TAIPING: Ceramah Jelajah Pakatan Harapan yang diadakan di jalan utama
ke Kampung Bukit Jana, Kamunting di sini pada malam tadi disahkan tidak
mempunyai permit polis.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata pihaknya juga
menerima laporan polis daripada penduduk setempat yang mendakwa ceramah
tersebut menghalang lalu lintas.
Sebelum itu anggota keselamatan meminta pihak penganjur untuk mengubah
sebuah treler milik Pakatan Harapan yang boleh diubah menjadi pentas
ceramah kerana didakwa mengganggu lalu lintas kira-kira 8.30 malam.
Antara yang hadir Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden Amanah Mohamad
Sabu dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Meng.
Ceramah itu tamat kira-kira 12.00 tengah malam diakhiri dengan ceramah daripada Tun Mahathir.
Kira-kira 2,000 penyokong menghadirinya walaupun PH mendakwa 10,000 yang hadir.
Kamunting, sebuah pekan di utara Taiping dikenali sebagai pusat tahanan ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri dituduh menggunakan ISA terhadap seteru politiknya bagi memperkukuh kekuasaannya.
Presiden Amanah, Mohamed Sabu dalam ucapannya mendakwa Dr Mahathir
tidak terdesak untuk menjadi calon perdana menteri pembangkang, namun
beliau mahu membaiki kesilapan yang pernah dilakukannya sepanjan 22
tahun menjawat jawatan itu.
"Adakah Mahathir nak naik jet eksekutif, apakah Mahathir nak jalan di
permaidani merah, adakah Mahathir nak makan di istana antarabangsa?
"Itu semua dia dah lalui. Mahathir jadi PM nak betulkan kesalahan," kata Mohamad Sabu.
Ketua Menteri Pulau Pinang pula berkata jika HARAPAN menang, pakatan
itu akan kembali ke era Mahathir yang tidak mengenakan Cukai Barangan
dan Perkhidmatan (GST)
"Kita bukan saja nak buang BN, kita nak buang GST," kata Lim Guan Eng.
Manakala Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail ketika berucap
mengaitkan pengalaman suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah
ditahan di Kamunting.
"ISA dulu pun boleh disalahgunakan dan dia ceritakan di sebelah sel dia
bukan saja Dr Seyd Husin Ali tapi seorang Tionghua yang ditangkap. Dia
pekerja di kedai Cina.
"Tauke komunis. Dia tak komunis. Ini tunjukkan ketidakadilan berlaku," kata beliau.
Namun demikian, Wan Azizah yang memperkenalkan Mahathir sebagai calon perdana menteri berkata Anwar bukan seorang pendendam.
"Tapi, Anwar tidak ada dendam.
"Perjuangan ini bukan untuk jawatan, kita bekerja untuk masa depan negara bersama," kata beliau lagi.
Dr Mahathir ketika naik ke atas pentas ceramah berkata beliau mahu
kembali menjadi perdana menteri pada usia 92 tahun bukanlah kerana
keinginan untuk berkuasa, sebaliknya ia menjadi suatu kemestian.
"Saya sudah menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Bukan niat saya
untuk jadi perdana menteri lagi. 22 tahun sudah mencukupi," kata beliau.
"Kita dah dapat cukup dah, tapi kita berpendapat Datuk Seri Najib
sedang rosakkan negara maka kita ketepikan fahaman berbeza antara kita.
"Kita bergabung, kita buat Pakatan Harapan supaya dengan HARAPAN ini
kita dapat menggembelingkan tenaga rakyat Malaysia untuk menjatuhkan
Najib," kata beliau.
No comments:
Post a Comment