Tuesday, April 24, 2018

Percaturan Politik Ponorogo Di Sebalik Goncangkan Nama Tian Chua





Di sebalik cubaan menggoncangkan nama Tian Chua yang dikatakan tidak akan dicalonkan semula bertanding di Parlimen Batu, terdapat krisis besar yang melanda parti keadilan itu, kata bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) Herman Samsudeen.

Menurutnya, terdapat pertarungan kuasa dalaman PKR yang diketuai dua fraksi; ponorogo pimpinan Rafizi Ramli dan Kartel, pimpinan Azmin Ali.

Tulisan lengkap Herman Samsudeen.

FAHAMI PERCATURAN POLITIK RAFIZI DAN MAHATHIR DISEBALIK SABOTAJ KE ATAS TIAN CHUA

Siapa ahli PKR yang tidak kenal dengan Tian Chua? Nama yang sinonim dengan perjuangan Reformasi. Setiap demontrasi dia hadir mewakili pimpinan PKR yang lain. Tidak seperti orang cina yang lain. Beliau sentiasa dihadapan, banyak kali dipukul, diterajang, dibantai hingga koyak bajunya sebelum digari. Lori Black Maria Polis kenderaan rasminya, penjara rumah keduanya.

Beliau pernah dipenjara dibawah Akta ISA bersama Ezam dan lain-lain. Kesetiannya pada PKR tidak boleh dipertikaikan. Semua orang Melayu, Cina dan India dalam PKR senang dan percaya dengan Tian Chua kerana dia sangat sederhana dan boleh bercampur dan bersama dengan rakyat marhaien.

Satu-satunya orang cina yang dilantik menjadi Naib Presiden PKR sejak 2004. Beliau antara orang terawal membantu Wan Azizah menubuhkan PKR bersama Azmin dan Ezam. Hampir separuh hidupnya bersama PKR.

Namun kemunculan geng Ponorogo, diketuai Rafizi Ramli yang melabelkan Tian Chua sebagai geng Kartel dibawah Azmin telah menyebabkan pergolakkan dalaman yang hebat. Geng Ponorogo mahu merampas kerusi Parlimen Batu untuk menghalang Tian Chua bertanding dikerusi tradisinya itu.

Siapa Rafizi Ponorogo ni? Rafizi (selepas ni saya sebut Ponorogo sahaja) adalah bekas pelajar MCKK dan pernah pernah menjadi Pengurus Kanan dibeberapa anak syarikat Petronas. Ketika itu Mahathir masih pengerusi Petronas.

Dan agak pelik kerana tiba-tiba Ponorogo berhenti dari Petronas pada 31 Julai 2009 sebelum menjadi Pengurus Besar Pharmaniaga pada 10 Ogos 2009. 2 Hari Sebelum mula bekerja di Pharmaniaga Ponorogo kononnya bertemu secara “tidak dirancang” dengan Anwar di kemaman pada 8 Ogos 2009 dan menjadi pengerusi ceramah Anwar pada malam tersebut.

Kemudian selepas beberapa bulan bekerja dengan Pharmaniaga, Ponorogo tiba-tiba dilantik sebagai CEO dipejabat Penasihat Ekonomi Selangor sekaligus aktif bersama PKR. Kononnya Anwar menemuinya dua kali untuk memujuknya sertai PKR. Penasihat Ekonomi Selangor ketika itu adalah Anwar. Inilah fasa permulaan Ponorogo menyerap masuk dalam PKR.

Ponorogo adalah generasi junior Anwar di MCKK dan ini mempercepatkan keakraban mereka. Di awal penglibatannya, Ponorogo menarik perhatian Anwar dan rakyat keseluruhannya dengan pendedahan skandal NFC (projek ladang lembu suami Sharizat) dan beberapa isu lain. Dari situ Ponorogo menambat perhatian ahli PKR untuk dicalonkan sebagai ahli Parlimen Pandan pada 2013 dan menang.

Hingga ke hari ini semua orang hairan macam mana dia boleh dapat maklumat tersebut dan menyebarkannya. Dan semua yang dia bongkar adalah kroni Najib bukan kroni Mahathir.

Selepas berjaya menambat keyakinan penyokong PKR, beliau mengatur fasa kedua dengan langkah Kajang untuk menyingkir Khalid Ibrahim yang setia dengan Anwar dan menaikkan Wan Azizah sebagai MB untuk dijadikan bargain cip bagi menghalang Anwar dipenjarakan kerana kes Liwat.

Namun misinya gagal kerana Sultan memilih Azmin. Ponorogo ajak Pakatan menyalahkan PAS kerana membantah penyingkiran secara paksa Khalid Ibrahim dan kemudian calonkan Azmin sebagai alternatif kepada Wan Azizah. Bermula dari situ Ponorogo memulakan fasa ketiga beliau untuk membuang PAS dari Pakatan.

Mengunakan rakan talibarut dalam PAS seperti Khalid Samad, Ponorogo berjaya memecah belahkan PAS dengan menuduh Presiden PAS ingin bergabung dengan Umno. Ponorogo akhirnya berjaya memecah PAS dari dalam dan membuang PAS dari Pakatan.

Walaupun Langkah Kajang dan hasrat melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar gagal, namun cita-cita Ponorogo untuk porak perandakan PKR baru bermula. Ketiadaan Anwar dalam PKR kerana dipenjara menyukarkan aktiviti Ponorogo kerana Kartel Azmin sangat berkuasa walaupun beliau berjaya menjadi Naib Presiden. Oleh itu Ponorogo mengerakkan fasa ke4 dengan mewujudkan INVOKE.

Semua orang tahu, Ponorogo tidak layak bertanding untuk PRU14 kerana kes BAFIA – NFC dan beliau telah bersedia dengan mewujudkan INVOKE lebih awal. INVOKE satu badan NGO yang wujud tanpa restu PKR, ianya satu badan Haram dalam PKR.

Ponorogo membina tenteranya melalui INVOKE. Daripada bersendirian ketika mula-mula dibawa masuk oleh Anwar, kini Ponorogo mempunyai tentera yang ramai. Dan dengan INVOKE Ponorogo berjaya memperdayakan Wan Azizah dengan menunjukkan kekuatan INVOKE sebagai alternatif kepada Kartel Azmin.

Ponorogo mengambil peluang mendapatkan sokong Wan Azizah dan Nurul Izzah untuk mengukuhkan kedudukkannya dalam PKR. Ponorogo menyerang Kartel Azmin dengan memainkan persepsi bahawa Azmin berkomplot dengan PAS dan Umno merampas kerusi MB dari Azizah.

Aktiviti INVOKE sangat fokus untuk menarik orang muda dalam PKR untuk bersama Ponorogo.
Ponorogo juga berjaya menarik pemimpin PAN dan DAP untuk bersama INVOKE dengan menawarkan tajaan bagi calon-calon seperti Khalid, Mahfuz, Mat Sabu dan lain-lain melalui projek Bina Semula Negara sempena PRU14.

Lathefa Koya yang juga ahli Majlis Tertinggi PKR mengesahkan yang Ponorogo ini tidak pernah lagi hadir Mesyuarat PKR selepas mewujudkan INVOKE.

Kebangkitan fasa 5 geng Ponorogo ini disaksikan dalam proses penamaan calon-calon PKR bagi PRU14. Dimana selepas mereka berjaya bersekutu dengan Wan Azizah dengan mengambarkan Kartel Azmin akan belot selepas PRU-14, Ops cantas dimulakan. Kartel Azmin bakal dihapuskan dari senarai kerusi selamat PKR dan digantikan dengan orang-orang Ponorogo dari INVOKE. Tian Chua adalah salah seorang sasaran mereka selain Azmin, Zuraida, Lathefa dan ramai lagi. Sasaran mereka jelas, mereka akan cadang pindahkan calon Kartel Azmin di kawasan luar lembah Klang yang kurang selamat atau calon-calon ini tidak dilantik terus. Geng Ponorogo menamakan calon mereka sebagai pengganti.

Selain menubuhkan INVOKE sebagai tentera peribadi, Ponorogo juga melahirkan INVOKE sebagai persiapan sekiranya strategi fasa ke5 ini gagal atau jika PKR hancur dan berpecah selepas PRU-14.

Sekurang-kurangnya dengan INVOKE beliau masih ada tempat untuk meneruskan aktiviti politiknya dengan pihak lain. Perpecahan dalam PKR ini memang dirancang dan bukannya secara kebetulan.

Ponorogo adalah Giant Assassin dalam PKR dan Pakatan dalam senyap. Beliau telah “bunuh” Khalid Ibrahim, biarkan Anwar dipenjarakan, Buang PAS dari Pakatan, Pecahkan PAS, tundukkan Otai Reformasi kepada Mahathir dan kini sedang menghapuskan Kartel Azmin.

Bila kita patah balik melihat sejarah Ponorogo ini bermula dalam PKR. Ianya adalah sejarah misteri. Beliau menjual nama rakannya Adlan Benar Omar atau Ben yang meninggalkan dunia pada 2008 sebagai inspirasi untuknya sertai PKR.

Walaupun beliau berkata menyokong PKR sejak di Universiti, namun beliau lewat bersama PKR.

Iaitu selepas PKR sudah berkuasa dan BN kalah teruk di Selangor pada 2008. Tidak seperti Tian Chua dan Azmin, mereka bermula ketika PKR tidak punya apa-apa. Sedangkan Ponorogo hanya bertemu Anwar dua tiga kali sudah dilantik jadi CEO, kemudian jadi MP PKR dan jadi Naib Presiden PKR. Semuanya kurang dari 5 tahun.

Ponorogo disyaki spy Mahathir kerana beliau bekerja di Petronas ketika Mahathir pengerusinya. Beliau masuk terlebih dahulu dalam PKR untuk hancurkan imej Anwar dengan idea langkah kajang. Kononnya Anwar tidak akan dipenjara jika berjaya gadai Selangor pada BN bila Anwar atau Azizah jadi MB.

Dokumen Langkah Kajang memang sengaja dibocor supaya PAS bergaduh dengan Anwar. PAS mencalonkan Azmin dan Anwar ke penjara. Kemudian Pakatan pecah dengan PAS juga berpecah. Kini PKR pula dipecahkannya selepas mengangkat Mahathir jadi calon PM walaupun Kartel Azmin menolak.

Ponorogo sebenarnya dikatakan sudah lama bekerja untuk Mahathir. Misi Mahathir sebenarnya adalah menghapuskan semua musuh Umno – BN dari dalam tulang rusuk musuhnya sendiri. Sebab itu dia hantar Ponorogo dahulu dan kemudian selepas fasa kedua berjaya memisahkan PAS dari Pakatan, barulah Mahathir keluar Umno tubuh PPBM tapi tidak bersama PKR, manakala Rafizi tubuh INVOKE juga diluar PKR.

Mahathir jika masuk PKR tidak akan jadi Presiden sebab Wan Azizah ada, nak jadi Ketua Umum pun tidak boleh sebab Anwar masih hidup walaupun dipenjara. Lagipun PKR ditubuhkan kerana Anwar dipecat oleh Mahathir.

Oleh itu Mahathir perlukan satu Jawatan besar untuk memposisikan dirinya lebih tinggi atau sebaris Presiden parti-parti komponen Pakatan. Jadi menubuhkan PPBM dan jadi Penasihat adalah laluan paling mudah. Walaupun PPBM adalah parti yang sangat rapuh, tapi cukup untuk Mahathir berpijak untuk merebut jawatan Pengerusi PH dan calon PM.

PPBM sengaja dibiarkan digantung oleh ROS atas sebab strategi. Pertama, ingin tarik simpati rakyat pada Mahathir yang kononnya dibuli Najib. Kedua, sebagai alasan untuk mengunakan bendera PKR tanpa perlu jadi ahli PKR. Ini sudah dirancang awal sebab majoriti penyokong PH lebih percaya PKR dari Mahathir. Ini adalah taktik untuk kelirukan penyokong PKR dan PH. Sekaligus menukar objektif PKR heret Mahathir dan Najib ke mahkamah kepada heret Najib sahaja.

Mahathir tawan PKR dengan cara ini dan DAP serta PAN jadi bodoh, mengikut dibelakang tanpa soal jawab. Memang Mahathir tak suka Najib, tapi dia lebih risau Anwar dan Pakatan yang berjaya tewaskan undi popular kepada BN pada 2013.

Jika dia tak masuk sekarang dan PH menang PRU14, dia juga akan dibicarakan. Sekarang, sama ada PH atau BN menang, dia akan selamat kerana BN belum cukup berani heret beliau ke mahkamah lantaran orang-orang BN ramai yang terlibat sama dengan penyelewengan Mahathir.

Ini cara paling mudah untuk beliau tewaskan Pakatan dengan strategi Trojan Horse. Selepas hantar Rafizi, Mahathir pula masuk untuk total disaster ke atas musuh-musuh politiknya.

Perasan tak Mahathir tidak pernah serang BN secara keterlaluan sepanjang bersama Pakatan, beliau hanya serang Najib. Sama ada Pakatan menang atau BN menang, Mahathir boleh balik kepada Umno BN pada bila-bila masa. Ketika itu rakyat sudah hilang kepercayaan kepada semua Pakatan Pembangkang yang selama ini menjadi saingan kuat BN.

Semua orang PH kata ini semua adalah idea gila. Mustahil Mahathir balik ke Umno. Tengok Anwar kata mereka, dari dulu hingga kini masih dengan Pembangkang.

Hei! Jangan lupa, sepanjang Anwar dalam Pakatan, masanya banyak dihabiskan dipenjara. Anwar lawan Mahathir, Anwar masuk penjara. Mahathir lawan Najib, Anwar juga kena penjara. Banyak projek politik Anwar terbengkalai kerana asyik dipenjarakan.

Jika dulu Pakatan kata mustahil Mahathir bersama Anwar dan DAP, kini yang mustahil itu sudah tidak mustahil. Mahathir juga sudah beberapa kali keluar masuk Umno.

Dia lawan Tunku Abd Rahman dan keluar Umno, kemudian masuk balik. Dia lawan Pak Lah, Keluar Umno kemudian masuk balik. Kini lawan Najib, keluar Umno, tunggulah dia masuk balik.

Jika Najib setuju kembalikan projek kroni beliau atau Najib berjaya dijatuhkan, Mahathir akan kembali memeluk Umno-BN. Dari Umno dia datang, kepada Umno dia akan kembali.

Ponorogo adalah buah catur Mahathir, Azmin dan Tian Chua adalah penghalang mereka dalam PKR. DAP dan PAN bersedialah. Satu persatu musuh Mahathir dalam Pakatan akan dimusnahkan.

Saya kesian tengok rakan – rakan lama dan Reformis dalam PKR sekarang. Suara mereka semakin terpinggir. Wan Azizah sebagai Presiden sangat lemah. Jika orang seperti Azmin dan Tian Chua tiada, sudah lama PKR bungkus. Wan Azizah hanya fokus untuk membebaskan Anwar. Manakala urusan politik PKR dibiarkan bergoncang. Wan Azizah sanggup gadai apa sahaja termasuk partinya untuk bebaskan Anwar..

Diharapkan rakan – rakan PKR yang benar – benar berjuang untuk rakyat menyokong PAS selepas ini. Jika PKR menang di Selangor, krisis perlantikan Menteri Besar baru akan lebih buruk keadaannya berbanding sebelum ini. Ini tidak akan menguntungkan rakyat kerana pemimpin PKR bergaduh sesama sendiri.



No comments: