SHAH ALAM: "Saya sebenarnya tidak faham apakah dendam Lim Guan Eng
terhadap (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang", kata Setiausaha Politik
Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang mahu Hadi memohon maaf kerana
dikatakan terlalu menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Dalam tempoh setahun ini (Julai 2014 -Julai 2015) rekod yang dikumpul
menunjukkan Guan Eng bertindak menghentam Hadi Awang tidak kurang dari
20 kali dalam kenyataan dan ucapan beliau."
"Semuanya bersumber dari maklumat yang salah, dan jauh dari maksud
sebenar apa yang disebut oleh Hadi Awang", katanya dalam laman web PAS.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP itu dilaporkan berkata jika Hadi
terus mempertahankan Najib, ia jelas menunjukkan PAS telah kehilangan
kredibiliti dalam membanteras rasuah.
Guan Eng berkata Hadi kini pro- UMNO kerana banyak 'menyokong' Najib dalam isu berkaitan 1Malasyia Development Berhad (1MDB).
Presiden PAS itu pada 7 Julai lalu berkata sebarang tuduhan dan
dakwaan salah laku yang dilemparkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak perlu berasas dan memerlukan saksi.
Hadi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk
Dr Haron Din yang sebelum ini yang menyifatkan laporan Wall Street
Journal (WSJ) yang mendakwa terdapat aliran wang 1MDB bernilai berbilion
ringgit ke dalam akaun peribadi Najib, sebagai tidak logik.
"Hanya satu sahaja kesimpulan saya pada saat ini. Samada Guan Eng
mempunyai masalah kesihatan yang serius untuk memahami bahasa tulisan
dan pertuturan yang mudah, atau pun beliau sememangnya bukan ahli
politik yang faham bahasa politik" ujar Ahmad lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.