Friday, June 25, 2021

Gerai musnah, makanan bertaburan dipukul ribut

 Oleh RAJA JAAFAR ALI

Antara khemah yang rosak akibat hujan lebat dan angin kencang di tapak penjaja di Taman Rinting, Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Itu situasi getir yang dihadapi lebih 30 penjaja di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai, Pasir Gudang di sini apabila gerai dan makanan musnah dalam kejadian hujan lebat serta ribut dalam petang hari ini.

Seorang peniaga aiskrim, Hajarah Osman, 39, berkata, kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku dengan pantas dan barang niaga serta jualan tidak sempat diselamatkan.

“Ketika kejadian saya balik solat asar dekat rumah, gerai anak sulung saya jaga, lepas solat saya ke tapak berniaga, dalam perjalanan hujan renyai beserta angin kencang.

“Sampai sahaja habis barang jualan bertabur, khemah patah, anak cakap memang tak sempat nak selamatkan, mereka selamatkan diri terlebih dahulu,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga rojak, Nurshida Annas, 37, berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan sekelip mata.

“Hujan renyai-renyai lepas datang angin biasa sebelum yang kuat datang sekali harung, habis musnah.

“Saya cuba pegang khemah tetapi dengan saya terangkat,”katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon Rinting 1, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Muhammad Farid Abd. Razak berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Datuk Bandar MPPG.

Jelasnya, peniaga yang terjejas akan diberi bantuan kecemasan secara ‘one-off’ antara RM100 hingga RM200 untuk meringankan beban yang dihadapi peniaga.

“Penjaja di sini lebih kurang ada 60 peniaga tetapi ada jadual sebab ada yang meniaga pagi ada yang meniaga petang, untuk petang ini lebih kurang 30 hingga 40 peniaga terlibat.

“Kita sedang kumpul data dan bantuan kecemasan akan disalurkan bagi membantu mereka yang sedang bergelut dengan situasi sukar lebih-lebih lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,”katanya.- K! ONLINE

No comments: