Aksi pusingan kedua perlawanan bola sepak Piala FA antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat Kuala Lumpur, hari ini, terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu susulan hujan lebat dan petir.
Komisioner Perlawanan, Abd Rais Mohd Shaarani berkata keputusan tersebut dicapai setelah pegawai perlawanan mengadakan mesyuarat dengan wakil kedua-dua pasukan berkenaan.
“Perlawanan pada petang ini ditunda kepada satu tarikh baharu yang akan ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia dan penundaan perlawanan ini disebabkan keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui pemberita di venue perlawanan.
Dalam pada itu, pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar jelas tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai perlawanan menangguhkan perlawanan tersebut kerana mendakwa mereka perlu menanggung kos perjalanan yang agak tinggi untuk pasukan Sarawak.
Berbeza pula dengan pandangan disuarakan pengurus Sarawak, Hamzah Brahim yang bersetuju dengan keputusan komisioner perlawanan bagi mengelak kejadian tidak diingini sekiranya perlawanan berkenaan diteruskan.
“Keputusan (penangguhan) ini adalah terbaik kerana kita melihat dari sudut keselamatan pemain. Walaupun hujan semakin reda, petir sentiasa berlaku, jadi kita tidak mahu ambil risiko.
“Sekiranya berlaku kejadian di atas padang, kita tidak mahu kedua-dua pihak saling tuding menuding di antara satu sama lain, jadi kita ambil keputusan tidak mahu meneruskan perlawanan ini,” tegas Hamzah.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan