Jumaat, 13 Mei 2016

Pas Perak mahu calon nasional

Razman Zakaria
Razman Zakaria


IPOH - Pas Perak mencadangkan individu yang berupaya untuk memperjuangkan isu di peringkat nasional dicalonkan untuk mewakili parti itu menghadapi PRK Parlimen Kuala Kangsar.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, cadangan itu difikirkan sesuai berikutan kekurangan wakil Pas di Parlimen Kuala Kangsar yang lantang memperjuangkan hal berkaitan GST, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), royalti petroleum dan sebagainya.

“BN setuju dengan semua yang dah dibuat dan kita dapat lihat betapa kurangnya suara-suara lantang yang memahami perkara berkenaan.

“Jadi, kita perlukan seseorang yang boleh bercakap bagi pihak Pas dan pada masa sama jaga kepentingan rakyat berkaitan perkara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Pas Perak belum mengusulkan nama mana-mana tokoh yang dilihat sesuai untuk bertanding di Parlimen berkenaan.

“Proses menamakan calon bermula di peringkat kawasan, bila mereka buat cadangan, kita di peringkat negeri akan usulkan cadangan itu kepada Pas Pusat,” katanya.

Beliau berkata, proses akhir penamaan calon tertakluk kepada bidang kuasa Pas Pusat sepenuhnya.

“Kita di peringkat negeri tiada kuasa (pilih), pemilihan calon juga tak tertakluk semata-mata atas kapasiti anak negeri,” katanya.

Mengulas tentang peluang Pas memenangi PRK itu, katanya, perkara berkenaan mungkin berjaya direalisasikan sekiranya pertandingan membabitkan satu lawan satu.

“Pada hemat saya, kalau kita hanya lawan BN di sana, peluang kita lebih sebab tiada pemecahan undi berlaku,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding sekali gus menemukan saingan tiga penjuru.

“Kemungkinan itu ada cumanya kita tak terganggu dengan perkara berkenaan,” katanya.


Tiada ulasan: