SEREMBAN - “Siapa sebenarnya yang ada kuasa untuk pindahkan dua pegawai
kanan SPRM ini dalam keadaan serta merta?,” soal Setiausaha Organisasi
DAP, Anthony Loke.
Anthony berkata demikian berhubung pertukaran Pengarah Operasi Khas
SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM,
Datuk Rohaizad Yaakob, secara mengejut.
Menurutnya, bukan beliau saja yang tertanya-tanya, bahkan seluruh masyarakat turut memikirkan mengapa pertukaran itu dilakukan secara mengejut, sedangkan kedua-dua pegawai kanan tersebut sedang menyiasat kes berprofil tinggi.
“Alasan mereka pegawai itu ada masalah disiplin memang tidak masuk akal langsung. Memindahkan pegawai yang sedang menjalankan siasatan hanya merosakkan imej SPRM serta memberi gambaran seolah-olah ada agenda tertentu untuk menakut-nakutkan agensi berkenaan.
“Dengan situasi yang berlaku ini, jelas menunjukkan ada tindakan untuk mencacatkan operasi siasatan SPRM ketika ini sementelah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull berada di luar negara,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, berkenaan dengan sokongan yang diberikan pembangkang terhadap Rohaizad, beliau berkata, tidak timbul isu pihaknya mempunyai sebarang agenda seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Pembangkang menyokong usaha SPRM sebagai sebuah institusi dalam memerangi rasuah. Pihak yang mengatakan pimpinan pembangkang mempunyai agenda tertentu dilihat sangat berfikiran cetek.
“Ini mungkin juga ada terdapat tangan ghaib yang cuba untuk tidak membenarkan sesiapa pegawai SPRM mendekati pemimpin pembangkang. Dalam erti kata yang lain, takut dengan bayang-bayang sendiri sekiranya kita menyatakan sokongan penuh ke atas SPRM,” katanya
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.