KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Rakyat negeri Selangor akan terus menikmati pemberian 20 meter padu air percuma untuk tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Jaminan itu dinyatakan Khalid ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya hari ini.
Menurutnya, jika penstrukturan air di Selangor berjaya dilaksanakan, maka susidi air percuma itu akan diteruskan kepada tempoh yang lebih panjang.
“Penyusunan semula industri air ketika ini ada nampak cahaya di hujungnya tetapi masih belum selesai dan kita akan meneruskan program subsidi ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Kita harap dapat selesaikannya kerana kita tidak mahu aset yang paling penting untuk rakyat ini diuruskan oleh pihak yang tiada kepakaran,” katanya dipetik Selangorku.
Sebelum ini, Khalid memberitahu penyusunan itu akan diselesaikan sebelum 31 Disember depan selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia) 2006.
Perkara berkenaan diputuskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam surat bertarikh 9 September lalu.
Khalid turut memaklumkan penstrukturan itu akan memberi kemampuan kepada Kerajaan Negeri untuk menjelaskan hutang kira-kira RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat.
“Selepas hutang itu diselesaikan, hutang Kerajaan Negeri hanya tinggal tidak lebih RM200 juta.
“Jadi oleh kerana rizab negeri ketika ini sebanyak RM3 bilion, jadi negeri Selangor tidak perlu meminta sedekah lagi, dengan ini kita dapat melaksanakan pembangunan negeri dengan baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment