Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa rakyat Selangor akan membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2013 apabila pembelian Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) oleh Syarikat Air Selangor berjumlah RM2.55 billion dimuktamadkan.
Beliau berkata, strategi kerajaan negeri Selangor telah memberi peluang kepada pemilik saham Splash mendapat keuntungan dan pampasan yang berlebihan.
Pada masa yang sama, katanya ia juga telah meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.
“Secara dasarnya saya tidak terperanjat dengan pengumuman ini kerana sememangnya antara sebab saya diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014 adalah kerana kecenderungan pimpinan PKR yang mahukan tawaran yang tinggi diberikan kepada Splash dan saya atas dasar menjaga kepentingan rakyat telah menolaknya,”ujar beliau di laman Facebooknya hari ini.
Beliau percaya kerajaan hari ini akan mengkaji semula atau mungkin menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang telah dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pada 2008 yang lalu.
“Saya doakan agar rakyat Selangor tabah menghadapi perubahan yang besar ini,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Selangor akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan berhubung cadangan kenaikan tarif air.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat di Langkawi Ogos ini.
Menurutnya, penstrukturan air dan pengambilalihan Splash dijangka akan memberikan kesan terhadap kemampuan kerajaan negeri membiayai kos tersebut.
“Perkara itu akan diputuskan oleh kerajaan negeri dengan mengambil kira pertimbangan semua sudut dan pandangan. Ia termasuk kaedah pembiayaan dan tidak memberikan kesan kepada golongan B40.
“Ia penting bagi mengelak isu berbangkit dan memastikan agenda serta program rakyat tidak terjejas, disebabkan isu pembiayaan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli , Dr Xavier Jayakumar dalam wawancara dengan Malay Mail dipetik berkata, peningkatan tarif air di Selangor dijangka tidak dapat dielakkan selepas kerajaan negeri melakukan penstrukturan semula pengurusan air bulan hadapan.
Xavier berkata, soal kenaikan tersebut dijalankan secara berperingkat bukannya terus kepada 100 peratus kenaikan demi mendapatkan perkhidmatan bekalan air terawat yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment