MELAKA - Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MIC tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti September ini bagi memastikan parti itu terus stabil untuk membela nasib kaum India di negara ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan MIC Melaka Datuk M.S Mahadevan.
  
Beliau berkata MIC Melaka khuatir sekiranya ada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti itu, perpecahan di kalangan anggota parti akan berlaku yang seterusnya boleh menggugat usaha MIC meraih sokongan kaum India.
  
"Selepas kita pilih presiden dan timbalan, jika ada pertandingan, kita belum tahu parti kita akan kukuh atau tidak. Jika ada perpecahan (di kalangan anggota) kerana pertandingan itu tentu kita tahu parti kita tidak kukuh.
  
"Presiden MIC (Datuk Seri G. Palanivel) dan timbalan (Datuk Seri Dr S. Subramaniam) perlu diberi lebih banyak masa untuk melaksanakan rancangan mereka membela nasib kaum India di negara ini," katanya kepada Bernama di sini.
  
Palanivel dan Dr Subramaniam dilantik ke jawatan itu pada tarikh yang sama iaitu 6 Disember 2010.

Ditanya sama ada tiada pertandingan bagi jawatan itu akan memberikan implikasi terhadap sistem demokrasi dalam MIC, Mahadevan berkata perpaduan di kalangan anggota MIC perlu diutamakan.
  
"Demokrasi itu sememangnya telah lama ada dalam MIC, jadi ini bukan soal adanya demokrasi atau tidak. Tetapi kita perlu melihat bagaimana mahu mengukuhkan parti dahulu.
  
"Kalau kita nak guna alasan demokrasi untuk pecah belah parti lebih baik kita fikir mengenai kestabilan dulu. Bagi saya lebih baik kita duduk bersama dan bincang apa boleh kita buat supaya parti lebih kukuh dan stabil," katanya.
  
Beliau berkata sebagai antara parti utama dalam Barisan Nasional, MIC perlu kukuh dan stabil bagi menarik lebih banyak sokongan terhadap kerajaan terutamanya di kalangan generasi muda.
  
Mengulas mengenai usaha menarik lebih ramai generasi muda bersama parti itu, Mahadevan berkata MIC Melaka akan menubuhkan 30 cawangan MIC di negeri ini yang bakal dipimpin golongan belia.
  
"Pada masa ini kita ada 140 cawangan MIC di Melaka dengan keahlian antara 60 dan 200 orang setiap satu cawangan. Cawangan ini bakal menjadi platform untuk kita menarik lebih ramai orang muda bersama kita," katanya.  - Bernama