Monday, September 23, 2013

Keluarga Chin Peng nafi pengagihan abu seperti dilapor Bangkok Post

OLEH LEE SHI-IAN
























Laporan Bangkok Post yang mendakwa keluarga mendiang Chin Peng akan mengagihkan abu mayat bekas ketua komunis itu kepada saudara-mara dan rakan seperjuangannya dinafikan oleh ahli keluarganya.

Jurucakap keluarga Chin Peng, Lee Chong memberitahu pemberita hari ini bahawa mereka masih belum memutuskan untuk pengurusan abu berkenaan sambil mendakwa tiada pihaknya yang bercakap dengan Bangkok Post.

“Saya tidak tahu siapa yang ditemubual oleh Bangkok Post dan saya ulangi kami masih belum membuat keputusan untuk menguruskan abu berkenaan,” katanya.

 Beliau menghargai liputan media terhadap kematian Chin Peng tetapi hak privasi juga perlu dihormati.

Lee turut meminta anak Chin Peng, Ong Boo Kok, diberi ruang meratapi kematian bapanya. Beliau turut enggan mendedahkan lebih lanjut identiti anak Chin Peng ketika ditanya media.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia pada 16 September lalu di Hospital Antarabangsa Bunrungad setelah lama bertarung melawan penyakit barah.

Bangkok Post melaporkan hari ini abu Chin Peng akan diagihkan kepada saudara-mara dan rakan seperjuangannya selepas upacara pembakaran mayat.

Mendiang Chin Peng kini masih berada di Tokong Wat That Thong di Jalan Sikhumvit, Bangkok dan mayatnya akan dibakar jam 5 petang ini.

No comments: