Selasa, 12 April 2016

Mahathir akan ucap pada forum 1MDB-PAC, kata Lim

MALAYSIAKINI




Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi antara penceramah pada forum awam bertajuk "Laporan PAC 1MDB: Najib bersubahat atau tidak bersalah" di Shah Alam pada malam Khamis ini.

Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berkata forum itu akan berjalan seperti yang dirancang di IDCC Shah Alam, susulan pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Dewan Rakyat pada 7 April lalu.

"Jika (pengerusi PAC) Datuk Hasan Arifin, (bekas CEO 1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau (jutawan) Jho Low bersedia untuk muncul di forum Shah Alam pada Khamis ini, mereka juga amat dialu-alukan," kata Lim.

Selain daripada Mahathir, Lim berkata penceramah lain adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli; Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dan pengarah eksekutif pemantau anti-rasuah C4, Cynthia Gabriel.

Lim sebelum ini pernah menjemput Hasan menghadiri forum dan perbahasan mengenai sama ada hasil laporan PAC benar-benar membebaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku yang dikaitkan dengan dana milik negara 1MDB.

Tiada ulasan: