Friday, August 7, 2015

KEADILAN bantah sekatan kebebasan media

Oleh Nadia Hanafi


PETALING JAYA : KEADILAN membantah sebarang sekatan ke atas kebebasan media yang kini semakin merosot, kata Pengarah Strategi, Sim Tze Tzin.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia baru, Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk meminda undang-undang menyekat kebebasan media termasuk mempertimbang model Singapura.

Katanya, mereka akan menghantar petisyen kepada syarikat Fortune 500 dan surat kepada bekas penasihat Multimedia Super Coridor (MSC), Bill Gates sekiranya kebebasan media di negara ini disekat.

IMG_9195“Jika betul-betul berlaku, kami akan mempertimbang untuk menghantar petisyen kepada semua syarikat Fortune 500 untuk menerangkan tindakan kerajaan mengongkong internet.

“Kami juga akan menghantar surat kepada MSC International Advisory panel termasuk Bill Gates yang merupakan salah satu bekas penasihat MSC,” kata Sim.

Beliau juga menyifatkan Salleh bukan seorang demokrat yang percaya kepada hak dan kebebasan bersuara.

“Kurang dari 10 hari beliau menjadi menteri, kita telah nampak sifat sebenarnya. Dalam saat permulaan beliau sebagai menteri, cadangan untuk mengongkong media amat membimbangkan dan menghantar ‘chilling effect’ ke seluruh internet.

“Malah, beliau telah meletakkan kedudukan ekonomi Malaysia dalam bahaya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti.

Menurut Sim, MSC Malaysia Bill of Gurantees(BoG) menunjukkan Kerajaan Malaysia komited untuk mempertahankan kebebasan internet dan terbukti berjaya menarik pelaburan dalam jangka masa panjang berjumlah bilion ringgit ke MSC Malaysia.

“Keputusan seorang menteri baru mengongkong internet mungkin akan mengancam survival ekonomi Malaysia. Menteri KKMM yang baru ini harus menjelaskan pendirian beliau berkenaan BoG ini supaya tidak menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur jangka panjang ke Malaysia.

“Para pelabur mementingkan kestabilan dasar-dasar kerajaan. Kerajaan perlu ada keinginan politik untuk meneruskan dasar tidak menyekat internet yang telah ditetapkan sejak 1996,” katanya.

Dalam tahun 2014 sahaja, Malaysia berjaya menarik RM20.09 bilion pelaburan baru dalam sektor online ekonomi dan pertambahan pekerja seramai 9,497 orang. Pertumbuhan sektor internet tahunan adalah setinggi 11%, jauh lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 4%.

Oleh itu, KEADILAN menyeru Menteri Komunikasi baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.