ANTARAPOS.COM
BATU PAHAT: Mulai 1 April ini, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik
(AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA)
akan dikuatkuasakan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata
pelaksanaan AWAS dan KEJARA menunjukkan kerajaan komited untuk
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Katanya, sistem dalam talian dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah siap untuk pelaksanaan dasar berkenaan.
Beliau berkata, menerusi sistem berkenaan pesalah yang melanggar
undang-undang lalu lintas kali pertama akan dipotong mata demerit dan
diberi amaran manakala kesalahan kedua akan disaman.
Sekiranya, masih lagi melakukan kesalahan, lesen memandu mereka akan digantung.
"Sistem dalam talian yang lebih bersepadu yang dibangunkan juga
membolehkan pesalah trafik yang gagal membayar saman akan
disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu
secara automatik.
"Sistem AWAS dan KEJARA juga antara lain akan memberi perhatian utama
terhadap kesalahan lalu lintas melanggar lampu isyarat serta memandu
melebihi had laju dibenarkan.
"Pelaksanaan undang-undang jalan raya lebih ketat berikutan kerajaan
kecewa kerana kadar kemalangan jalan raya saban tahun terus meningkat
dengan tahun lalu merekodkan kenaikan 10 peratus kemalangan maut,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jalinan
Mesra Kementerian Pengangkutan 2017 di Dataran Kompleks Niaga Parit
Raja, dekat sini, hari ini.
Sistem AWAS dan KEJARA sepatutnya dilaksanakan Mei tahun lalu tetapi
ditangguhkan untuk mendapat kelulusan Kabinet di samping menunggu sistem
dalam talian bersepadu kesalahan trafik dibangunkan JPJ siap
sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment