BERNAMA
Dari eksperimen dan
penyelidikan yang dibuat mendapati masalah keganasan tidak timbul di
kalangan mereka yang mendalami ilmu agama malah Islam sendiri tidak
pernah mengajar perlakuan ganas. - Foto arkib TRP/Mohd Zulhairie
KOTA BAHARU, Pemantauan terhadap 172 institusi
pengajian Islam berteraskan pondok di negara ini mendapati mereka tidak
terlibat dengan kegiatan ekstremisme mahupun militan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (JPM) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Lembaga
Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI)
membuat pemantauan itu selepas terdapat ancaman Kumpulan Islamic State (IS) turut menyasarkan Malaysia untuk melaksanakan agenda mereka.
Katanya dari eksperimen dan
penyelidikan yang dibuat mendapati keganasan tidak timbul di kalangan
mereka yang mendalami agama malah Islam sendiri tidak pernah ajar
keganasan.
“Jika dilihat tradisi dan tabii
ekstrimis bukannya daripada golongan orang yang belajar agama..Islam
tidak pernah ajar halalkan keganasan kerana ianya terpesong dari ajaran
Islam sebenar.
“Islam adalah agama
sejahtera..tradisi keilmuan sebenar tidak akan terjebak dengan keganasan
ataupun elemen yang terpesong,” katanya.
Menurutnya, melihat sejarah
kumpulan militan di negara ini, kumpulan seperti Kumpulan Mujahiddin
Malaysia (KMM) atau Al Mau’nah terdiri golongan profesional seperti
Nordin Mat Top dan Dr Azhari yang bukan berkelulusan dalam bidang
berkaitan agama Islam.
Manakala jika dilihat di
peringkat global, Osama Ben Laden sendiri adalah lulusan kejuruteraan
selain Ayman Al Zawahiri adalah doktor perubatan.
“Secara tradisi, golongan agama
memang tidak terbabit dengan ekstrimis atau keganasan. Islam sentiasa
tekankan Wasatiyah iaitu tidak condong ke kiri atau ke kanan.
“Islam tidak galakkan
ekstrimisme, fanatik ataupun keganasan selain tidak akan membiarkan
agama diperalatkan dalam aspek pluralisme, liberalisme yang akhirnya
merosakkan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
pemberita selepas merasmikan Multaqa Guru-Guru sekolah Pondok Zon Timur
2015 di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, beliau turut
menyerahkan sumbangan berjumlah RM15.67 juta kepada 72 institusi
pendidikan Islam berteraskan pondok di pantai timur.
Sumbangan berkenaan merupakan agihan
peruntukan RM25 juta kepada sekolah-sekolah pondok yang dibentang oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2015 Oktober tahun
lepas.
No comments:
Post a Comment