Sabtu, 31 Julai 2021

Perkuburan Islam khusus untuk pesakit Covid-19 diteliti

 

Suasana malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam terang benderang ketika petugas khas mengebumikan jenazah mangsa Covid-19. - Gambar oleh Shahir Omar/Astro Awani

Kerajaan sedia meneliti membuka tanah perkuburan Islam khas untuk pengebumian jenazah pesakit Covid-19 jika perlu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sehubungan itu katanya perkara berkenaan akan dibincang bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti negeri-negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan berhubung keperluan itu.

“Kami perlukan dapatan dan perbincangan, setakat ini tumpuan adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

“Sekurang-kurangnya kami dapat memberi satu cara yang terbaik dalam menguruskan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 pengusaha kantin dan pekerja pembersihan secara pandu lalu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata setakat hari ini, Yadim telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi membantu rakyat di seluruh negara terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, Zulkifli menasihatkan pihak yang mempunyai perbezaan pendapat dan idea agar tidak menggunakan media sosial sebagai medan bertelagah atau berdebat, sebaliknya perlu berdamai serta berunding secara baik.

“Saya yakin perkara sekusut mana pun akan dapat diselesaikan, justeru buanglah yang keruh dan ambil yang jernih. Sentiasalah bermaafan dan muhasabah diri, maka kita boleh ke depan terutama dalam memberi bantuan, menyampaikan dakwah sekali gus menyatukan ummah,” katanya.

Dua PPV di Labuan tutup, tiada lagi penerima vaksin

AGENDA DAILY

Pusat Pemberian Vaksin Dewan Taman Perumahan Mutiara Blok L, dan Dewan Foo Chow, Kampung Sungai Keling di Labuan ditutup mulai 2 Ogos setelah tiada lagi penerima vaksin di PPV berkenaan.

Dua pusat pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Foo Chow, Kampung Sungai Keling dan Dewan Taman Perumahan Mutiara Blok L, di Labuan akan ditutup bermula Isnin ini, 2 Ogos ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata mereka memutuskan untuk menutup dua pusat itu memandangkan hampir kesemua yang layak mendapat suntikan vaksin di Labuan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah divaksin.

“Sehingga semalam (30 Julai), Labuan telah memberi suntikan vaksin kepada 56,943 penduduk atau 83.13 peratus daripada 68,500 penduduk dewasanya,” katanya hari ini.

Memetik Bernama, beliau berkata sekurang-kurangnya 97.48 peratus atau 66,773 penduduk daripada 68,500 penduduk dewasa di negeri itu telah menerima dos pertama vaksin.

Rithuan berkata dengan penutupan dua PPV itu, pemberian vaksin akan tertumpu di Kolej Matrikulasi Labuan (secara jumpa terus), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (pandu lalu), Kompleks Darul Kifayah, Dewan Sri Labuan Jabatan Kerja Raya dan Klinik Kesihatan Membedai.

“PPV di Terminal Feri Antarabangsa Labuan akan berfungsi sebagai vaksinasi bergerak kepada pekerja sektor perkapalan, minyak dan gas, yang beroperasi berdasarkan panggilan apabila diperlukan,” katanya.

Pada 27 Julai lepas, Labuan telah selesai memvaksinasi penuh 80 peratus penduduk dewasa, menjadikannya negeri yang pertama dalam Wilayah Persekutuan dan di negara ini, mencapai komuniti kelompok Covid-19.

Kadar kebolehjangkitan (R-Naught) di Labuan juga berada di bawah 1.0 sejak dua minggu lepas dan hanya tujuh kes sehingga semalam, bermakna jumlah kes terus menurun.

Sembilan kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Labuan sebanyak 9,661.

Pakar perubatan bimbang peserta demonstrasi sumbang kes Covid-19

Kira-kira 200 anak muda menyertai demonstrasi di ibu negara hari ini akan memudahkan lagi penyebaran varian Delta Covid-19. - Gambar Agenda Daily

Pakar perubatan melahirkan kebimbangan tindakan sesetengah pihak menyertai demonstrasi jalanan ketika negara sedang bergelut dengan Covid-19 akan memburukkan lagi situasi pandemik di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ini terutama apabila Lembah Klang kini menjadi kawasan hotspot penularan kes baharu Covid-19.

“Dalam situasi demonstrasi, adalah amat sukar untuk mereka (peserta) mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa, dan terdapat juga kemungkinan mereka akan berkongsi bekas minuman dan lain-lain.

“Jadi, dengan varian baharu Covid-19 seperti Delta yang mudah sekali berjangkit dan terdapat pula pengumpulan ramai di sesuatu tempat, maka boleh berlaku kemungkinan penularan baharu,” katanya.

Dr Zainal Ariffin berkata demikian sebagai mengulas demonstrasi yang diadakan oleh kumpulan anak muda Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka di sini, hari ini, kononnya untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan gagal menangani wabak Covid-19 negara.

Memetik Bernama Dr Zainal Ariffin berkata berdasarkan statistik setakat Rabu lepas (28 Julai), sebanyak 199 kes varian Delta sudah dilaporkan dalam negara, dengan Sarawak mencatatkan 93 kes, Selangor dan Pahang (masing-masing 18), Labuan (14), Kuala Lumpur dan Johor masing-masing (11).

“Mengambil kira faktor ini, saya fikir adalah sangat logik untuk pihak berkuasa tidak membenarkan sebarang perkumpulan beramai-ramai.

“Mana-mana pihak yang terlibat ini sepatutnya masih boleh menyuarakan pendapat mereka melalui platform lain yang lebih bersesuaian antaranya melalui penggunaan media sosial,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Johor Dr Ng Kim Fong berkata beliau tidak terkejut sekiranya kes baharu Covid-19 melebihi ramalan awal Kementerian Kesihatan iaitu sebanyak 24,000 kes sehari pada September ini.

“Pastinya jumlah itu akan menjadi tinggi lagi dan ini memungkinkan tempoh lockdown (sekatan pergerakan) yang lebih lama untuk rakyat Malaysia.

“Oleh itu, atas apa pun alasan, rakyat kena melihat sudut kesihatan dalam setiap tindakan mereka. Bantu petugas kesihatan dan doktor mengawal situasi Covid-19 kerana kebanyakan katil di hospital Lembah Klang kini sudah penuh, menunjukkan keadaan semakin tenat,” katanya yang kini ditugaskan sementara di Hospital Serdang.

Tian Chua antara pemimpin politik sertai Himpunan #Lawan

Kamariah Khalidi
MGF31072021_PROTEST-TURUN-DAN-LAWAN-1
Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hadir ke protes #Lawan sebagai tanda tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua merupakan antara beberapa pemimpin politik yang dilihat menyertai himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu turut memakai kemeja berwarna hitam dan berarak bersama-sama peserta himpunan itu yang berlangsung di sepanjang Jalan Tun Perak selepas mereka dihalang daripada memasuki Dataran Merdeka.

Himpunan yang berlangsung kira-kira dua jam sejak pukul 11 pagi itu turut disertai oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam.

Selain itu kelibat beberapa pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) iaitu Naib Presidennya, Dr. Thanussha Francis Xavier dan Mutalib Uthman serta Setiausaha Agung, Amir Abdul Hadi juga dilihat.

Antara lain yang dilihat turun ke jalanan bagi menyokong himpunan tersebut adalah Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy dan Pengasas Bersama Undi 18, Tharma Pillai.

Sementara itu, Amir berkata, kira-kira 1,000 anak muda menyertai himpunan #Lawan itu yang bertujuan mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin untuk meletak jawatan.

Menurutnya, himpunan tersebut merupakan peringkat permulaan dan dia tidak menolak kemungkinan lebih banyak perhimpunan dengan tujuan yang sama akan dianjurkan selepas ini sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

“Kerajaan jangan tutup telinga dengan apa yang sedang berlaku ketika ini, terutamanya menteri mereka harus menunjukkan tingkah laku yang baik kepada masyarakat dan bukan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berulang-ulang kali.

“Rakyat sudah penat, sekian lama mereka duduk di rumah tetapi keadaan tiada yang berubah. Selepas ini jika mereka gagal mendengar tuntutan rakyat, kita percaya lebih banyak himpunan akan berlaku pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai himpunan #Lawan hari ini.

Jelas Amir lagi, antara tuntutan utama yang dibawa oleh peserta himpunan #Lawan adalah peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sidang Parlimen Malaysia diadakan secara penuh dan moratorium. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan #Lawan gagal ‘tawan’ Dataran Merdeka

Bekas penasihat media Najib setuju pulangkan RM7 juta

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Badan anti rasuah itu berkata, wang tersebut akan dipindahkan ke akaun amanah 1MDB.

Bekas penasihat media Najib Razak, Paul Stadlen yang didakwa pada 2019 kerana penggubahan wang melibatkan RM14.3 juta, bersetuju untuk berunding dengan kerajaan, yang bakal menyaksikan lebih RM7 juta dipindahkan ke akaun amanah 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Stadlen bersetuju untuk melepaskan dengan rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84, dan keseluruhan wang tersebut akan dipindahkan ke akaun 1MDB.

“Perkara tersebut diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

“Sehubungan dengan itu, kes terhadap beliau ditarik balik.”

Stadlen yang bekerja untuk Najib selama sembilan tahun, meninggalkan Malaysia selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum 2018.

Dia didakwa “in absentia” (tanpa kehadirannya) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan mengubah wang haram berjumlah RM15 juta pada 20 Februari, 2019.

Mengikut pertuduhan pertama, Stadlen didakwa mengarahkan pembayaran melalui 27 urus niaga membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah sekitar RM8.2 juta dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan Aisha Mubarak, kepada beberapa individu dan syarikat itu antara Jun hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan dituduh mengarahkan pembayaran melalui 16 urus niaga hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah sekitar RM6.1 juta dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat itu antara Januari hingga Ogos 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Parlimen Dr Mahathir positif Covid-19

 Ahmad Mustakim Zulkifli

Bagaimanapun menurut pejabat Mahathir, pegawai tersebut tidak bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Seorang pegawai kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad disahkan positif Covid-19 dalam ujian saringan yang dilakukan di bangunan Parlimen pada Khamis, kata pejabat ahli Parlimen Langkawi itu.

Bagaimanapun menurut pejabat Mahathir, pegawai tersebut tidak bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

“Pegawai tersebut merupakan pesakit asimptomatik dan kini menjalani kuarantin di rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tun tidak bertemu dengannya dan disahkan negatif selepas ujian RTK dilakukan pada hari yang sama. Pegawai itu sudah mendapat dua dos suntikan vaksin.”

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sejumlah 11 kes positif dikesan di Parlimen pada 29 Julai.

10 kes dikesan menerusi RTK Ag Saliva dan satu menerusi RT PCR.

Katanya, susulan kes-kes positif Covid-19 di Parlimen, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

Pada Khamis Parlimen terpaksa ditangguhkan atas nasihat Noor Hisham disebabkan terdapat kes positif Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang Pakatan Harapan (PH) mengatakan ini merupakan “konspirasi” untuk mengelakkan perbahasan berhubung ordinan darurat di Parlimen.

Tiada istilah ‘derhaka’ dalam Perlembagaan

 Kamarazaman Yacob

Mengapa istilah ini masih digunakan walaupun Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan?

Istilah “penderhaka” dipergunakan di dalam masyarakat Melayu, semasa dipimpin oleh sistem raja mutlak.

Bagaimanapun, istilah “derhaka” turut digunakan secara meluas dalam masyarakat Melayu.

Misalnya, perbuatan keji seorang anak kepada ibu bapa mereka turut dianggap derhaka.

Lebih parah lagi, bila masyarakat Melayu turut meluaskan penggunaan “derhaka” dengan mengaitkan hal keagamaan.

Lahirlah istilah derhaka seorang isteri terhadap suami.

Dengan adanya istilah derhaka di dalam penghidupan Melayu-Islam, maka terjadilah penindasan oleh seorang lelaki terhadap isterinya.

Bila kekejian dilakukan oleh seorang suamu dibantah keras oleh isteri, maka suami akan menggunakan istilah “derhaka”.

Istilah derhaka dalam masyarakat Melayu semasa raja mutlak itu, lebih berupa menjaga kepentingan pihak berkuasa.

Atau pihak yang dianggap berkuasa, misalnya seorang suami.

Jadi, apakah semasa sistem raja berperlembagaan ini, istilah “derhaka/penderhakaan” itu masih sesuai untuk dipakai?

Sebabnya di dalam sistem raja berperlembagaan, kuasa tertinggi adalah Perlembagaan.

Kuasa tertinggi bukan lagi ketua negara atau Yang di-Pertuan Agong, seperti mana semasa sistem raja mutlak.

Semasa raja mutlak, memang raja adalah kuasa tertinggi.

Atas sebab itu, lahirnya istilah “bersultan di mata, beraja di hati.”

Yang membawa maksud Raja boleh melakukan apa saja, di mana rakyat terpaksa menerimanya.

Bagaimanapun, dalam hidup masyarakat Melayu, terdapat juga falsafah yang memberi ruang kepada pendokong keadilannya iaitu “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Dalam Hikayat Hang Tuah, falsafah ini didokong oleh Hang Jebat.

Jelas di dalam sistem raja berperlembagaan ini, kuasa tertinggi adalah Perlembagaan.

Dan kuasa Agong diikat dengan Perkara 40(1), di mana Agong perlulah bertindak atas nasihat perdana menteri/Kabinet.

Apabila kuasa Agong diikat dengan Perkara 40(1), jadi apabila Agong tidak mengikutnya, apakah teguran atau penjelasan dari perdana menteri/Kabinet ini masih boleh dianggap menderhaka atau suatu penderhakaan?

Saya kira, Perlembagaan perlu diletakkan ditempat sahnya.

Agong dan raja-raja Melayu mesti bersemayam di tahapnya.

Pihak eksekutif mesti dibenarkan menjalankan tugasnya yang sah dan tidak boleh melewati sempadannya.

Bila hal-hal ini sesama dipatuhi, maka sistem raja berperlembagaan, adalah acuan yang terbaik untuk Malaysia.

Istilah derhaka/penderhakaan ini dipergunakan sewenang-wenangnya oleh pihak dari parti yang terkenal dengan fahaman rasis mereka.

Malah tokoh-tokoh rasis mereka menjeritkan perkataan derhaka kepada pihak kerajaan, semasa sidang khas parlimen baru-baru ini.

Bila tokoh-tokoh rasis ini menggunakan istilah itu, kita terfikir, apakah mereka mempersendakan istilah tersebut, atau mereka hanya mengambil kesempatan dari adanya falsafah tersebut.

Sedangkan masyarakat Melayu melihat sikap mereka terhadap institusi raja dan Islam, semasa pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan.

* Kamarazaman Yacob merupakan bekas aktivis mahasiswa 1970-an dan penganalisis politik semasa.

17,786 kes: Lonjakan jangkitan di Kedah, Johor, Sabah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Jangkitan Covid-19 hari ini mencecah rekod tertinggi baru 17,786 kes dengan tanda-tanda virus itu mula merebak secara agresif di luar Lembah Klang.

Ini menjadikan kes kumulatif sebanyak 1,11,272 kes, maklum KKM.

Empat negeri dan wilayah persekutuan mencatat jangkitan baru melebihi empat angka - satu trend yang pada masa lalu kebanyakannya cuma terlihat di Lembah Klang.

Selain Selangor dan Kuala Lumpur, negeri-negeri yang menyaksikan lebih daripada 1,000 kes termasuk Kedah (1,389 kes), Johor (1,144 kes) dan Sabah (1,035 kes).

Menghampiri ambang kes empat angka ialah Negeri Sembilan (929 kes) dan Terengganu (883 kes).

Sementara itu sebanyak 165 lagi kematian direkodkan hari ini dengan jumlah angka korban kini bertambah kepada 9,024 orang.

Seramai 1,062 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 534 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Pecahan setiap negeri (Kumulatif):

  • Selangor - 6,400 (407,419)
  • WPKL - 1,962 (123,027)
  • Johor - 1,144 (90,683)
  • Sabah - 1,035 (84,721)
  • Sarawak - 485 (76,728)
  • Negeri Sembilan - 929 (71,491)
  • Pulau Pinang - 713 (45,833)
  • Kedah - 1,389 (45,631)
  • Kelantan - 580 (42,994)
  • Perak - 775 (37,679)
  • Melaka - 697 (31,366)
  • Pahang - 653 (24,436)
  • Terengganu - 883 (16,948)
  • WP Labuan - 9 (9,661)
  • WP Putrajaya - 116 (3,951)
  • Perlis - 16 (704)

Dr M senaraikan tokoh cadangan anggotai Majlis Pemulihan Negara

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyenaraikan nama-nama yang difikirkannya sesuai menganggotai badan ala Mageran, Majlis Pemulihan Negara (MPN) khusus untuk menangani wabak Covid-19.

Nama-nama yang disenaraikannya itu melibatkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang merangkumi perubatan, ekonomi, perundangan, pendidikan dan politik.

Ini selepas kerajaan PN menubuhkan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan menteri penyelarasnya Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurut ahli parlimen Langkawi cadangan MPN ini pertama kali dibentangkan olehnya kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari Khamis, 10 Jun lepas.

"Ketika saya memberi cadangan penubuhan MPN kepada Yang di-Pertuan Agong, saya telah memikir secara amat mendalam keahlian badan itu yang saya yakin dapat membantu Negara mengatasi krisis ini selain menyediakan rancangan jangka panjang pemulihan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Katanya, cadangan penubuhan MPN ini timbul kerana rata-rata terdapat sentimen kerajaan PN "sudah gagal amat meluas dan krisis semakin bertambah."

Dr Mahathir juga berkata mereka yang dinamakan dalam MPN versi cadangannya itu tidak tahu atau bersetuju mengenai keanggotaan dalam badan yang berasaskan khidmat negara tersebut.

Kata Mahathir, MPN perlu menghadkan keahlian tidak lebih 20 orang, supaya "keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan cepat."

"Nama-nama yang hendak saya cadang dan kenapa saya cadang mereka adalah seperti berikut: Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Lin See Yan, Tan Sri Mohd Hassan Merican Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Prof Dr Jomo K Sundram.

"Selain itu, dalam bidang perubatan, saya mencadangkan: Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Datuk Dr Musa Nordin, Datuk Dr Amar Singh HSS, Dr Kumitaa Theva Das.

"Saya juga ingin mencadang beberapa pakar perundangan yang perlu untuk memastikan segala tindak-tanduk MPN itu tidak mencabar kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara: Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi, Prof Dato’ Salleh Buang.

"Untuk mengatasi masalah pendidikan, saya bercadang memberi penekanan kepada pembelajaran dari rumah dan menggunakan televisyen dan program-program yang dirakam oleh ahli-ahli akademik, guru-guru dan pendidik terbaik supaya ibu bapa mudah membantu anak mereka dan ini dapat dirangka oleh: YAM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid, Samuel Isaiah," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Mahathir berkata beberapa ahli politik yang dicadangkannya tidak boleh terikat dengan parti mereka.

"Saya juga ingin cadangkan beberapa nama ahli politik untuk menyertai MPN dan mereka dipilih bukan kerana politik kepartian tetapi di atas beberapa usaha yang telah mereka lakukan: Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Ahmad Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya lagi.

Hamzah bidas demonstrasi ketika penularan varian delta

Malaysiakini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas pihak yang sanggup berhimpun beramai-ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika negara sedang berdepan penularan varian Delta pandemik COVID-19 ketika ini.

Beliau berkata tindakan itu tidak seharusnya berlaku apabila tidak mematuhi Op Patuh dan menggagalkan usaha kerajaan untuk melandaikan lengkuk COVID-19 dengan berkumpul di tempat awam.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melihat dari sudut kegagalan mematuhi SOP dan jika ada, tindakan akan diambil.

“Waktu ini patutnya kita patuh SOP. Rakyat sepatutnya faham SOP. Kami hanya benarkan essential services. Berkumpul dan membuat demonstrasi adalah satu kesalahan. Inikan pula dilakukan waktu negara dalam keadaan darurat. Kadangkala ada netizen yang mulanya marah apabila sektor kilang dibenarkan beroperasi, tetapi orang yang sama juga mengajak orang lain untuk berkumpul.

“Saya rasa mereka double standard. Kumpulan ini cuba memecahbelahkan dan menimbulkan perasaan tidak senang. Kemudiannya (selepas dijangkiti COVID-19) barulah mereka sedar bahawa varian Delta ini merebak dengan cepat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama dekat Larut hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata polis akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini termasuk penganjur untuk tindakan seterusnya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata kehadiran beberapa tokoh atau pemimpin politik hanya mengeruhkan lagi keadaan dan merosakkan imej negara yang sedang berperang dengan pandemik COVID-19 ketika ini.

"Mereka bukan tokoh tapi ingin rosakkan negara. Saya tidak panggil mereka tokoh tetapi penghasut," katanya dan menambah tindakan susulan akan diambil dan diumum dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyampaikan sumbangan kira-kira 1,000 kotak makanan kepada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Siputeh, Ulu Selama. Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Hamzah turut mengumumkan peruntukan segera kira-kira RM200,000 untuk pembelian kit ujian COVID-19 agar saringan secara besar-besaran dilakukan dengan segera di kawasan tersebut sekali gus mengawalnya daripada terus merebak.

Seramai 5,152 penduduk di empat kampung membabitkan Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah, di Ulu Selama terlibat dalam PKPD selama 14 hari bermula tengah malam 27 Julai hingga 9 Ogos. - Bernama

Polis akan panggil semua pihak terlibat demo #Lawan

Polis akan memanggil semua pihak termasuk penganjur yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman, ia jelas melanggar peraturan dan seramai 400 peserta telah menyertai perhimpunan itu.

“Perhimpunan ini berlangsung dengan aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana ia jelas melanggar Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dengan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat sama ada bagi aktiviti keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan.

Beliau berkata peserta berkenaan telah menyasarkan Dataran Merdeka maka polis telah menghalang mereka memasuki kawasan itu.

“Oleh yang demikian, mereka mengadakan perhimpunan di luar kawasan Dataran Merdeka dan kami telah beri mereka masa untuk bersurai,” katanya.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Mohamad Zainal berkata kesemua peserta perhimpunan itu mematuhi SOP memakai pelitup separuh muka tetapi gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Jarak fizikal agar sukar dikawal kerana adakalanya kita terlupa, rapat antara satu sama lain. Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam perhimpunan itu,” katanya sambil menambah pihaknya menempatkan seramai 300 pegawai dan anggota polis bagi mengawal perhimpunan itu.

Mengulas sama ada penganjur ada memohon permit kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu, Mohamad Zainal berkata dalam tempoh kawalan pergerakan ketika ini sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali.- Bernama

Kabinet tak perlu dapatkan nasihat jawatankuasa khas, kata pensyarah


Kabinet tidak perlu mendapatkan nasihat daripada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Kabinet tidak perlu mendapatkan nasihat daripada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat yang dilaksana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Md Shukri Shuib berkata jawatankuasa itu hanya bersifat ad hoc dalam menasihati urusan tersebut.

“Dalam hal ini, tugas eksekutif lebih utama daripada jawatankuasa dan ia terpulang kepada mereka yang melantik jawatankuasa itu untuk menggunakan perkhidmatan (nasihat) jawatankuasa bebas itu atau tidak.

“Jawatankuasa ini bukanlah perjawatan yang tetap, nama pun jawatankuasa ad hoc, sekiranya diperlukan pandangan maka dia ambik la. Kita tidak boleh memaksa orang untuk terima pandangan sekiranya ia tidak diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkan pelantikannya dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sebagai sia-sia susulan perkembangan isu pembatalan Ordinan Darurat.

Memetik Bernama Md Shukri berkata isu pelantikan yang dianggap sia-sia itu tidak perlu timbul dan ia sekadar untuk mensensasi keadaan semasa.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil pula berkata, bidang kuasa Kabinet adalah lebih tinggi daripada sebarang jawatankuasa yang dibentuk dan mereka berhak untuk membuat keputusan mengikut lunas undang-undang.

“Dalam hal ini, memang Perdana Menteri dan Kabinetnya telah membuat keputusan yang betul daripada segi bidang kuasa, cuma isu ini timbul kerana mereka menganggap Kabinet seharusnya mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai bidang kuasa, Jamaie menjelaskan bahawa dari segi pemerintahan, Perdana Menteri mempunyai kuasa pentadbir dan Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai simbol kepada ketaatan rakyat terhadap undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru, katanya dari segi pentadbiran, Yang di-Pertuan Agong seharusnya mengikut nasihat Perdana Menteri dan jemaahnya seperti amalan biasa yang dilaksanakan di negara ini.

“Sepatutnya sebagaimana yang diamalkan di Malaysia selama ini, Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri.

“Namun apabila keadaan politik yang kurang stabil ketika ini, orang beranggapan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak yang mana persepsi dan pemahaman ini adalah salah sama sekali kerana pentadbiran oleh Perdana Menteri adalah lebih penting dan berkuasa,” katanya.

Surat kedua YDPA Agong kepada kerajaan, apakah maksud sebenarnya? Raja Petra Kamarudin

Raja Petra Kamarudin

Selepas kontroversi kenyataan semalam, nampaknya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong cuba memperbetulkan keadaan menerusi surat kedua yang tular dalam media sosial dan kali ini ia lebih bersifat peribadi bukan surat rasmi, yang boleh dibaca DISINI.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ejennya di Istana Negara – Dato ’Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja – sudah merencanakan kononnya “serangan maut” atau “pukulan maut”.

Strategi tersebut seakan cuba memperlihatkan seolah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional membelakangi Agong dan bertindak tanpa persetujuan Agong.

Dalam surat terkini atau yang kedua Agong sedang tular, Seri Paduka menjelaskan kronologi peristiwa. Semua tahu kronologi peristiwa tersebut, bahkan Perdana Menteri sudah menjelaskannya menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam. 

BACA SINI: KENYATAAN PEJABAT PERDANA MENTERI

Surat Kebawah Duli Yang Maha Mulia agak panjang dan berkemungkinan pembaca tidak dapat memahami maksud yang cuba disampaikan.

Oleh itu, saya cadangkan terus baca ke perenggan pertama di halaman empat kerana itulah intipati “dukacita” Yang di-Pertuan Agong, ia kemudiaannya dibangkitkan dalam surat pertama semalam yang dibacakan Anwar di Parlimen.

Apa yang diperkatakan pada perenggan pertama di halaman empat adalah, “Beta menitahkan agar cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.”

Semua sudah jelas disini. Surat empat halaman yang menjelaskan kronologi peristiwa tidak penting. Yang penting adalah kesimpulannya. Dan kesimpulannya adalah Yang di-Pertuan Agong menitahkan atau memerintahkan agar pembatalan Ordinan Darurat dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum menandatanganinya.

Itulah keseluruhan permasalahannya. Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk menitahkan atau memutuskan perkara sedemikian. Adalah tidak berperlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk menitah atau memutuskan perkara sedemikian.

Selain itu, ia bukan suatu masalah jika Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani pembatalan Ordinan Darurat. Mengikut pindaan perlembagaan 1994, tandatangan Agong tidak diperlukan.

Darurat atau tidak Darurat, Agong mesti mengambil nasihat Perdana Menteri. Darurat atau tiada Darurat, Agong tidak mempunyai kuasa budi bicara. Dan apa sahaja perintah atau perintah Agong tidak mengikat, dan Perdana Menteri tidak berkewajipan untuk tunduk kepada kehendak Agong.

Surat kedua ini yang menjelaskan urutan peristiwa tidak perlu dan tidak mengubah hakikat bahawa Agong mengambil bahagian dalam konspirasi untuk menjatuhkan pemerintah dan menggulingkan Perdana Menteri, Muhyiddin.

Mengapa Agong bertindak sedemikian, seperti yang dijelaskan dalam surat kedua ini, tidak relevan. Yang relevan adalah bahawa Agong bertindak di luar kuasanya, seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. AGENDA DAILY

Pengumuman batal darurat lebih kepada isu teknikal - Naib Presiden Pas

Muhafandi Muhamad
Pengumuman batal darurat lebih kepada isu teknikal - Naib Presiden Pas
MOHD AMAR: Ia bukan benda besar, cuma pembangkang jadikan isu, (sedangkan) ia isu teknikal yang boleh diperbetulkan. - Gambar fail
 
KOTA BHARU: Situasi yang berlaku melibatkan pembatalan Ordinan Darurat sehingga menggamatkan suasana Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat adalah lebih kepada soal teknikal.
 
Bahkan menurut Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, situasi panas dan provokasi sengaja diwujudkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, membuatkan seolah-olah ia satu perkara besar.
Sebaliknya, Pas berpandangan, isu berkenaan boleh diperbetulkan.
 
"Yang saya faham dari kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjelaskan bahawa kerajaan buat keputusan untuk tarik balik semua Ordinan Darurat kerana akan habis pada 1 Ogos, jadi kerajaan perlu buat (batalkan).
 
"Keputusannya (ialah) untuk tarik balik ordinan. Jika tidak darurat, bagaimana ordinan hendak wujud? Keputusan Kabinet, kebetulan (dibuat pada) 21 Julai. Jadi, itulah yang saya faham.
 
"Tetapi, isunya teknikal sahaja. Keluar kenyataan Istana yang kata begitu, itu saya tak tahulah.
 
"Cuma, saya membaca pandangan peguam, bahawa perkara ini tak perlu dirujuk sebab ini keputusan Kabinet," katanya ketika diminta mengulas situasi yang berlaku sehingga timbul desakan supaya Takiyuddin meletak jawatan.
 
"Ia bukan benda besar, cuma pembangkang jadikan isu, (sedangkan) ia isu teknikal yang boleh diperbetulkan," tambahnya.
 
Mohd Amar berkata, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menyelesaikannya tanpa memihak kepada sesiapa.

Agong isytihar darurat gantung PRN Sarawak hingga Februari 2022

 BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk menggantung Pilihan Raya Negeri Sarawak sehingga 2 Februari 2022.

Titah baginda, Proklamasi Darurat diisytiharkan bagi mengelak wabak COVID-19 terus merebak.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak. - BERNAMA

Sajat kena notis bankrap

Muhammad Sajjad selepas mendengar pertuduhan memiliki dan menjual produk kosmetik yang tidak didaftar di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 13 Oktober 2020. - Foto fail NSTP
Muhammad Sajjad selepas mendengar pertuduhan memiliki dan menjual produk kosmetik yang tidak didaftar di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 13 Oktober 2020. - Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini membenarkan notis kebankrapan terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan.

Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan, berkata ini berikutan kegagalan usahawan terbabit membayar penghakiman sebanyak RM200,000 kepada bekas stokis utama iaitu OWA Resources seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada April lalu.

"Dua plaintif dari OWA Resources iaitu Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, berkata notis berkenaan sudah dibuat minggu ini namun pihaknya belum menerima afidavit membantah notis kebankrapan itu oleh pihak Muhammad Sajjad.

"Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan. Oleh itu, kami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan, menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hafidzah berkata, tahun lalu anak guamnya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya dapat memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini akaun terbabit.

Difahamkan, pihak Muhammad Sajjad ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi itu secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) hingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87.

Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000.

Carl kasar, tapi netizen ‘Nauzubillah’, Erma Fatima pun ‘koyak rabak’

 Oleh MOHAMMAD SHAHEMY AZMI 

  GARA-GARA tidak melihat pensohor media sosial bernama Carl melakukan kesalahan besar, Erma mengambil tindakan menyekat komen berbaur kecaman dan kata-kata kesat dalam Instagramnya buat sementara waktu.

PETALING JAYA – “Malu, mual dan jijik aku nak paparkan bahasa anak bangsa aku!”

Itu antara perasaan yang dirasai pelakon serta pengarah tersohor negara, Erma Fatimah terhadap netizen yang melemparkan cacian dan maki hamun terhadapnya gara-gara mempertahankan tindakan pendekatan pensohor media sosial, Carl Samsudin memalukan seorang gelandangan warga emas yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Penerbit yang juga aktivis kemanusiaan berusia 53 tahun itu juga meminta maaf kerana terpaksa menutup ruangan komen Instagramnya lantaran tidak sanggup lagi membiarkan platform berkenaan menjadi medan caci maki umum yang tidak menyukai pendapat peribadi.

“Ini bukan perkara yang bagus, itu toksik. Lagi pun isu Carl ni saya tak perlu jadi viral. Dah tua, rumah kata pergi kubur kata mari. Saya berbalik kepada niat asal buka Instagram untuk suka-suka dan buat perkongsian positif.

“Setiap orang ada prinsip sendiri, saya ada prinsip sendiri, saya tak guna bahasa-bahasa yang tidak baik, begitu juga dengan Carl, mungkin sedikit kasar tetapi masing-masing ada prinsip masing.  Jadi saya minta maaf kerana Isntagram saya bukan tempat bermaki-makian. Jadi, saya terpaksa utup komen untuk meredakan emosi anda semua,” katanya.

Pada masa sama, pelakon yang terkenal dengan watak Mak Cun itu mengakui ‘koyak rabak’ dengan sikap netizen yang bukan main bercakap tentang kebiadabn sikap pensohor media sosial tersebut, namun hakikatnya adab diri sendiri ketika menghentamnya dalam media sosial lebih buruk dan memalukan.

“Ya betul, saya akui saya koyak rabak dengan sikap anak bangsa yang bercakap tentang adab tetapi ‘peradaban’ dia dalam media sosial ‘Nauzubillah’. Jadi saya minta maaf. Untuk suka saya, untuk yang tak suka mungkin mereka tak kisah,” luahnya.

Dalam hantaram berbeza, pemilik nama lengkap Fatimah Rahmad Ali itu lagi, turut menitipkan nasihat kepada netizen supaya berhenti daripada mengambil ‘kerja Tuhan’ untuk menghakimi seseorang dan asyik mencari kesalahan orang lain.

“Cukup-cukuplah perasan nak ambil kerja Tuhan. Asyik nak cari kesalahan orang, lepas itu tegur orang tak beradab.

“Cermin muka dulu sebelum kita nak tunding jari pada orang lain. Moga Allah SWT membuka mata hati kita untuk melihat kebenaran,” katanya.

Terdahulu, Erma meluahkan kekesalannya terhadap mentaliti dan sikap segelintir masyarakat Malaysia apabila suka mencari kesalahan orang lain sehingga dia dikecam hebat netizen.

Difahamkan, Erma dimaki dan dikecam apabila dia tampil memberikan kenyataan seolah-olah mempertahankan Carl yang mencetuskan rasa panas hati rakyat Malaysia apabila memalukan seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur baru-baru ini. – K! ONLINE

Herlan secara tiba-tiba pergi ke sebuah majlis perkahwinan salah seorang jirannya sambil memegang parang.

 Oleh KOSMO!

Herlan secara tiba-tiba pergi ke sebuah majlis perkahwinan salah seorang jirannya sambil memegang parang. – Outside

JAKARTA – Sebilangan tetamu sebuah majlis perkahwinan di wilayah Kalimantan Selatan lari bertempiaran apabila didatangi seorang lelaki berparang yang mengaku baru sahaja membunuh seorang individu lain, lapor laman berita Suara.com hari ini.

Lelaki  dikenali sebagai Herlan, 45, itu dilaporkan secara tiba-tiba hadir pada majlis perkahwinan salah seorang jirannya dan membuat pengakuan bahawa dia baru sahaja membunuh jirannya yang lain, Dedi Rahman.

“Saya telah membunuh Dedi,” kata Herlan seperti yang diceritakan oleh salah seorang tetamu yang hadir.

Menurut seorang lagi tetamu dikenali sebagai  Utuk, tiada seorang pun yang berani mendekati Herlan pada waktu itu.

“Dia seperti orang yang sedang mabuk dan tangannya sedang memegang sebilah parang,” katanya.

Beberapa penduduk kampung kemudian  pergi ke rumah Dedi untuk memeriksa keadaannya, dan sebaik tiba mereka mendapati lelaki itu berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak menggerakkan badannya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan, namun tidak dapat diselamatkan kerana mengalami cedera parah akibat dilibas parang pada bahagian pinggang, bahu dan belakang leher.

Punca pembunuhan dilaporkan masih tidak dapat dipastikan selain Herlan yang merupakan seorang bekas banduan turut melarikan diri ke dalam hutan.

Polis Indonesia buat masa ini masih memburu suspek. – AGENSI 

Penganjur jangka lebih 1,000 orang sertai perhimpunan “Keluar dan #Lawan”

Penganjur perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ menjangkakan kehadiran lebih 
1,000 peserta dalam bantahan di Dataran Merdeka esok.

PETALING JAYA: Gangguan berterusan diterima beberapa aktivis daripada pihak berkuasa menjadikan bantahan “Keluar dan #Lawan” esok ( SABTU ) sebagai satu perhimpunan yang penting untuk disertai lebih ramai orang, kata penganjur.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, yang menjadi sebahagian daripada penganjur perhimpunan, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata, bantahan itu adalah “jalan terakhir” untuk seluruh rakyat Malaysia menyuarakan kebimbangan dan tuntutan mereka terhadap kerajaan.

“Saya merasakan rakyat Malaysia tidak ada lagi jalan lain untuk menyuarakan kebimbangan mereka kecuali turun ke jalanan mengadakan bantahan.

“Kita sudah mengadakan kempen dalam talian, tanda pagar di media sosial dan banyak lagi tetapi nyata ahli politik tidak mendengar suara ini apatah lagi memberi perhatian terhadapnya,” katanya kepada FMT.

Qyira berkata sejak SSR mengadakan bantahan secara fizikal, lebih ramai peserta dan aktivis yang menyokongnya menerima gangguan daripada pihak berkuasa.

“Anda melihat ramai aktivis muda diganggu dan ditakutkan oleh pihak berkuasa. Saya rasa ini jelas menunjukkan kerajaan berasa tidak selamat dengan kedudukannya dan cuba menghalang orang ramai bersuara.”

SSR mengadakan beberapa bantahan kecil sebelum ini termasuk bantahan “Bendera Hitam” di Dataran Merdeka pada 17 Julai dan konvoi kenderaan pada 24 Julai sebelum perhimpunan “Keluar dan #Lawan” esok.

Susulan bantahan itu, penganjur dan peserta dipanggil polis kerana melanggar Perkara 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu larangan berhimpun.

Penganjur terbabit, Tharma Pillai, Afiq Adib dan Muhammad Alshatri turut dipanggil untuk disoal siasat polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan gerakan #Lawan adalah antara individu terbaru dipanggil pihak polis.

Pengasas kumpulan belia dikenali sebagai Misi Solidariti, Sarah Irdina Mohamad Ariff dibebaskan daripada tahanan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas disoal siasat selama 10 jam atas dakwaan menghasut dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Ditanya sama ada bantahan itu diadakan tepat pada masanya susulan kekecohan di Parlimen mengenai pembatalan Ordinan Darurat, Qyira berkata ia nampak berkaitan.

“Secara jujurnya, saya rasa kekecohan yang berlaku Parlimen ini memang menunggu masa untuk berlaku. Ini adalah satu manisfestasi terhadap kegagalan kerajaan dan bagaimana ia membiarkan isu dalaman memberi kesan terhadap pentadbiran.

“Saya merasakan orang ramai perlu menolak kegagalan ini dan mendesak supaya wakil rakyat kedua-dua belah pihak bersikap lebih bertanggungjawab.”

Selain itu katanya, SSR menjangkakan perhimpunan itu akan disertai lebih 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang.

“Saya jangkakan antara cabaran yang akan dihadapi adalah untuk memastikan semua peserta dalam keadaan selamat ketika mengadakan bantahan. Jadi, kami menekankan supaya semua yang hadir supaya mengikuti arahan daripada marshal dan dapatkan bantuan mereka untuk sokongan.”

Seorang peserta yang enggan dikenali berkata, dia menyertai bantahan itu untuk menuntut supaya demokrasi dikembalikan dan mereka yang gagal perlu meletakkan jawatan.

“Ia bukan satu gerakan kepartian berpihak kepada mana-mana parti tetapi penegasan terhadap hak dan kuasa rakyat. Tidak kiralah siapa yang menjadi Perdana Menteri selepas ini, mereka perlu tahu bahawa mereka boleh diberi tekanan untuk berundur sekiranya mengecewakan rakyat sekali lagi.”

61 individu termasuk 3 dalang buat duit curi elektrik dicekup

Suspek menggunakan teknik ‘pancing’ sebagai modus operandi mereka iaitu 
dengan menggantung cangkuk besi pada kabel pencawang utama. (Gambar 
PDRM)

PETALING JAYA: Polis memberkas 61 individu termasuk tiga lelaki yang disyaki menjadi dalang kegiatan curi bekalan elektrik, dalam Op Bersepadu di Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Operasi di kawasan setinggan Kampung Bawang, Kolombong bermula jam 5 hingga 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Zaidi Abdullah, semua yang ditahan itu terdiri daripada 39 lelaki dan 22 wanita berusia antara 16 hingga 60 tahun.

Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis kabel elektrik dianggarkan seberat 30kg yang digunakan dalam penyambungan serta kegiatan mencuri bekalan elektrik.

“Kita berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki menjadi dalang dalam penyambungan bekalan elektrik secara haram. Mereka dikatakan meminta bayaran daripada penduduk yang mahu membuat penyambungan baru dan penyambungan semula selepas bekalan dipotong SESB,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, suspek menggunakan teknik ‘pancing’ sebagai modus operandi mereka iaitu dengan menggantung cangkuk besi pada kabel pencawang utama bagi membolehkan aktiviti mencuri bekalan elektrik dilakukan.

“Berdasarkan pemerhatian kita, terdapat banyak wayar atau kabel dipasang secara berbahaya di kawasan penempatan itu. Lebih membimbangkan ialah banyak wayar dan kabel elektrik berada di takungan air,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Agong, Raja-Raja Melayu perlu waspada pihak cuba perangkap institusi raja

 Iskandar Hasan Tan Abdullah

Isu yang ada di hadapan kita sebenarnya sangat kecil sahaja, iaitu jemaah menteri pada 21 Julai telah memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.

Riuh seluruh negara bila Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, mengeluarkan kenyataan terbuka yang:

(1) Menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Seri Paduka.

(2) Menzahirkan rasa amat dukacita Seri Paduka kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin Hassan, menteri undang-undang, dan Idrus Harun, peguam negara, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

(3) Menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan terbuka ini dibuat di saat-saat ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya Ahli-Ahli Parlimen Sepang dan Puchong, Mohamed Hanipa Maidin dan Gobind Singh Deo, berusaha keras mahu merujukkan Takiyuddin Hassan ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen atas dakwaan bahawa beliau mengelirukan Parlimen.

Pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan ordinan darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong ini juga segera disambut dengan meriahnya oleh ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, sendiri yang terus sahaja mengemukakan satu usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Ia juga disambut riang oleh ahli-ahli akademik tertentu yang sememangnya sudah tidak berpuas hati dengan kerajaan, termasuklah Dr Mohammad Agus Yusoff, yang dengan lantangnya menyebut “hari ini berlaku lagi krisis perlembagaan” dan “kerajaan ini perlu pergi” kerana “kerajaan ini telah melakukan pembohongan besar dan mengenepikan prinsip Perlembagaan serta tidak menghormati institusi diraja” dan “ini boleh dikira sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, terhadap Perlembagaan, memberi salah nyata palsu kepada Dewan Rakyat, mengelirukan Dewan Rakyat, dan membohongi rakyat Malaysia keseluruhannya.”

Dengan sedih sekali, kesemua perkara ini menimbulkan tanda tanya di dalam minda sebahagian besar rakyat mengenai kedudukan tinggi dan neutral Yang di-Pertuan Agong selaku payung rakyat kerana perkembangan ini memberikan gambaran seolah-olah Seri Paduka, sama ada disedari atau tidak, telah terperangkap atau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

Mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah peguam negara, oleh itu jika timbul indikasi bahawa Seri Paduka membelakangkan nasihat peguam negara dan menerima pakai nasihat orang-orang lain, dan Seri Paduka yang sepatutnya menerima nasihat pula bertindak memberi nasihat kepada pihak yang sepatutnya memberi nasihat maka sudah pastilah keadaan akan menjadi tunggang-terbalik.

Isu yang ada di hadapan kita sebenarnya sangat kecil sahaja, iaitu jemaah menteri pada 21 Julai telah memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Perdana Menteri, perdana menteri telah pada 23 Julai mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri dan memohon limpah perkenan Seri Paduka ke atasnya.

Bila perkenan ini tidak diperolehi sehingga pada 26 Julai 2021 Takiyuddin Hassan, yang berdepan dengan desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka telah mengumumkan bahawa kerajaan, iaitu jemaah menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Perdana Menteri juga, pengumuman Takiyuddin Hassan ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

Mungkin bahasa dan cara penyampaian yang digunakan oleh Takiyuddin Hassan tidak begitu jelas kerana beliau tidak memaklumkan sama bahawa pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi sebarang kedukacitaan ke atasnya boleh sahaja dizahirkan secara tertutup seperti lazimnya.

Adalah menjadi jangkaan semua pihak bahawa perkenan atau tidak perkenan ke atas pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibuat sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai, tetapi bila ia tidak muncul pastilah spekulasi akan timbul.

Sekiranya perkenan tidak diberikan pun, perkara ini tidak akan menjadi isu, apa lagi sehingga ke peringkat krisis perlembagaan, kerana bila Proklamasi Darurat berakhir pada 1 Ogos ordinan-ordinan darurat berkenaan akan terbatal dengan sendiri enam bulan dari tempoh itu.

Hanyasanya, pendedahan dan kritikan terbuka Istana Negara ini dilihat sebagai kurang bijaksana kerana menyebabkan situasi politik kembali menjadi hangat sehingga memerlukan Pejabat Perdana Menteri turut membuat kenyataan terbuka bagi menjelaskannya.

Sebab itulah Raja-Raja Melayu perlu sentiasa mengingati perisytiharan prinsip-prinsip Perlembagaan yang dibuat oleh baginda-baginda semua pada 4 Julai 1992 yang berbunyi “kita selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri.”

Dalam konteks inilah juga relevannya ingatan tokoh ulung negara, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, dan penyandang kerusi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Dr. Shamrahayu A. Aziz pada 20 Jun lalu supaya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang cuba mengheret institusi ini untuk melakukan perkara di luar bidang kuasa baginda-baginda semua.

(*) Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

 

Jumaat, 30 Julai 2021

Pembantu perubatan ditemukan mati dalam rumah

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
MAYAT P. Aravonthan dibawa anggota polis ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban selepas lelaki itu ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Nusa Intan, Seremban hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

SEREMBAN: Seorang pembantu perubatan ditemukan mati seorang diri di dalam sebuah rumah di Taman Nusa Intan dekat sini, hari ini.

Lelaki berkenaan, P. Aravonthan, 30, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, polis menerima laporan kejadian tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi daripada seorang rakan lelaki itu yang  ke rumah berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai mempunyai masalah peribadi. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, abang mangsa, P. Kaviyarasan, 32, berkata, kali terakhir dia menghubungi adiknya adalah pada hari Rabu lalu untuk bertanya khabar.

“Masa saya hubungi dia okay sahaja dan tidak memaklumkan dia mengalami masalah ataupun sakit.

“Lagipun dia jarang berkongsikan masalahnya dengan orang lain, namun dia sangat disenangi orang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

PM zahir ucapan tahniah ulang tahun keputeraan Agong

Bernama 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah menyambul hari keputeraan ke-62 hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah yang ke-62 hari ini.

Muhyiddin menzahirkan ucapan itu menerusi satu poster dalam hantaran di laman sosial Facebook dan Twitternya dengan kapsyen Daulat Tuanku.

Menerusi poster itu, Muhyiddin merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah ke atas Sultan Abdullah, Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya.

“Semoga Allah memberkati pemerintahan berjiwa rakyat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya dalam poster itu.

Ada pihak tercabar dengan kejayaan PN tadbir negara, kata presiden PAS

 Bernama

PN berjaya wujudkan kerajaan campuran termasuk dalam kalangan parti bumiputera dan parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem.

Kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan kerajaan campuran termasuk dalam kalangan parti bumiputera dan parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem, menyebabkan ada pihak yang berasa tercabar.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata ia lebih-lebih lagi apabila kerajaan PN menunjukkan perubahan positif (kebaikan) dalam pentadbiran berbanding kerajaan terdahulu.

“Maka sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara.

“Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman anasir luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tandatangan Agong bukan keperluan untuk batal ordinan darurat, kata bekas hakim kanan

 MalaysiaNow

Gopal Sri Ram memetik kes penting berkait Perlembagaan sebelum ini yang menunjukkan Kabinet memiliki kuasa paling tinggi.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan terkemuka berkata tandatangan Yang di-Pertuan Agong bagi keputusan Kabinet untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat bukanlah keperluan, dalam apa yang mungkin menjadi jalan keluar Perlembagaan terhadap kebuntuan yang tercetus selepas istana menolak untuk memberi perkenan terhadap langkah untuk menamatkan perintah darurat.

Gopal Sri Ram berkata duluan kehakiman pernah terjadi dalam kes perlembagaan lebih kurang enam dekad lalu.

Beliau merujuk kes 1963 antara kerajaan persekutuan dan negeri Kelantan, di mana hakim ketika itu adalah ketua hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia Sir James Beveridge Thomson, membuat penghakiman yang memberikan kuasa eksekutif kepada Kabinet untuk bertindak atas nama raja.

“Jika anda baca penghakiman Thomson dalam kes tersebut secara teliti, jelas Kabinet mempunyai kuasa tertinggi dalam semua perkara,” kata Sri Ram yang pernah berkhidmat di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selain bertanggungjawab memberikan 800 penghakiman yang dianggap sebagai pakar udang-undang di mahkamah Komanwel kepada MalaysiaNow.

Semalam, dalam sebuah kenyataan media, Istana Negara mendedahkan Agong belum memberikan perkenannya terhadap nasihat Kabinet untuk membatalkan ordinan darurat berkuat kuasa pada 21 Julai lalu selain keputusan untuk tidak melanjutkan darurat selepas dijadualkan tamat pada 1 Ogos.

Istana juga berkata Agong dukacita kerana kerajaan mengumumkan keputusan itu tanpa membahaskannya terlebih dahulu di Dewan Rakyat.

Sebagai respons, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengeluarkan butiran pertemuan dan komunikasi melibatkan Kabinet dan Agong, menolak dakwaan pembatalan tersebut tidak mengikut prosedur undang-undang dan Perlembagaan.

Kenyataan diraja tersebut mencetuskan banyak gesaan daripada pemimpin pembangkang supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, menuduh beliau derhaka kepada Agong.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata jika terjadi keadaan di mana Agong masih menolak untuk menandatangani dokumen, ia tidak memberi kesan terhadap pengesahan keputusan Kabinet tersebut.

“Kes Kelantan itu mengatakan tandatangan tiga menteri sudah cukup. Ia juga sah kerana Kebinet menjalankan tugas atas nama raja, maka tandatangan rasmi daripada raja tidaklah penting.”

Dalam kes yang 1963 tersebut, negeri Kelantan mencabar kesahan Perjanjian Malaysia (MA63), mengatakan ia tidak perlu mengikatnya kerana ia akan memansuhkan perjanjian 1957 yang membentuk Persekutuan Tanah Malayu.

Kelantan mempersoalkan MA63 tidak mendapat persetujuan sultannya berikutan beberapa pertukaran dalam Perlembagaan.

Dalam kes tersebut, hakim Thomson memutuskan MA63 ditandatangan bagi Persekutuan Tanah Melayu oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan empat lagi ahli Kabinet.

“Tidak ada apa-apa dalam Perlembagaan yang mensyaratkan perundingan bersama kerajaan negeri atau sultan mana-mana negeri,” katanya.

Sultan Selangor titah percepat vaksinasi kepada imam, bilal, siak

HARAKAH DAILY
Foto daripada Facebook Selangor Royal Office.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor supaya mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 kepada para imam, bilal dan siak di masjid serta surau, dan jurunikah di seluruh Selangor.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, ia adalah sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya bagi menunaikan Solat Jumaat, bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Baginda berpandangan adalah penting untuk imam, bilal dan siak serta Jurunikah ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan, kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Kenyataan yang sama memaklumkan baginda juga berkenan berangkat mengurniakan watikah pelantikan Sahibus Samahah, Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor dan Timbalan Mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Kenyataan itu menyebut Datuk Dr Anhar Ophir kini secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuat kuasa 21 Mei.

Anhar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Mufti Selangor sejak 2016 memiliki kelulusan tertinggi Ijazah Doktor Falsafah (Feqh Wa Usuluh), Mumtaz dari The World Islamic Sciences And Education University (WISE), Jordan dan Ijazah Sarjana (Falsafah Islamiah), Mumtaz dari Universiti Kaherah, Mesir.

Jawatan Timbalan Mufti Selangor pula kini diambil alih oleh Prof Madya Dr. Miszairi Sitiris.

Miszairi yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah IRKH (Fiqh dan Usul Al-Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) sebelum ini bertugas sebagai Pensyarah di IIUM sejak 1996. BERNAMA

Pegawai Imigresen didenda RM30,000 kerana rasuah

KUCHING: Seorang pegawai Imigresen didenda RM30,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM8,200 sebagai balasan melepaskan warga asing yang melanggar pelbagai kesalahan imigresen pada 2017.

Hakim Steve Ritikos membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Dina Azanina Morshidi, 41, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Wanita terbabit sebelum itu menghadapi 22 pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membabitkan nilai rasuah sebanyak RM109,600 dan 22 pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 membabitkan nilai rasuah dalam jumlah yang sama.

Bagaimanapun, semua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan 20 pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 digugurkan.

Dalam pertuduhan pilihan pertama mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009, Dina Azanina yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dituduh menerima wang sebanyak RM1,100 yang dimasukkan ke dalam akaun Malayan Banking Berhad, Cawangan Kuching Selatan milik anaknya pada 22 November 2017.

Dalam pertuduhan pilihan kedua mengikut akta yang sama pula, dia dituduh menerima wang berjumlah RM7,100 di dalam akaun sama pada 5 Disember 2017.

Dia didakwa menerima wang itu daripada seorang lagi Pegawai Imigresen Gred KP19, Mohd Shah Ezywan yang bertindak bagi pihak ejen untuk melepaskan warga China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang melanggar Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda dia akan dikenakan 10 bulan penjara.

Dina Azanina yang tidak diwakili peguam, membayar denda itu dan mahkamah membenarkan lucuthak terhadap barang kemas milik tertuduh yang bernilai RM10,000 dan wang di dalam akaun anaknya yang berjumlah RM200,000.

Majoriti petugas barisan hadapan dijangkiti COVID-19 bergejala ringan

BH ONLINE
Petugas KKM menunjukkan picagri kepada penerima vaksin COVID-19 pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Jalan Kampung Melayu, Air Itam, Georgetown, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Petugas KKM menunjukkan picagri kepada penerima vaksin COVID-19 pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Jalan Kampung Melayu, Air Itam, Georgetown, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan di fasiliti kesihatan yang dijangkiti COVID-19 meskipun menerima dua dos suntikan vaksin, majoritinya tidak bergejala (kategori satu) atau hanya menunjukkan gejala ringan (kategori dua).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, berkata sehingga kini 4,761 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada keseluruhan 246,242 yang divaksin sepenuhnya, dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun katanya hanya lapan petugas berada di kategori tiga, manakala tiga petugas di kategori empat dan tiada yang dirawat sebagai pesakit kategori lima di unit rawatan rapi (ICU).

"Oleh kerana petugas ini bekerja dalam keadaan yang amat berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, maka jangkitan tetap boleh berlaku meskipun selepas mereka lengkap divaksin dengan dua dos suntikan.

"Cuma bezanya dengan vaksinasi lengkap terhadap petugas kesihatan ini yang hari-hari terdedah dengan jangkitan, ia dapat mencegah mereka daripada mendapat jangkitan wabak yang teruk dan dalam kategori serius," katanya dalam sesi pembentangan mengenai vaksin COVID-19 bersama media secara maya.

Beliau berkata 1,494 petugas berada di kategori satu manakala 3,256 pula di kategori dua.

"Jadi kita hendak keadaan yang sama dapat kita beri kepada rakyat… sekiranya mereka divaksin dan kemudiannya terdedah dengan virus COVID-19, mereka akan dapat dicegah daripada mendapat penyakit itu dalam kategori serius sekiranya dijangkiti," katanya.

Sementara itu Dr Hishamshah berkata Labuan yang sebelum ini mencatatkan angka positif yang sangat tinggi, kini menyaksikan hanya dua pesakit berada di ICU setelah proses pemberian vaksin di Wilayah Persekutuan itu dipertingkatkan.

"Keadaan sama dapat kita lihat di Sarawak, dengan keadaan sekarang jumlah pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin berkurang, apabila kadar vaksinasi di negeri itu mulai ditingkatkan," katanya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa beberapa kelonggaran akan diberikan termasuklah aktiviti rentas negeri, sekiranya negara berjaya mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada Oktober tahun ini.

Beliau berkata mengikut pengalaman negara luar, apabila seseorang itu telah lengkap divaksin dan negara hampir mencapai imuniti kelompok, mereka berkemungkinan boleh merentas negara, daerah dan sebagainya.

"Kita perlu bergerak, perlu kembali kepada keadaan normal, sekurang-kurangnya kita boleh meneruskan kehidupan serta perhimpunan sosial dan sebagainya dalam norma baharu, namun ini hanya akan dapat dicapai sekiranya kadar vaksinasi dalam komuniti kita terus tinggi, jadi kita mahu orang ramai terus divaksin secepat mungkin, supaya kita boleh bergerak ke peringkat berikutnya," katanya.

Bagaimanapun, Dr Hishamshah berkata jumlah kes baharu tidak akan turun secara mendadak, malah ia akan berterusan untuk beberapa hari, namun dengan kadar vaksinasi yang meningkat dan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP), rantaian COVID-19 akan dapat diputuskan.

Sementara itu beliau berkata KKM sedang merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang 'self-sufficient' dalam pembangunan vaksin agar negara tidak perlu bergantung dengan vaksin keluaran negara luar.

"Buat masa ini negara sedang membangunkan dua jenis vaksin COVID-19 iaitu menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) dan teknologi Virus Ternyahaktif di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," katanya.

Dr Hishamshah berkata KKM menjangkakan dalam seminggu ini, negara akan dapat mencapai kadar vaksinasi sebanyak 40 peratus untuk dos pertama.

Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kapasiti pemvaksinan yang ditingkat dan dimantapkan sehingga menyaksikan lebih 500,000 suntikan mampu diberikan dalam sehari di seluruh negara.

"Kita boleh katakan bahawa kita telah melaksanakan proses vaksinasi dengan baik, walaupun kita perlu akui bahawa di peringkat awal Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) permulaan agak perlahan. Ia bukan kerana kita teragak-agak untuk mevaksin, tapi disebabkan isu bekalan vaksin ketika itu, malah ketika ini juga bekalan vaksin masih belum mencukupi untuk seluruh dunia," katanya.

"Namun sekarang jika kita bandingkan Malaysia dengan negara jiran dan juga seluruh dunia, termasuk Australia dan Jepun dari segi kadar vaksinasi per kapita, laman web Our World in Data baru-baru ini menunjukkan bahawa kadar vaksinasi di Malaysia sebenarnya adalah yang tertinggi," katanya.

Dr Hishamshah berkata negara memang berhasrat meningkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin, tetapi ia banyak bergantung kepada bekalan seluruh dunia yang masih lagi belum mencapai tahap yang diharapkan lagi. – BERNAMA