Tuesday, April 5, 2016

Lebih 50 peratus kerusi PH di PRN Sarawak sudah dimuktamadkan, kata Azmin

Oleh Azizul Osman 
  Post Pic

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan lebih separuh kerusi pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Mei depan.
Seperti yang dilaporkan oleh Pengarah PRN Sarawak Nurul Izzah Anwar, Azmin berkata kesemua kerusi tersebut bertanding tiket di bawah PH, dan perebutan kerusi antara PH dan PAS masih dalam perbincangan yang dikendalikan PKR.
"Lebih 50 peratus kerusi (Pakatan Harapan) sudah diselesaikan, itu apa yang Nurul Izzah selaku pengarah PRN Sarawak lapor kepada saya pagi ini. Dia beritahu bahawa lebih 50 peratus kerusi sudah diselesaikan. 
"Ada beberapa kerusi lagi yang masih dibelenggu isu perebutan. Beliau akan berjumpa Setiausaha DAP, Lim Guan Eng tidak lama lagi untuk menyelesaikan pertindihan kerusi berkenaan," kata Azmin di lobi Parlimen.
Ditanya samada akan berlaku pertindihan calon antara PH dan PAS di 11 kerusi yang akan ditandingi parti Islam itu, jelas Azmin, perkara itu akan dielakkan supaya tidak memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
"PAS masih kekal dengan PKR sudah tentu kita mahu melihat matlamat sama dicapai. Kita cuba elakkanlah. Kita akan cuba elakkan sebaik mungkin," katanya.
PAS sebelum ini bertegas untuk bertanding di 11 kerusi di PRN Sarawak seperti mana yang diputuskan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah Parti Amanah Negara (PAN) turut mengumumkan akan bertanding di 13 kerusi di pilihanraya negeri berkenaan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub di mana parti itu sudah mengenal pasti calon yang akan diketengahkan yang terdiri daripada anak tempatan dan kawasan bakal ditandingi parti itu termasuk di bandar serta luar bandar.
Malah Salahuddin berkata PAN tidak menolak akan bertanding di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi PAS.
"Kita kena bincang semualah. Sudah dimuktamadkan?) Belum lagi, masih dalam perbincangan.
"Itu harapan PAN untuk bertanding, itu hak mereka untuk menawarkan khidmat di kawasan berkenaan tapi bagi PH saya percaya kita akan teruskan perbincangan supaya matlamat satu lawan satu itu dapat dipertahankan," jelas Azmin.
Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata Majlis Presiden akan mengadakan mesyuarat malam ini untuk memuktamadkan senarai nama calon PRN Sarawak namun ditangguhkan selepas DUN Sarawak dibubarkan 11 April depan.

No comments: