Beliau sendiri terpinga-pinga dan tidak tahu menahu dengan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat seorang individu
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan lanjut susulan dakwaan penyelewengan RM2.7 juta untuk perisian komputer Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Annuar yang kini berada di tanah suci Mekah berkata, beliau sendiri terpinga-pinga dan tidak tahu menahu dengan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat seorang individu.
“Kita terpinga-pinga dibuatnya berikutan adanya laporan polis dan SPRM (dibuat terhadap saya)… kemudian dengar pula laporan polis ditarik balik kerana sudah selesai secara baik.
“Apapun, eloklah perkara ini diserahkan kepada peguam untuk tindakan selanjutnya mengikut jalur undang-undang,” kata Annuar, di laman Facebook miliknya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah melakukan semakan terhadap SKMM, namun dimaklumkan tiada perkara berlaku seperti dakwaan yang dilemparkan tersebut.
“Jadi dari mana datangnya asas dakwaan penyelewengan itu, apa motif tuduhan tanpa asas dan siapa di belakangnya?” soal Annuar.
Ketua Penerangan Umno itu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat pihak-pihak tertentu dibelakang dalam dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah terancang itu.
“Ternyata ini satu fitnah dan ‘defamation’ yang sengaja dirancang dan yang sangat serius.
“Cukuplah saya membiarkan ‘pihak tertentu’ bebas dengan tindakan mereka, apakah undang-undang negara ini sewenang-wenangnya membenarkan tuduhan atau aduan dan kemudiannya diviralkan sehingga pihak tidak bersalah menjadi mangsa fitnah demi fitnah,” kata Annuar.
“Apakah ini senjata peras ugut apabila kehendak seseorang atau ‘taiko’ dibelakangnya tidak ditunaikan atau bila bisnes seseorang tidak menjadi, atau apa lagi?” soalnya.
No comments:
Post a Comment