Oleh Ermizi Muhamad
PERAK : Video Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan wartawan dan jurugambar merakam aksinya ketika meredah banjir di Perak baru-baru ini menjadi viral di internet.
Video bertajuk “Najib dan Zambry berpoligam” yang berdurasi 48 saat itu dimuat naik ke laman sosial, Youtube dan mencapai tontotan lebih 15,000 pengguna internet selepas dua hari dimuatnaik.
Dalam video berkenaan, kedua-dua pemimpin Umno itu dilihat mengarahkan wartawan dan jurugambar mengambil gambar mereka meredah banjir di kawasan yang dinaiki air.
Antara lain, Najib dan Zambry mengarahkan jurugambar dengan menyebut “You duduk sana… ambil dekat sebelah sini” dan “Kena ambil paras ini”.
Najib pada 29 Disember lalu melawat Perak untuk melihat kawasan yang dilanda banjir.
Beliau dilapor melawat pusat pemindahan banjir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, dan kemudian melawat beberapa kawasan di Perak Tengah terutama di Kampung Gajah.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi video itu dirakamkan.
Selain itu, video itu turut menyiarkan gambar menunjukkan beberapa petugas yang mengiringi lawatan itu dilihat seperti membukakan kasut Najib selepas meredah banjir di kawasan berkenaan.
Dalam semakan Keadilan Daily, Video yang mula dimuatnaik di laman Facebook milik Zambry awal minggu lalu itu telah dipadam, namun masih boleh ditonton di laman Youtube.
Najib sebelum ini menerima kritikan pelbagai pihak apabila dilapor bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ketika puluhan ribu penduduk, khususnya di Pantai Timur terjejas teruk akibat banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.