Friday, June 25, 2021

KKM serius laksana polisi kuarantin pengembara

 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Noor Hisham

PUTRAJAYA –  Kementerian Kesihatan (KKM)  kekal serius dalam pelaksanaan polisi kuarantin pengembara luar negara bagi memastikan risiko jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat diminimumkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelbagai rayuan sememangnya diterima oleh jawatankuasa pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Rayuan ini rata-ratanya berkaitan permohonan pengecualian dan pemendekan tempoh kuarantin oleh pengembara yang pulang dari luar negara atas sebab sebab tertentu.

“KKM memahami pelbagai situasi peribadi yang mereka hadapi. Sehubungan itu, KKM juga ingin memaklumkan sebarang permohonan dan rayuan perlu melalui proses penilaian yang sangat ketat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penentuan tempoh kurantin wajib itu adalah berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa.

“Pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan VOI. Ia didapati lebih cepat merebak serta menyebabkan risiko kematian yang lebih tinggi.

“Malahan ini juga merupakan amalan ini turut dijalankan oleh kebanyakan negara lain,” tegasnya.  -K! ONLINE

No comments: