Monday, September 23, 2013
Tindakan Raja Roopiah bertanding MT Umno dipersoal PKR
Datuk Raja Roopiah Raja Abdullah yang dilanda kontroversi berhubung isu tanah di Selangor kembali menjadi tumpuan, selepas menawarkan diri untuk bertanding Majlis Tertinggi (MT) Umno walaupun sehingga kini masih belum tampil membuat penjelasan.
Bekas Senator itu menjadi perhatian media awal tahun lalu selepas dikatakan mengaut untung dalam kontroversi penjualan tanah oleh syarikatnya Awan Megah Sdn Bhd kepada syarikat pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bernilai RM130 juta.
Isu tersebut dimainkan oleh Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor semasa pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu, secara tidak langsung menjadi salah satu faktor kegagalan Umno menawan negeri terkaya itu.
Sejak pendedahan demi pendedahan dibuat oleh pemimpin PKR, bekas Ketua Wanita Umno Selangor itu tidak pernah tampil untuk membuat penjelasan dan cubaan media untuk menghubunginya sering gagal.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) yang lantang mengkritik dan mendesak Raja Roopiah membuat penjelasan mengenai skandal tanah di Selangor sekali lagi mengulangi pendirian supaya Raja Roopiah untuk membuat penjelasan dan membersihkan namanya.
"Sampai sekarang Raja Roopiah tidak pernah keluar satu penjelasan pun mengenai skandal tanah yang PKR dedahkan.
"Pemimpin beginikah Umno mahu? Saya mendesak sekali lagi supaya Raja Roopiah untuk membuat penjelasan kepada semua terutamanya rakyat Selangor," kata Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang, kepada The Malaysian Insider.
Kontroversi Raja Roopiah melibatkan tanah di Bukit Raja terbongkar selepas pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan tindakannya menyaman Putrajaya kerana didakwa melanggar perjanjian tetapi kemudiaannya telah ditarik balik.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Astacanggih (milik Deepak) mendakwa Awan Megah bersetuju dengan syarikat tersebut bahawa Kerajaan dan Syarikat Tanah dan Harta bersetuju untuk memindahkan tanah di Bukit Raja kepada Cebur Megah.
Beliau turut membuat pelbagai dakwaan mengenai urusan melibatkan bekas Ketua Wanita Umno Selangor Senator tersebut.
PKR menuduh pembelian LTAT ke atas tanah milik Raja Roopiah bermotifkan politik dan mendakwa ia bertujuan menyelamatkan Raja Roopiah daripada pendedahan yang lebih banyak oleh Deepak.
Pada tahun 1997, Kabinet meluluskan secara prinsip penswastaan projek Puspahanas kepada Awan Megah sebagai pulangan bagi 223 ekar tanah kerajaan di Bukit Raja yang akan dipindahkan kepada syarikat tersebut untuk pembangunan komersial.
Namun, Disember tahun lalu Boustead telah membeli 80 peratus saham Astacanggih bernilai RM30 juta dan tanah Bukit Raja dari Awan Megah bernilai RM130 juta, dengan berkata ia membawa keuntungan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment