DIALOG RAKYAT

MELAPORKAN BERITA-BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA...

Tuesday, June 25, 2019

Ejek mungkin punca pelajar sekolah di Setiu dibuli, kata polis

Bernama
Klip video kejadian seorang pelajar dibuli dalam kelas di sebuah 
sekolah menengah di Setiu tersebar di Twitter sejak pagi tadi.
(Twitter @pedoqpop)

KUALA TERENGGANU: Polis belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan kes buli membabitkan 2 pelajar sekolah menengah di Terengganu yang klip video perbuatan itu tersebar di Twitter sejak pagi tadi.

Ketua Polis Terengganu, Aidi Ismail bagaimanapun berkata, insiden itu dalam makluman polis dan dipercayai berpunca daripada tindakan ejek-mengejek yang berakhir dengan kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 2 dan 4 di sebuah sekolah menengah di Setiu, pagi semalam.

Difahamkan, katanya, pihak sekolah sedang berunding dengan ibu bapa 2 pelajar berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian tanpa membabitkan polis, dan polis memang memandang serius perkara itu.

“Kami nasihatkan semua pihak, termasuk ibu bapa dan sekolah memainkan peranan masing-masing bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
Sejak pagi tadi, tersebar satu rakaman video 13 saat memaparkan seorang pelajar lelaki menumbuk dan menendang seorang pelajar dalam sebuah kelas sambil diperhatikan beberapa pelajar lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata beliau masih menunggu laporan penuh daripada sekolah terbabit dan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu berkaitan kejadian itu.

“Saya dimaklumkan kejadian itu berlaku pada waktu rehat melibatkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 2,” katanya ketika dihubungi Bernama.

“Saya sudah mengarahkan PPD Setiu dan pengurusan sekolah terbabit mengambil tindakan berhubung perkara ini dan melaporkan segera kepada Jabatan Pendidikan Terengganu.”

ELBI RISALAH at 6/25/2019 05:09:00 PM
Share

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

‹
›
Home
View web version
Powered by Blogger.