Ahad, 15 Mei 2016

Lebih 5,000 sambut Piala FA di Segamat

SINAR HARIAN


Lebih 500,000 sambut Piala FA di Segamat
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meraikan kemenangan pasukan JDT menjuarai Piala FA sempena Kembara Mahkota Johor di Taman Yayasan Segamat, hari ini. - Foto Bernama
 
 
LEBIH 5,000 rakyat negeri ini membanjiri tapak pasar tani Taman Yayasan, Segamat bagi melihat secara dekat Piala FA yang dimenangi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.

Barisan pemain JDT yang tiba di sini kira-kira 2 petang ini, disambut meriah penyokong skuad Harimau Selatan itu, yang mula berkumpul di kawasan berkenaan seawal 12 tengah hari tadi.

Kawasan itu juga adalah lokasi terakhir bagi hari kedua Kembara Mahkota Johor 2016, yang diketuai Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim yang berangkat tiba kira-kira 3.15 petang, turut diiringi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut berangkat sama adalah kelima-lima anakanda baginda.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat dan barisan exco kerajaan negeri.

Sultan Ibrahim kemudian dipersembahkan dengan Piala FA 2016 oleh kapten pasukan Safiq Rahim dan ketua jurulatih JDT Mario Gomez.

Pada perlawanan akhir Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam malam tadi, JDT  menewaskan PKNS FC 2-1, sekali gus menamatkan penantian menjulang piala berkenaan yang kali terakhir dimenangi pasukan itu pada 1998.

Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan replika cek bernilai RM100,000 kepada Pegawai Daerah Segamat Mohd Hafiz Ahmad sebagai wakil kepada pertubuhan anak-anak yatim daerah berkenaan. - Bernama


Tiada ulasan: