Isnin, 5 Ogos 2019

Kemalangan dekat istana, agong singgah jenguk

MALAYSIAKINI

   
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau mangsa kemalangan jalan raya di jalan susur dari pintu utama Istana Negara pagi tadi.

Menerusi video 51 saat yang dimuat naik Instagram Istana Negara, baginda yang berpakaian baju Melayu putih dan songkok hitam, menuruni kenderaan rasminya semata-mata untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar.

Baginda menuju ke arah seorang wanita berjubah hitam yang kelihatan terkejut dan tersipu-sipu dengan kehadiran baginda serta pengiringnya.

Wanita itu tersenyum sambil berbual pendek dengan baginda, seolah-olah menceritakan mengenai insiden tersebut.

Bagaimanapun, wanita tersebut tidak mengalami kecederaan serius.
Kemudian, baginda dilihat berjalan berlalu ke arah sebuah kereta Toyota Vios kelabu yang mengalami kesan kemalangan yang agak teruk sambil diperhatikan oleh beberapa orang yang berada di situ.

Difahamkan, baginda kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 26 Jun lalu, baginda menghulurkan pertolongan kepada mangsa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke mesyuarat prakabinet bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.