MUAR – Sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) yang
menerima peruntukan kerajaan melalui wakil rakyat dilaporkan perlu
menyerahkan 30 peratus daripada jumlah yang diterima sebagai ‘komisen’
kepada seorang lelaki yang mendakwa diri sebagai pembantu kepada
menteri.
Sinchew Daily melaporkan, seorang wakil rakyat di Muar, Johor telah
menyediakan peruntukan kepada SRJKC untuk tujuan pembelian peralatan,
tetapi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pembantunya meminta untuk
diberikan 30 peratus daripada peruntukan asal sebagai ‘komisen’ dan
‘rebat’.
PIhak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul
Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar bagaimanapun menafikan lelaki itu
sebagai pembantu kepada menteri.
Walau bagaimanapun, pendedahan pihak sekolah mengundang reaksi
daripada lembaga-lembaga pengurusan sekolah yang kesal bahawa amalan
penyelewengan kerajaan terdahulu masih berterusan.
Difahamkan, kejadian melibatkan beberapa buah SRJKC dan juga sebuah
sekolah menengah itu telah mengundang rasa tidak puas hati lembaga
pengurusan dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SRJKC Muar, Chen Da Cheng mengesahkan perkara itu kepada Sinchew Daily.
Katanya, isu berkenaan sudah dipanjangkan kepada Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.
“Lembaga pengurusan sekolah mengadu bahawa peruntukan untuk tujuan pembelian peralatan dikenakan potongan ‘komisen’ 30 peratus. Keadaan seperti ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
Menurut sumber, sesetengah sekolah memilih berdiam diri dan sudah menerima peralatan yang dijanjikan.
Dalam satu kes melibatkan sekolah yang menerima peruntukan sebanyak RM20,000, ‘pembantu’ wakil rakyat menawarkan peralatan bernilai RM14,000 kepada sekolah manakala bakinya dijadikan ‘komisen’.
Permintaan ketua PIBG untuk menerima peruntukan penuh RM20,000 dalam bentuk tunai supaya pihak sekolah membeli sendiri peralatan yang diperlukan juga ditolak lelaki tersebut yang mahu peruntukan diberi dalam bentuk peralatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan