Isteri mangsa culik terima panggilan telefon pada
Sabtu lalu yang mengugut kepala suaminya akan dipenggal jika tidak
membayar sejumlah wang tebusan.
PETALING JAYA: Selepas tidak berhubungan dengan suami selama lebih sebulan, isteri kepada seorang tebusan kumpulan militan Abu Sayyaf mendapati suaminya kemungkinan akan dipenggal kepala.
Bernard Then Ted Fen, diculik dari sebuah restoran makanan laut, Ocean King di Sandakan, Sabah pada 14 Mei dan dibawa ke Kepulauan Jolo di selatan Filipina.
“Perbualan antara saya dan suami hanya kurang seminit. Tidak seperti sebelum ini, dia tidak kedengaran dalam keadaan baik.
“Dia berkata dalam senarai seterusnya untuk dipenggal. Penculik kemudiannya merampas telefon bimbit tersebut dan memberitahu saya, mereka akan memenggal kepalanya jika wang tebusan tidak dibayar dengan segera. Talian kemudiannya terputus,” kata Chan Wai See, isteri Bernard, lapor Mstar.
Chan Wai See yang menutup telefon bimbitnya sejak Julai lalu selepas diarahkan polis untuk berbuat demikian menerima panggilan ugutan itu kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.
Dia menghidupkan semula telefon bimbitnya pada Jumaat lalu selepas membaca laporan media mengenai seorang tebusan Filipina yang dipenggal.
“Saya amat takut dan tidak tahu apa untuk dilakukan,” tambahnya.
Turut diculik dalam insiden yang sama, Thien Nyuk Fun dikatakan mengalami tekanan darah tinggi dan berada dalam keadaan kritikal.
Thien adalah pengurus restoran tersebut manakala Then dari Sarawak sedang bercuti di Sandakan.
Ahli keluarga Tehn meminta bantuan kerajaan untuk membebaskan kedua-dua tebusan.
Kumpulan militan Abu Sayyaf memenggal kepala seorang ketua kampung di Filipina pada 11 Ogos lalu selepas ahli keluarganya gagal membayar wang tebusan 1 juta peso (RM892,000).
No comments:
Post a Comment