Friday, August 7, 2015

Muhyiddin persoal siasatan polis ke atas pegawai SPRM

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar

 
Post Pic
 
 
 
PAGOH: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan siasatan polis terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kebocoran maklumat dan pengedaran dokumen palsu. 
 
"Saya pun hairan, SPRM meluahkan rasa kecewanya, malah pegawai-pegawai mereka juga marah apabila ada di kalangan pegawai mereka rumahnya terpaksa digeledah.
 
"Ya, mungkin Ketua Polis Negara mengatakan mahu mencari maklumat kononnya ada kebocoran. Tetapi di antara agensi-agensi kerajaan ini mesti ada rasa hormat, boleh pergi berjumpa bos. Bukankah ada ketua jabatan?
 
"Kalau mahu siasat pun mestilah dengan cara teratur, tertib dan berhemah. Jangan sampai menimbulkan kemarahan," ujarnya ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, pagi tadi.
 
Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid menegaskan polis mempunyai tanggungjawab menyiasat kebocoran maklumat dan pengedaran dokumen palsu dengan menyoal pegawai-pegawai SPRM. 
 
Beliau berkata polis tidak campurtangan dalam siasatan yang dilakukan oleh badan itu berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
Selain itu SPRM juga sedang menyiasat SRC International berhubung dana RM4 bilion. 
 
Beberapa pegawai tertinggi SPRM sebelum ini dipanggil untuk memberikan keterangan susulan kebocoran maklumat berhubung siasatan oleh badan itu. 
 
Mereka termasuklah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai dan dua lagi pegawai yang dipanggil semula untuk memberi keterangan.
 
Malah pada Sabtu lalu juga polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan pejabatnya di SPRM.
 
Dalam ucapanya, Muhyiddin akur bahawa Najib telah menerangkan kepada beliau bahawa RM2.6 bilion itu disumbang oleh pihak daripada Timur Tengah, sebagaimana  yang diperakui oleh SPRM beberapa hari lalu. 
 
Beliau juga berkata bahawa wang itu dimasukkan dalam akaun peribadi Najib atas permintaan penderma itu sendiri. 
 
"Saya tidak mahu persoal hal sumbangan apatah lagi apabila SPRM kata ia adalah derma. Walaupun dalam benak fikiran orang ramai persoalkan hal ini.
 
"Ketika PM maklumkan kepada saya, beliau akui hal itu (jumlah). Saya tanya berapa beliau dapat dan Najib jawab 'a lot'. Saya tanya dapat dari mana, Najib jawab dari penyumbang Timur Tengah dan beliau tidak mahu beritahu siapa nama penderma itu apabila saya tanya.
 
"Saya tanya juga wang itu masuk ke mana? Najib beritahu ia dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebab pihak yang memberi itu menyuruh berbuat demikian. Jadi percayalah, sebab itu ceritanya," kata Muhyiddin. 
 
Muhyiddin digugurkan daripada jemaah menteri dua minggu lalu selepas beliau lantang menuduh kerajaan lembab dalam menangani isu 1Malaysia Development Corporation yang dibeban hutang RM42 bilion.
 
Beliau berbuat demikian walaupun dinasihati Najib untuk menunggu hasil siasatan Jawatankuasa Akaun Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara berhubung isu itu. 
 
Pada masa sama kerajaan juga melaksanakan rancangan pemulihan 1MDB untuk mengurangkan tanggungan hutang dalam tempoh enam bulan. 


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.