Monday, September 23, 2013

Tumpuan pada mesyuarat tergempar majlis tertinggi PBB hari ini

ANTARAPOS.COM

Post Pic
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini menjadi tumpuan berikutan sumber dalaman parti dan penganalisis percaya presiden parti Tan Sri Abdul Taib Mahmud mungkin memberikan petunjuk mengenai kepimpinan beliau.
Sumber dalaman parti berkata mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi itu yang akan diadakan di ibu pejabat parti di Kuching itu dipanggil oleh Taib dan kebanyakan anggota MT dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat itu dalam tempoh notis yang singkat.
Taib memimpin Sarawak lebih 32 tahun, iaitu sejak 1981 dan diakui sebagai ahli politik yang pintar dan mempunyai daya ketahanan mengharungi pelbagai cabaran politik. 
Beliau dituduh oleh pembangkang sebagai korup, namun dakwaan-dakwaan itu tidak menjejaskan prestasi beliau atau PBB secara umum, menyebabkan tusnami politik yang menyaksikan Pakatan Rakyat menguasai empat negeri di Semenanjung tidak merentasi Laut Cina Selatan.  
Memandangkan mesyuarat tergempar itu  diadakan menjelang Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) pada 18 hingga 20 Okt, maka ia menimbulkan pelbagai teka-teki mengenai politik Sarawak.
"Tiada agenda ditetapkan tetapi kami hanya diberitahu ia adalah penting. Biasanya kami akan menerima notis untuk mesyuarat Majlis Tertinggi lebih awal tetapi tidak pada kali ini," kata seorang pemimpin kanan parti yang enggan didedahkan identitinya ketika dihubungi.
Setiausaha agung parti Datuk Dr Stephen Rundi ketika dihubungi mengesahkan mengenai mesyuarat tergempar itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Pemerhati politik berpendapat Taib mungkin menggunakan mesyuarat itu untuk mengumumkan pelan peralihan politiknya dan mendapatkan persetujuan berhubung kepimpinan parti mengenai bagaimana ia harus dilakukan.
Pada April 2011, Taib telah menyatakan beliau akan bersara dalam "dua atau tiga" tahun lagi dan beliau mungkin berundur pada "pertengahan penggal" tanpa menyatakan tarikh spesifik.
Semasa merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Balingian baru-baru ini, Taib yang juga pengerusi BN negeri berkata beliau telah membimbing pemimpin berkebolehan untuk menerajui PBB dan negeri.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut sebarang nama atau memberikan sebarang pembayang mengenai siapa pengganti beliau itu.
PBB wujud hasil penggabungan antara Parti Bumiputra dengan Parti Pesaka pada Januari 1973 dan menjadi tonggak "simpanan tetap" undi Barisan Nasional  yang menjanjikan kemenangan selesa untuk pemerintah di peringkat negeri dan nasional pada setiap pilihan raya.

No comments: