Salah satu kepantangan dalam perjuangan ialah merajuk dan mudah mengalah kepada cabaran yang mendatang.
Perjuangan ibarat sebuah bas yang sentiasa bergerak menuju destinasi
yang disasarkan dan ia tidak akan berhenti semata-mata untuk menunggu
mereka yang merajuk atau mudah mengalah itu terubat calar di hatinya.
Tidak sedikit berlaku dalam lipatan sejarah negara dan dunia mereka
yang merajuk atau mudah mengalah akhirnya ditinggalkan begitu saja oleh
sebuah perjuangan.
Jika Anwar Ibrahim merajuk dan mudah mengalah selepas episod 1998
dahulu, beliau pasti tidak berada sekali lagi dalam kedudukan untuk
menjadi Perdana Menteri sekarang ini.
Anwar telah membuktikan bukan saja di dunia bebas beliau melawan,
bahkan di dalam penjara pun semangat melawannya tidak pernah mengurang.
Jika Anwar merajuk dan mudah mengalah, isterinya Dr. Wan Azizah Wan
Ismail tentu tidak terfikir untuk menggapai kedudukan sehingga ke
jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika ini.
Jika Anwar merajuk dan mudah mengalah, Nurul Izzah ketika ini mungkin
hanya seorang suri rumah atau pekerja profesional biasa saja.
Hakikatnya, disebabkan Anwar tidak pernah merajuk, jauh sekali mudah
mengalah, malah menggegarkan negara dengan slogan “lawan tetap lawan”
sejak 1998 itulah yang menjadikan keseluruhan episod politik negara
telah berubah seperti mana yang disaksikan dunia pada hari ini.
Tun Mahathir Mohamad ketika namanya tidak berapa dipersetujui oleh
pihak-pihak tertentu dalam PH sebagai calon Perdana Menteri sebelum
PRU14 lalu pernah merajuk sehingga lari ke London membawa diri.
Beliau kemudian telah dipujuk oleh Nurul Izzah yang turut sama terbang ke London menemuinya.
Jika Tun Mahathir terus merajuk dan mudah mengalah, beliau tentu
ketika ini tidak mampu duduk sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.
Merajuk dan mudah mengalah telah dibuktikan adalah suatu kerugian, bukan saja dalam perjuangan, tetapi juga kehidupan.
Lantaran itu, adalah suatu tindakan yang malang apabila Nurul Izzah
mengumumkan beliau sudah patah hati dan memaklumkan tidak mahu
bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang nanti.
Nurul Izzah telah mengorbankan masa remajanya untuk memenuhi tuntutan
perjuangan akibat penganiayaan dan kezaliman terhadap bapa dan
keluarganya, maka setelah perjuangan itu membuahkan hasil dengan
tumbangnya BN sekarang, tentu saja suatu perbuatan sia-sia dengan
keputusannya mengumumkan mahu mengundur diri itu.
Apa juga cabaran, termasuk daripada bekas diktator yang
menyebabkannya patah hati, segala itu haruslah dihadapi dengan tenang
dan matang.
Semua itu adalah rencah-rencah perjuangan belaka. Tun Mahathir yang
berubah watak antara sebelum dan selepas mendapat kuasa tidak harus
dijadikan alasan untuk mengendur atau mudah mengalah.
Apatah lagi setelah dewasa dan matang dengan perjuangan yang
diceburinya sejak zaman remaja, Nurul Izzah kini disebut-sebut sebagai
antara aset paling layak untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari hari
nanti.
Kalau ibunya, Dr. Wan Azizah adalah wanita pertama berjaya memegang
jawatan Timbalan Perdana Menteri, Nurul Izzah adalah calon wanita
pertama di negara ini yang dilihat akan menjadi Perdana Menteri.
Sejak bergelar puteri reformasi lagi, tidak sedikit sumbangannya
dalam memberi inspirasi kepada rakyat pelbagai kaum untuk terus berjuang
dan menceburi dunia politik demi menyelamatkan negara ini.
Dengan sudah melibatkan diri dalam dunia politik sejak remaja, faham
erti penindasan, penganiayaan, kesusahan dan penderitaan, Nurul Izzah
barangkali mampu menterjemahkan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk
rakyat suatu hari hari nanti.
Berdasarkan itu, adalah suatu kerugian yang tiada taranya dengan keputusan Nurul Izzah mahu mengundurkan diri itu.
Demi masa depan negara ini, beliau perlu menarik balik keputusan mahu berundur itu.
No comments:
Post a Comment