadakan satu rapat umum di Stadium Shah Alam pada sebelah malam pukul 8.30 malam ini.

Satu laporan polis telah dibuat oleh pembantunya Saiful Bukhari Azlan, 23 pada hari Sabtu di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu. Anwar mendakwa tuduhan terbaru itu adalah satu fitnah dan keselamatannya terancam. Beliau juga mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dan membunuh karier politiknya. Sehubungan dengan itu, Penasihat PKR itu telah berlindung di dalam kawasan Kedutaan Turki pada hari Ahad.

Walau bagaimanapun, Anwar telah keluar dari kedutaan Turki lewt petang semalam setelah berpuas hati dengan jaminan keselamatan yang diberi kepadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.