KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas menjadi mangsa kelapan dijangkiti virus Zika di negara ini.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah berkata, mangsa berusia 67 tahun dari Petaling Jaya itu dikesan
dijangkiti Zika selepas mengalami gejala demam, loya serta
cirit-birit.
Katanya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan perubatan di Klinik
Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur pada 30 November, selepas mula
mengalami gelaja berkenaan dua hari sebelumnya.
Kata Dr Noor Hisham, ujian saringan darah tidak menunjukkan kelainan
yang ketara, justeru pesakit diberi rawatan simptomatik dan dinasihat
datang semula jika gejala semakin melarat.
"Keesokan harinya (1 Disember 2016), pesakit kembali dengan gejala bisa
badan dan sendi. Denggi telah disyaki namun ujian denggi yang dilakukan
adalah negatif.
"Kes itu dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki
denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian
darah," katanya menerusi satu kenyataan.
Walaupun pesakit menunjukkan gejala denggi, kata Dr Noor Hisham, ujian untuk itu adalah negatif.
Katanya, contoh darah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam
Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh untuk ujian flavivirus lain selaras
dengan protokol sedia ada.
Ujian flavivirus itu adalah untuk mengesan kemungkinan lelaki terbabit menghadapi demam kuning, chikungunya atau Zika.
Pada 9 Disember, katanya, MKAK memaklumkan mereka mendapati darah itu
positif untuk Zika dan sampel dihantar ke Institut Penyelidikan
Perubatan (IMR) bagi pengesahan.
Turut dihantar, menurut Dr Noor Hisham, ialah contoh tambahan air kencing.
"Pada 14 Disember, IMR mengesahkan sampel air kencing juga positif untuk Zika," katanya.
Kes pertama Zika di negara ini dilaporkan pada 21 Ogos lalu,
membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun yang disahkan selepas
seminggu pulang dari Singapura.
Jangkitan pertama Zika di negara ini pula dilaporkan di Sabah pada
September lalu dan mangsa meninggal dunia akibat komplikasi masalah
jantung.
Dr Noor Hisham berkata siasatan kementerian mendapati mangsa terbaru
Zika itu pernah berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak.
"Ahli keluarga terdekat pesakit telah disiasat dan sampel darah serta air kencing mereka diambil untuk ujian saringan Zika.
"Aktiviti kawalan juga dilaksanakan pada 11 Disember 2016 yang
melibatkan pemusnahan tempat pembiakan, larvasiding, pendidikan
kesihatan dan semburan kabus di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain
yang pernah dilawati pesakit.
"Selain itu, Active Case Detection sedang dijalankan di kawasan
kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang
mengalami gejala Zika," katanya.
No comments:
Post a Comment