PAGOH: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mempersoalkan siasatan polis terhadap pegawai kanan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kebocoran maklumat
dan pengedaran dokumen palsu.
"Saya pun hairan, SPRM meluahkan rasa kecewanya, malah pegawai-pegawai
mereka juga marah apabila ada di kalangan pegawai mereka rumahnya
terpaksa digeledah.
"Ya, mungkin Ketua Polis Negara mengatakan mahu mencari maklumat
kononnya ada kebocoran. Tetapi di antara agensi-agensi kerajaan ini
mesti ada rasa hormat, boleh pergi berjumpa bos. Bukankah ada ketua
jabatan?
"Kalau mahu siasat pun mestilah dengan cara teratur, tertib dan
berhemah. Jangan sampai menimbulkan kemarahan," ujarnya ketika berucap
di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri Umno Bahagian
Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, pagi tadi.
Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid menegaskan polis
mempunyai tanggungjawab menyiasat kebocoran maklumat dan pengedaran
dokumen palsu dengan menyoal pegawai-pegawai SPRM.
Beliau berkata polis tidak campurtangan dalam siasatan yang dilakukan
oleh badan itu berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu SPRM juga sedang menyiasat SRC International berhubung dana RM4 bilion.
Beberapa pegawai tertinggi SPRM sebelum ini dipanggil untuk memberikan
keterangan susulan kebocoran maklumat berhubung siasatan oleh badan
itu.
Mereka termasuklah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk
Tan Kang Sai dan dua lagi pegawai yang dipanggil semula untuk memberi
keterangan.
Malah pada Sabtu lalu juga polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa
Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan pejabatnya di SPRM.
Dalam ucapanya, Muhyiddin akur bahawa Najib telah menerangkan kepada
beliau bahawa RM2.6 bilion itu disumbang oleh pihak daripada Timur
Tengah, sebagaimana yang diperakui oleh SPRM beberapa hari lalu.
Beliau juga berkata bahawa wang itu dimasukkan dalam akaun peribadi Najib atas permintaan penderma itu sendiri.
"Saya tidak mahu persoal hal sumbangan apatah lagi apabila SPRM kata ia
adalah derma. Walaupun dalam benak fikiran orang ramai persoalkan hal
ini.
"Ketika PM maklumkan kepada saya, beliau akui hal itu (jumlah). Saya
tanya berapa beliau dapat dan Najib jawab 'a lot'. Saya tanya dapat dari
mana, Najib jawab dari penyumbang Timur Tengah dan beliau tidak mahu
beritahu siapa nama penderma itu apabila saya tanya.
"Saya tanya juga wang itu masuk ke mana? Najib beritahu ia dimasukkan
ke dalam akaun peribadinya sebab pihak yang memberi itu menyuruh berbuat
demikian. Jadi percayalah, sebab itu ceritanya," kata Muhyiddin.
Muhyiddin digugurkan daripada jemaah menteri dua minggu lalu selepas
beliau lantang menuduh kerajaan lembab dalam menangani isu 1Malaysia
Development Corporation yang dibeban hutang RM42 bilion.
Beliau berbuat demikian walaupun dinasihati Najib untuk menunggu hasil
siasatan Jawatankuasa Akaun Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara
berhubung isu itu.
No comments:
Post a Comment