Monday, September 23, 2013

Anggota polis maut bergelut dengan suspek curi besi buruk di Melaka

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
MELAKA: Seorang koperal polis maut ketika bergelut untuk menahan seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini, hari ini.
 
Dalam pergelutan itu, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati di tempat kejadian.
 
Ketua Polis Melaka SAC, Datuk Chua Ghee Lye berkata, Zal-Azri menyertai operasi itu untuk menangkap sekumpulan lelaki yang disyaki cuba mencuri besi buruk di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cheng awal pagi tadi.
 
"Tiga suspek ditahan berumur 17, 22 dan 23 tahun dipercayai sedang mencuri besi lusuh di kawasan itu. Kira-kira 8 pagi seorang daripada mereka (suspek berusia 17 tahun) cuba melarikan diri dan dikejar Zal-Azri," katanya.
 
Beliau berkata, Zal-Azri dipercayai bergelut dengan suspek sebelum cedera di bahagian kepala serta muka dan anggota polis itu ditemui anggota pasukannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 25 meter dari tempat pergelutan itu, sebelum meninggal dunia.
 
Ditanya adakah Zal-Azri dipukul menggunakan batu di kepala oleh suspek dalam pergelutan itu, Chuah berkata: "Mungkin dipukul dengan batu...kami jumpa batu itu di sana, kami masih menyiasat. Jadi buat masa ini masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.
 
Beliau berkata, suspek yang dapat melarikan diri selepas pergelutan itu, berjaya ditahan di Krubong pada pukul 10.50 pagi.
 
"Zal-Azri telah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai anggota polis dan baru dua bulan ditukarkan ke bahagian itu berdasarkan perkhidmatan cemerlangnya sebelum ini di Alor Gajah," katanya.
 
Jenazah Zal-Azri akan dikebumikan di negeri asalnya, Pulau Pinang. Allahyarham meninggalkan isteri Atiqah Mohd Rosdi @ Mohd Rodi, 29, dan dua anak iaitu Mohamad Habibullah, 4, dan Mohamad Atiqullah, lima bulan.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

No comments: