IPOH: Polis tidak pernah menganggap individu yang merakam dan
menyebarkan viral insiden ular dicampak ke dalam kolam semasa
perkhemahan unit beruniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di
Kuala Kangsar sebagai suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebaliknya berkata,
individu berkenaan sebelum ini dicari kerana dia merupakan saksi utama
kejadian dan diperlukan untuk membantu siasatan.
"Kita telah kenal pasti individu berkenaan dan mereka telah memberi kerjasama yang sangat baik kepada polis.
"Kami cari dia kerana dia adalah saksi utama, dialah orang pertama yang
lihat apa berlaku, siapa yang baling ular ke dalam kolam dan latihan
yang budak kecil (murid) jalani," katanya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak terus
mempertikaikan terutama menerusi media sosial tujuan polis mencari
individu berkenaan sebelum ini. Khalid berkata, setakat ini polis telah
merakam sebanyak 21 percakapan bagi membantu siasatan mengenai insiden
tersebut.
"Jika ada kesalahan kita akan jalankan siasatan dan serahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Awal minggu ini, rakaman video berdurasi lebih dua minit menjadi viral
di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di
dalam kolam berselut menangis dan menjerit setelah jurulatih APM
mencampakkan ular ke dalamnya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan