Jumaat, 30 November 2012

Lagi kuat jerit, lagilah sumbang


Shahbudin Husin

 

Tidak ramai yang memperkatakan intipati ucapan Najib di perasmian Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Semuanya sudah dijangka. Serangannya kepada pembangkang, kecamannya terhadap Anwar Ibrahim, keyakinannya UMNO sudah pulih dan keghairahannya mahu mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun bukanlah sesuatu yang pelik.

Ia sudah banyak kali diperkatakan Najib sebelum ini. Penegasannya kali ini hanyalah merupakan ulangan skrip lama yang dikitar semula.

Apa yang lebih banyak diperkatakan ialah kenapa Najib terlalu banyak terjerit dan terlolong di atas pentas kali ini. Tidak seperti sebelumnya, kali ini bermula di awal ucapannya lagi beliau beliau sudah menjerit-jerit dan meninggikan suaranya seolah-olah sistem pembesar suara di Bangunan UMNO itu tidak cukup canggih untuk melantunkan suaranya.

Baik di dalam Dewan Merdeka mahu pun di persekitaran PWTC, perwakilan dan pemerhati rata-ratanya kehairanan serta tidak henti-henti memperkatakan kenapakah Najib terlalu banyak menjerit-jerit kali ini.

 Apakah isu Scorpene dan pengakuan Deepak yang mengaitkannya dengan rasuah telah menjadikan kepalanya terlalu semak sehingga menjadi mamai dan tidak sedar atas perlakuannya yang terlihat “over” itu.
Rakyat yang menonton ucapannya melalui tv juga ramai yang meluahkan kehairanan yang sama seolah-olah ada hantu dan polong yang telah merasuk pemikirannya di perhimpunan ini.

Jika ada sistem pemberian markah dan komen juri seperti Akademi Fantasia, ucapan Najib kali ini tentunya menerima kritikan paling tajam serta markah paling kurang.

Sebagai Perdana Menteri, ramai yang merasakan Najib harus membawa perwatakan dirinya yang sebenar ketika berada di atas pentas. Dia tidak perlu meniru gaya Anwar Ibrahim yang hebat aura dan getar suaranya yang bergema ketika menjerit di atas pentas. Anwar memang semulajadi begitu, mempunyai kelebihan yang dianugerahkan Tuhan dalam berpidato.

Jika Najib cuba meniru gaya Anwar dalam berucap meskipun dalam masa yang sama mengecam dan menghentam Ketua Pembangkang itu, ia adalah suatu kesilapan besar yang telah dilakukan Najib. Ini kerana sudah pasti beliau tewas jika ingin berlawan kehebatan berpidato dan menjerit dengan Anwar.

Anwar jika menjerit dan meninggikan suara ketika berucap, auranya terserlah dan intonasi serta getar suaranya penuh meyakinkan. Ia berbeza dengan Najib, jeritannya sumbang dan tidak sedap didengar. Jeritan suara Najib tidak menaikkan semangat, sebaliknya ada yang gelihati dan kesian dengannya.

Najib seharusnya mencontohi Mahathir, Pak Lah dan Muhyiddin yang tampil diatas pentas dengan gaya sendiri dan tidak meniru-niru gaya orang lain ketika berucap. Mahathir dari dulu sampai sekarang kekal dengan gayanya yang sama ketika berucap. Begitu juga Pak Lah dan Muhyiddin. Ini menjadikan gaya dan stail mereka itu tidak pernah dipertikai dan diperkatakan kerana sejak dulu itulah gaya mereka ketika berucap di atas pentas.

Keghairahan Najib untuk meniru dan berlawan berpidato dengan Anwar bukan saja perbuatan sia-sia tetapi juga menggambarkan ketakutannya yang melampau terhadap Anwar. Najib seolah-olah beranggapan hanya dengan kemampuan menjerit lebih kuat daripada Anwar, Pakatan Rakyat dapat ditewaskan dan hasrat Anwar menggapai Putrajaya dapat digagalkan.

Jika itu tanggapannya, Najib ternyata silap perkiraan sekali lagi.

Kalau pun beliau ingin berlawan suara siapa yang paling kuat dan jeritan siapa yang paling bergema, beliau sepatutnya menunjukkan keberanian untuk menyahut cabaran Anwar untuk berdebat terlebih dahulu.

Sikap Najib yang terlalu banyak menjerit-jerit juga menyebabkan fokus perwakilan dan pemerhati terhadap intipati ucapannya tenggelam sama-sekali. Ramai yang tidak mengambil hirau apa yang diucapkannya.

Sehingga malam ini, lebih banyak yang bercakap tentang gayanya yang menjerit itu berbanding kandungan ucapannya.

Sudahlah nada ucapannya sambil menjerit-jerit itu tidak sedap didengar, penampilannya pula jelas kelihatan sumbang dan tidak meyakinkan. Nampaknya aura Anwar telah menghantui Najib sejak beliau mula mengambil alih jawatan Ketua Pemuda pada tahun 1986 sehinggalah sekarang.

Sejak 1986, sebaik mengambil alih jawatan Ketua Pemuda daripada Anwar, Najib sudah mula mahu meniru gaya Anwar berucap tetapi nampaknya sampai menjadi Perdana Menteri pun usahanya itu tidak pernah menjadi.

Harap selepas ini Najib kembali kepada jati dirinya yang sebenar dan tidak menjerit-jerit lagi ketika di atas pentas. Lagi kuat jeritannya, lagi sumbang jadinya.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Mukhriz yakin tawan Kedah kembali


 

KL RODAY


Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali Kedah pada pilihan raya akan datang namun parti itu tidak boleh hanya bersandarkan kepada kelemahan pentadbiran PAS di negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bagaimanapun mengingatkan agar ahli parti itu tidak terlalu yakin, sebaliknya terus bekerja keras untuk memenangi hati rakyat.

“InsyaAllah kami mempunyai peluang yang baik…saya optimis.

“Tapi adalah amat penting bagi semua ahli untuk kerja sebanyak mungkin supaya rakyat dapat menilai bahawa kita merupakan pilihan terbaik untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Jumaat.

Ditanya sama ada BN mempunyai peluang cerah untuk mengambil alih semua negeri yang ditadbir pembangkang, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, masih banyak kerja perlu dilakukan bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Ia (kelemahan mereka) akan membantu kita tetapi tidak semua…kita masih perlu untuk meyakinkan rakyat apa yang kita boleh lakukan.

“Kita mempunyai rekod yang baik namun pada yang sama kita akui pernah melakukan kesilapan.

“Kita sudah belajar daripada kesilapan lama, kita tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.

Diminta mengulas sama ada beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Parlimen agar dapat berkhidmat kepada rakyat Kedah dengan lebih baik, Mukhriz berkata beliau terbuka kepada semua kemungkinan.

“Saya terbuka…keputusan di tangan Perdana Menteri.

“Saya sudah jelaskan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa saya terima apa sahaja keputusan yang dibuat,” katanya.

Pelajar melecur di sirkit antarabangsa Sepang dianugerah RM222,398

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM— Seorang pelajar kejuruteraan automotif yang melecur di laluan 'pit' semasa perlumbaan kereta di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2010, dianugerah gantirugi RM222,398 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.  

Hakim Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham memerintahkan Aylezo Motorsports Sdn Bhd dan Sepang International Circuit Sdn Bhd membayar sejumlah RM175,000 sebagai gantirugi umum dan RM47,398 gantirugi khas kepada Jordan Saw Yu Huan, 25.

Aylezo Motorsports dikenakan liabiliti 60 peratus sementara Sepang International Circuit 40 peratus.   

Prasad yang menyampaikan keputusan itu dalam kamar membenarkan saman itu terhadap dua pihak berkenaan dengan kos RM20,000.

Pada 3 Ogos tahun lepas, Saw, pelajar Kolej Otomotif, memfail saman kecuaian terhadap lima pihak.

Beliau menmakan antara mereka, pemandu kereta lumba Low Suan Chuan; seorang pengarah Team Empire Motorsports Sdn Bhd, Ashraff Dewal Mohd Ali; dan penaja Aylezo Motorsports Sdn Bhd sebagai defendan. 

Yang lain Sepang International Circuit Sdn Bhd, penganjur Merdeka Millennium Endurance Race 2010, dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM). 

Bagaimanapun, Prasad hari ini menolak tuntutan terhadap Low, Ashraff Dewal dan AAM. —  Bernama 

Abim kecam konsert Elton John, Jennifer Lopez

Mohamad Raimi Ab Rahim

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam penganjuran Konsert Elton John (Elton John & Band: 40th Anniversary of the Rocket Man pada 29 November 2012), serta Konsert Jennifer Lopez (Jennifer Lopez live in Malaysia pada 2 Disember ini).

Ini memandangkan konsert tersebut dianjurkan taktala kita masih bergelut untuk merungkaikan pelbagai kemelut sosial yang melanda negara ini.

Abim juga menilai penganjuran konsert seakan-akan menggambarkan sikap acuh tidak acuh pihak tertentu terhadap pelbagai bantahan yang dikemukakan terhadap penganjuran konsert-konsert serta program hiburan melampau membabitkan artis-artis dari luar negara.

Hiburan merupakan elemen berpengaruh terutama sekali di kalangan golongan remaja. Hiburan yang bersifat mendidik akan mendorong golongan remaja untuk mengembangkan sahsiah diri mereka secara positif.

Akan tetapi sekiranya mereka menerima pendedahan dari hiburan yang bersifat hendonistik semata-mata, ia akan mendorong golongan muda untuk bertindak menurut kepuasan hawa nafsu semata-mata.

Tambahan pula, salah seorang artis tersebut secara terbuka mengamalkan hubungan sejenis yang boleh memberikan ekspresi keteladanan yang salah di kalangan golongan muda.

Seharusnya ancaman LGBT serta beberapa gejala songsang yang lain membuatkan pihak-pihak yang berwajib lebih berwaspada serta berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan serta penganjuran hiburan membabitkan artis-artis luar negara.

Penganjuran kedua-dua konsert tersebut merupakan titik hitam di sebalik kemilau kebangkitan hiburan Islamik serta selebriti dakwah di negara ini. Ketegasan serta keprihatinan dari pihak berwajib serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda dari terus dibanjiri “idola” tanpa sebarang rujukan keteladanan yang positif.

Penulis buku Syed Hussein dibebas dengan ikat jamin

SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Penulis buku Syed Hussein Al-Attas yang ditahan pagi tadi ketika menjual buku beliau yang dikatakan menghina Sultan Johor, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi Perhimpunan Agung Umno ke-66, telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata Syed Hussein, juga dikenali sebagai Pak Habib, 71, ditahan kira-kira pukul 11 pagi dan dibawa ke bilik gerakan polis di PWTC untuk diambil keterangan.

"Kira-kira pada pukul 4 petang kami telah bebaskan dia dengan ikat jamin," katanya ketika dihubungi Bernama.

Polis turut merampas 13 buah buku hasil tulisan Pak Habib, yang juga bapa kepada blogger dan pengamal paranormal Syed Abdullah atau Uncle Seekers, yang sebelum ini pernah ditahan polis kerana didakwa memfitnah Sultan Johor di blognya www.uncleseekers.blogspot.com.

Zainuddin berkata polis sedang menyiasat kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan dan Seksyen 502 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan percetakan yang ada unsur fitnah.

"Apa-apa tindakan akan diambil selepas siasatan terhadap kandungan buku tulisannya itu selesai," katanya. - Bernama

Najib minta maaf kali ke-3, respons pengundi bagaimana?

G MANIMARAN dan NIZAM ZAIN

 Najib minta maaf kali ke-3, respons pengundi bagaimana?
Reaksi perwakilan ketika mendengar ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2012, semalam. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
 
TIDAK wujud individu, pemimpin, organisasi atau parti yang tidak pernah melakukan kesalahan. Untuk itu sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, Umno menyusun memohon maaf atas kekhilafan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 24 jam yang lalu.

Seorang pegawai kanannya yang ditemui Sinar Harian Online berkongsi maklumat sekiranya Najib meneruskan ucapan hampir 90 minit, Dewan Merdeka akan menyaksikan detik yang disaksikan pada tahun 2002.

Najib sebagaimana dijangkakan dengan tegas mengatakan "Umno sudah mengalami perubahan" dan bersedia untuk kembali membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kembali ke Dewan Merdeka sebagai peneraju Kerajaan Pusat.

Pada keseluruhannya ucapan dasar kali memperlihatkan peningkatan keyakinan Najib berbanding tahun lalu. Berbanding graf 2010, kedudukan itu lebih baik sekarang.

Mengulas perkembangan semasa di Dewan Merdeka, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan ucapan dasar Najib kali ini lebih komprehensif  dan disampaikan secara artikulatif.

"Saya lihat tiga perkara utama," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Salah satu daripada tiga perkara itu ialah ahli-ahli Umno perlu konsisten dan bersungguh-sungguh dalam menabur bakti, kata Ahli Parlimen Temerloh ini.

"Perlu tulen dan tidak dibuat-buat...  kerana akhirnya rakyat dapat lihat kebaikan atau keburukannya," kata pemimpin muda yang sentiasa menekankan keperluan politik baru dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

Kedua, menurut beliau, kerajaan pimpinan Umno sentiasa melakukan transformasi yag tepat dengan keperluan.

"Ia seimbang iaitu dari satu segi, ia bersifat semasa dan futuristik, manakala dari segi yang lain, ia berpaksi pada prinsip-prinsip yang kukuh. Ini falsafah pergerakan teguh," katanya merujuk kepada pelan transformasi yang dilakukan.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, Umno parti yag bukan sahaja berkhidmat kepada orang Melayu, tapi berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

Pilihan raya umum empat tahun lalu merupakan detik hitam buat Umno-BN apabila kalah teruk kali pertama kali dalam sejarah meskipun lebih 50 tahun mendominasi pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sudah pasti kejadian yang memalukan itu tidak mungkin mahu diulangi kembali lebih-lebih lagi buat parti yang memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang kian lama menyusut tahap kepercayaan rakyat terhadapnya susulan pergolakan dalaman ahli-ahli dan jentera parti pada 2008 lalu.

Momentum itu turut dilonjakkan menerusi Perhimpuan Agung Umno 2012 yang sarat dengan mesej, nasihat dan mengembalikan semangat kekitaan.

Beberapa pemimpin Umno yang ditemui Sinar Harian Online mengakui mereka tersentuh dengan sifat mahmudah yang ditonjolkan presiden parti apabila memulakan bicara dengan memohon kemaafan dan menggesa semua ahli memuhasabah diri sebelum berjuang pada pilihan raya akan datang.

“Kalau semua perwakilan sedar tadi Perdana Menteri sebut bagaimana menilai diri, insaf tentang kekuatan kita, ukur keupayaan kita, cari peluang untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kitalah parti yang terbaik untuk memimpin BN dan membawa negara ini ke mercu kejayaan,” kata seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Harun.

Pemimpin dari Melaka ini mengingatkan ahli dan jentera parti itu supaya menjadikan detik 2008 sebagai pengajaran buat malah lebih berwaspada dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengetepikan kepentingan peribadi demi memastikan BN kembali memenangi hati rakyat pada PRU13.

“Kekuatan parti dalam bentuk mengotakan apa yang dikatakan, merealisasikan semua dasar di peringkat pelaksanaan, perancangan, maknanya kalau bukan Umno parti lain boleh pimpin Malaysia ini.

“Kita hilang lima negeri, hilang dua pertiga majoriti di Parlimen, menjadi pengajaran kepada kita supaya kita cari persamaan, kita jangan iri hati, jangan sabotaj, Umno ini memang parti yang kuat, hanya Umno boleh mentadbir dan membawa Malaysia ke hadapan yang lebih mencabar pada masa depan,” katanya.

Tegasnya jika Umno-BN mahu mengekalkan kuasanya di Putrajaya sebagai Kerajaan Persekutuan pada penggal akan datang, semua ahli dan jentera parti perlulah akur kepada keputusan yang dibuat ditetapkan oleh parti itu tanpa sebarang syak wasangka demi memastikan kemenangan milik Umno-BN pada pilihan raya akan datang.

Umno parti tiada tandingan

“Umno dah cukup kuat, establishment dah ada, gagasan pun dah ada, lengkap dengan struktur, sistem dan strateginya semua dah ada, jalan toleh ke belakang lagi, engkaulah partinya, syaratnya, apa saja yang ditentukan pemimpin nanti, kita dengar, kita taat dan kita akan menang pilihan raya nanti.

“Tiada parti lain yang boleh kalahkan Umno sebab parti pembangkang seperti PKR, Pas atau DAP semuanya cakap tak serupa bikin, parti anak-beranak, parti yang carca marba, apa yang dijanji langsung dia tak buat, langsung tak menampakkan ada akan kemajuan negeri-negeri di bawah pimpinan mereka melainkan kemelut politik,” tegasnya.

Umno jelas beliau, tidak hanya mensasarkan pengundi Melayu sahaja untuk meraih kemenangan nanti sebaliknya kaum bukan Melayu turut menjadi perkiraan penting kerana Umno bukan parti perkauman sempit sebaliknya memperjuangan nasib semua kaum yang berbilang bangsa di negara ini tanpa prejudis.

“Kita (Umno) tetap menghargai dan menghayati kepentingan kaum-kaum lain.

“Pengundi bukan Melayu pun mempunyai cita rasa, punyai kehendak dan kemahuan tersendiri, mereka tidak mahu pemimpin yang omong kosong, mereka mahu pemimpin yang boleh menjanjikan keamanan dan kesejahteraan negara berterusan,” jelasnya.

Umno mengetuai Perikatan sebelum ia dijenamakan semula sebagai BN susulan prestasi lemah Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969. Prestasi paling buruk disaksikan pada 2008.

Katanya, kebolehan Umno-BN mentadbir urus negara telah terbukti sejak lebih 50 tahun lalu malah meletakkan martabat negara sebaris dengan negara-negara maju dan dikenali dunia.

Hal ini katanya, amat berbeza dengan lima negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) kerana dilihat tidak menunjukkan perkongsian kuasa yang adil lagi saksama susulan sesetengah parti komponen pembangkang itu dinafikan hak sebagai pentadbir negeri.

“DAP baru duduk Pulau Pinang dah tak bagi peluang Pas untuk jadi Exco Kerajaan Negeri. Pas pula tak bagi wakil DAP jadi Exco Kerajaan Negeri di Kedah.

“Begitu juga di Selangor yang ditadbir PKR, ada orang kuat Pas dipecat kerana tak yakin dengan kewibawaannya dan PKR pula yang jaga hal ehwal Islam sedangkan Pas pada peringkat mereka amat sinonim dengan Islam,” katanya sambil menyifatkan pembangkang gagal mencapai kata sepakat dalam pengagihan kuasa dan faktor ini menyukarkan orang bukan Melayu untuk mempercayainya mereka kelak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Baintin Adun @ Abd Halim pula menekankan jika Umno-BN mahu kekal relevan dan terus menerajui pentadbiran negara, Presiden Umno perlu memastikan gerak kerja parti dan perkhidmatan disampaikan terus ke akar umbi, bukan sekadar ucapan semata-mata.

“Pemimpin di akar umbi akan terus mendekati rakyat untuk menerangkan betapa penting pembangunan yang ada yang dilaksanakan oleh Umno-BN di Putrajaya,” katanya sambil menjelaskan, Umno-BN di Sabah kerap kali diserang dengan pelbagai tohmahan oleh pembangkang menerusi siri ceramah politik mereka sejak akhir-akhir ini.

“Tugas semua penyokong dan ahli Umno perlu terus mendekati rakyat dan menerangkan apa isu sebenar dan apa sebenarnya yang diperkatakan oleh pembangkang itu betul atau tidak.

“Balik saja dari kongres ini, kami menerangkan segala apa yang telah diperjelaskan dalam perhimpunan ini kepada akar umbi supaya kita dapat mempertahankan kelangsungan pemerintahn Umno-BN,” katanya.

BN akan dimaafkan?

Beliau juga tidak menafikan sebelum ini Umno banyak kelemahannya, namun ia telah diatasi segera.

“Memang ada sabotaj dalam parti apabila tidak terpilih sebagai calon. Umno bercakap banyak tetapi tidak melaksanakan apa yang patut diberikan kepada rakyat.

“Hari ini sudah jauh berubah, rakyat sememangnya mahu apa yang mereka minta dan pertolongan terus dapat atau sekurang-kurangnya dapat perhatian daripada kerajaan,” jelasnya.

Berbeza pula pandangan bagi ahli jawatankuasa Umno Kampar, Mohd Ghazali Said berkata, jika mahu mengekalkan ketuanan Melayu, Umno-BN perlu  memastikan menang besar pada PRU13.

“Kalau tidak akan punah segala-galanya, itu nasihat PM antara hidup dan mati BN pada PRU13 mesti dapatkan kemenangan besar dua pertiga,” katanya sambil menasihatkan ahli parti itu supaya tidak taksub kepada kepentingan peribadi hingga menjejas matlamat parti untuk kekal sebagai pentadbir negara kelak.

Katanya, pertelingkahan yang wujud sebelum akibat tidak tercalon pada pada pilihan raya 2008 antara penyumbang utama kekalahan Umno-BN akibat sabotaj dalaman menjejaskan imej parti di kalangan rakyat.

“Lupakan segala perselisihan faham, tumpu kepada parti, jangan pentingkan peribadi, pentingkan politik semata-mata untuk kemenangan. Persiapan mesti dibuat seratus peratus untuk mengekalkan kuasa.

“Rakyat boleh dikatakan sekarang hampir kepada BN, kaum Cina sekalipun tetap menyokong BN pada masa sekarang, kita nampak gagasan 1Malaysia yang dibuat oleh Presiden nampak begitu berkesan hingga ke hari ini,” katanya.

PRU13 sudah pasti tahun depan. Kemungkinan antara 12 hingga 15 minggu lagi.

Sebagaimana diperkatakan oleh pegawai kanan Perdana Menteri, Najib kini meletakkan harapan sebagai "seorang bapa ke atas anak." Anak yang bernama ahli-ahli Umno dan BN selepas lebih tiga tahun memimpin Umno, BN dan negara selaku Presiden, Pengerusi dan Perdana Menteri.

Sejauhmanakah penerimaan permintaan maaf Najib. Rakyat sudah sedia memaafkan BN?

Jika ya, adakah ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi dan akan diberi peluang kedua - mengembalikan kerusi majoriti dua pertiga di Parlimen dan kembali memerintah empat kerajaan negeri?

Isu salun: Kata sepakat dicapai, kata Exco

SITI FATIHAH AWANG

Isu salun: Kata sepakat dicapai, kata Exco
Takiyuddin bersama NGO Cina Kelantan yang hadir perbincangan kata sepakat di Kompleks Kota Darulnaim semalam.
 
KOTA BHARU – Perbincangan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) Cina di negeri itu semalam mencapai kata sepakat mengenai isu kedai gunting rambut yang tercetus sejak seminggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan muhibah kedua belah pihak itu adalah untuk mendengar pandangan kedua belah pihak dan mencari jalan penyelesaian.

“Perbincangan ini berlangsung dengan baik dan kami turut menerima beberapa cadangan dari pihak NGO untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang berkesan dan disetujui semua pihak,”
katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Isu ini dibangkit setelah seorang pemilik kedai gunting rambut di KB Mall, di sini mendakwa disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan sejak 2010, kerana mendapati adanya pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut untuk pelanggan lelaki bukan Islam, mengakibatkannya didenda antara RM200 hingga RM350.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hua Kelantan, Oie Poh Choon dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Goh Tee Chew.

“Hari ini kami berbesar hati menerima cadangan ini untuk dibawa ke mesyuarat exco minggu hadapan dan hari ini bukan perjumpaan terakhir kerana kami akan duduk berbincang kembali jika masih berlaku sebarang kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan yang diberikan pihak NGO merupakan cadangan yang sangat baik dan yakin dapat membantu menyelesaikan isu yang dialami.

“Kami tidak boleh beritahu sekarang tentang cadangan yang dibincangkan dan selepas mesyuarat exco nanti kami akan beritahu semua jalan penyelesaiannya,” katanya.

Takiyuddin berkata, pihaknya akan menunggu keputusan Exco yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan memberi jaminan cadangan ini akan dipertimbangkan dan akan diumumkan selepas itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil NGO yang datang hari ini (semalam) kerana mereka bukan sahaja mewakili peniaga-peniaga bukan Islam Kelantan malah mewakili dan memikirkan juga tentang kepentingan orang Islam dan pandangan orang ramai,” katanya.

Pak Habib Ditahan Polis


KELAB GREENBOC

 Polis tahan penulis buku di PWTC

KUALA LUMPUR - Seorang penulis buku yang didakwa pernah menghina Sultan Johor ditahan polis pagi tadi ketika sedang berniaga di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi Perhimpunan Agung Umno ke-66.

Lelaki berusia dalam lingkungan 70 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota polis.

Pihak berkuasa turut merampas 13 buku.

Beliau kemudian dibawa ke bilik gerakan polis di PWTC.

Difahamkan beliau akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPPD) Dang Wangi untuk membantu siasatan.

Tiga bulan lalu, penulis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap Sultan Johor melalui blognya.

Turut ditahan rakan wanita penulis terbabit -SH


Syed Hussein Alattas ditahan di PWTC Kerana Jual Buku SSS

Penulis Syed Hussein Al-Attas atau Pak Habib ditahan polis ketika menjual buku yang menghina Sultan Johor di PWTC, pagi Khamis. Polis turut merampas 13 buah buku berkenaan.

Syed Hussein kemudian di bawa ke bilik gerakan polis di PWTC untuk diambil keterangan.

Ketika ditemui, penulis yang juga bapa kepada Syed Abdullah @ Uncle Seekers memberitahu, sudah kebiasaan beliau menjual buku setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.

Syed Abdullah turut ditahan polis Julai lalu ekoran kontroversi ekoran penyiaran artikel dalam blognya yang menghina sultan.

“Saya tak kisah, sudah 65 buku saya tulis. Lepas ini kena tulis novel atau kisah cinta sajalah,” ujarnya berseloroh.

Syed Hussein tidak menolak kemungkinan beliau ditahan di bawah Akta Hasutan.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan penahanan penulis buku itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, tindakan terhadap Syed Hussein hanya selepas siasatan terhadap kandungan buku tulisannya itu.

Zainuddin berkata Syed Hussein dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan dan Seksyen 502 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan percetakan yang ada unsur fitnah.

Update 4:45 PM - Berita awal yang diterima tidak tepat.Dikhabarkan Pak Habib masih ada di Bilik Gerakan Polis PWTC dan belum dibawa ke IPD Dang Wangi.

Update 5:50 PM - Dikhabarkan Pak Habib akan dibebaskan dengan Jaminan Polis dengan seorang penjamin.Amrayy dalam perjalanan untuk menjamin Pak Habib.

6:10 PM : PAK HABIB TELAH DIBEBASKAN
-pkrl

Penemuan gas: Royalti Sarawak wajar dinaik 20%

Harakahdaily,



Arifiriazul menunjukkan keratan akhbar mengenai penemuan terbaru simpanan gas di perairan Miri.

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sarawak bersyukur dengan penemuan terbaru simpanan gas (gas reserve) di perairan Miri oleh Petronas baru-baru ini.

Penemuan gas di lapangan Kuang Utara dan Tukau Timur itu dianggarkan mempunyai simpanan gas sebanyak 4.4 TSCF (trillion standard cubic feet).

“Penemuan terbaru ini menunjukkan Sarawak ialah negeri yang kaya dengan hasil asli terutama hasil minyak dan gas,” kata Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo.


Justeru, ujarnya hasil gas itu hendaklah dimanfaatkan untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sarawak, sesuai dengan tuntutan Islam untuk sesuatu hasil hendaklah dibelanjakan untuk negeri tersebut sebelum dipindahkan kepada kerajaan pusat.

Tambahnya, fokus utama hendaklah diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti lebuhraya, kemudahan air bersih dan elektrik di seluruh Sarawak serta program-program mensifarkan kemiskinan di kalangan rakyat Sarawak.

“Kami menganggarkan pendapatan sebanyak RM43 billion sepanjang operasi pengeluaran gas daripada dua lapangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dengan menganggarkan operasi pengeluaran selama 20 tahun, hasil tahunan daripada penemuan terbaru ini ialah RM2.16 billion setahun.

“Kami meneruskan tuntutan 20% royalti daripada hasil pendapatan tersebut yang dianggarkan RM430 juta setahun bermula daripada tahun pengeluaran pertama,” ujarnya lagi.


Dengan jumlah royalti tahunan sebesar itu, katanya kemiskinan di Sarawak dengan kadar 5.3% mampu disifarkan sepenuhnya hanya dalam masa setahun.

Dalam masa yang sama, kata beliau sekiranya keseluruhan hasil daripada 20% royalti gas ini dijumlahkan untuk 20 tahun operasinya, kerajaan negeri akan memperoleh hampir RM9 bilion yang dianggarkan mampu membina sekitar 60,000 buah rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak yang memerlukan.


Sehubungan itu, katanya Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah sedar bahawa hasil minyak dan gas Sarawak ialah milik rakyat Sarawak dan hendaklah dikembalikan kepada rakyat Sarawak.

“Hasil royalti 20% selaras dengan tuntutan NGO R dan Pakatan Rakyat ini hendaklah disokong oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Janganlah berslogan juara rakyat tetapi tidak mahu membela nasib rakyat sendiri,” katanya lagi.

Peneroka Kesedar Lebir dilulus geran tanah

Salmah Mat Husain,

KOTA BHARU: Setelah tinggal di kawasan rancangan kemajuan tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sejak 1980-an, akhirnya impian peneroka mendapat geran hak milik tanah menjadi kenyataan.

Seramai 86 peneroka Kesedar Lebir Gua Musang dilulus surat hak milik tanah pada mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, mesyuarat Exco juga turut meluluskan bagi mengazet Akta Tanah di bawah Seksyen 5 di bawah Akta Penempatan Beramai-Ramai (GSA 1960).

“Ia bertujuan memberikan hak milik kepada peneroka-peneroka di Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 membabitkan kawasan seluas 1,291.06 hektar.

“Dengan menggazetkan akta tanah tersebut, peluang untuk memberikan hak milik kepada mereka yang terlibat di Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 dapat dilaksanakan,” ujarnya selepas mesyuarat Exco.

Pada pertengahan tahun ini kerajaan negeri juga menyampaikan geran lot rumah dan kebun kepada peneroka serta penduduk bukan Islam yang tinggal di Gua Musang pada satu majlis yang diadakan di Dewan Sivik.

Sebelum itu pemimpin Umno menghasut dan cuba menghalang peneroka mengisi borang dan membayar premium tanah pada kadar yang minimum bagi membolehkan mereka mendapat geran hak milik tanah.

Dan sekarang peneroka bakal mendapat geran tersebut seperti dijanjikan kerajaan negeri tanpa termakan hasutan pemimpin Umno.

Husam berkata, geran-geran tersebut akan diberikan kepada peneroka dalam masa terdekat ini.

Jangan jadikan guru mangsa dendam politik

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) memberi amaran kepada kerajaan Umno BN agar tidak menjadikan guru sebagai mangsa dendam politik mereka.
Presiden Pendidik, Normala Sudirman (gambar) berkata, tindakan tersebut hanya akan menambahkan kebencian guru kepada Umno BN.

"Mengapa ada campur tangan politik untuk kepentingan sesuatu parti terhadap pendidik yang bertanggungjawab mendidik anak bangsa," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemecatan kakitangan sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Qatrun Nada Latfi, yang bertugas sebagai guru sementara di Labuan.

Pemecatan itu didakwa ada kaitan dengan tindakan beliau menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala juga berkata, Umno BN tidak berhak mengongkong kegiatan penjawat awam selepas waktu kerja.

"Selepas waktu kerja, seseorang itu berhak melibatkan dalam apa juga aktiviti selagi tidka melangar undang-undang.

"Mengikut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia juga, sebagai seorang warganegara, seseorang berhak menyatakan sokongan mereka terhadap mana-mana pihak kerana ia termaktub dalam perlembagaan Malaysia," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Qatrun terus konsisten menyatakan pendirian beliau.

"Pendidik simpati dnegan apa yang berlaku ke atas Qatrun dan berharap beliau istiqamah dalam pendirian dan prinsip beliau," katanya.

Qatrun yang bertugas di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Wilayah Persekutuan Labuan disiasat 22 Oktober lalu dan menerima notis pemecatan yang akan berkuatkusa 1 Disember ini.

Bagaimanapun, notis yang diterima beliau pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Sebelum pemecatan tersebut, Qatrun menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober lepas.

Dalam panggilan itu, individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Kerajaan Negeri Sumbang Dana Untuk Pesta Filem Kemanusian




SHAH ALAM 29 NOV : Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak RM 33,215 kepada NGO Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) bagi penganjuran pesta filem hak asasi manusia.

Exco Kebajikan dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Pesta Filem Hak Kemanusian (FFF) yang dianjurkan oleh KOMAS telah mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri semenjak tiga tahun lalu.

Katanya, FFF2012 lalu yang bertemakan ‘Demokrasi: Siapa Bos?’ menayangkan dokumentari mengenai isu hak asasi manusia seperti hak mahasiswa berpolitik, hak tanah Orang Asal, hak beragama dan rampasan kuasa di Sabah dan Perak oleh Umno-BN.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong kebebasan maklumat supaya ianya menjadi suatu ketetapan dan pegangan kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Adun Hulu Kelang Saari Sungib mengenai dasar Kerajaan Negeri terhadap aktiviti NGO dalam penghasilan filem dokumentari hak asasi manusia.
Soalan itu diajukan ketika persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sehubungan itu, sejak 2010 Kerajaan Negeri telah mewujudkan akhbar seperti SelangorKini dan Selangor Times serta saluran media elektronik seperti TvSelangor untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, saluran media alternatif ini juga menghasilkan dokumentari dan filem-filem pendek yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia.

Risalah PAS – Parti Ajaran Sesat diedar di PWTC

Muka depan risalah itu memaparkan foto Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memeluk tokoh veteran DAP Lim Kit Siang sambil mengukir senyuman 



KUALA LUMPUR: Sekeping risalah  enam muka surat bertajuk PAS – Parti Ajaran Sesat turut diedar  di PWTC sempena perhimpunan agung Umno.

Risalah itu diterbitkan oleh Unit Komunikasi Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Ia dibahagikan secara percuma untuk bacaan ahli dan penyokong Umno yang hadir di perhimpunan tersebut.
Muka depan risalah itu memaparkan foto Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memeluk tokoh veteran DAP Lim Kit Siang sambil mengukir senyuman.

Ia dipercayai berlaku ketika Lim mengunjungi Abdul Hadi yang ketika itu  menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Juga tertera gambar sekumpulan orang menunaikan solat bendera PAS serta seorang wanita sedang menyampaikan ucapan di dalam masjid atau surau.

Di antara kandungan risalah itu ialah berpegang kepada kepercayaan PAS itu Islam, Islam itu PAS; ajaran karut dan khurafat; kepercayaan sesat; fatwa Hadi dan kafir mengkafir sesama Islam dan (PAS) hukum mengikut rasa.

Tajuk lain ialah perpecahan umat; merosakkan amal ibadat; PAS menentang pelaksanaan program Islam dan amanat Hadi membawa kesesatan.

Ia turut memetik ucapan  Abdul Hadi  di Banggol Peradong Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dilaporkan sebagai berkata, “Kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Risalah itu turut menyatakan fatwa Haji Hadi pada tarikh sama bahawa pengikut PAS yang mati melawan Umno adalah syahid.

Najib ulang cerita lama

 
Beliau terus memperlekehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu janji Pakatan Rakyat dalam PRU 13. 



KUALA LUMPUR: Di Dewan Merdeka di PWTC,  Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi apa yang pernah diperkatakannya sejak mengambilalih kuasa sejak tiga tahun lalu.

Antara fokus intipati ucapan perasmian ke 66 perhimpunan agung Umno pagi ini ialah mengajak rakyat menolak pembangkang dalam pilihan raya ke 13 kelak.

Beliau terus memperlekehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu janji Pakatan Rakyat dalam PRU 13.

Beliau tidak menyebut nama Anwar sebaliknya  hanya menyebut sebagai Ketua Pembangkang dan bekas Menteri Kewangan ataupun Ketua Umum PkR.

Najib juga memperlekehkan PAS, PKR dan DAP yang menurutnya asas perjuangan berbeza walaupun bernaung di bawah satu pakatan.

Beliau juga menyebut betapa rakyat perlu terus menyokong Umno dan BN dalam mengemudi negara.

Bagaimanapun, beberapa  ahli Umno  yang ditemui berkata, ucapan Najib sama seperti yang diucapkan dalam perhimpunan Umno tahun lalu atau mana-mana program politik yang lajn.

Ismail Utip berkata, ucapan dan peringatan Najib sudah berkali-kali didengar sejak beberapa bulan lalu.

`Macam dulu’

“Syok…tapi sama macam dulu juga,” katanya sambil ketawa.

Menurut beliau lagi, ucapan ini merupakan peringatan kepada orang Melayu dan ahli Umno supaya menyokong parti yang boleh membela rakyat.

Bagaimanapun, Hamzan Ghani dari Kelantan bertanya adakah ucapan Perdana Menteri itu boleh memberi kesan kepada rakyat Kelantan.

“Saya harap Najib boleh merampas Kelantan…kalau tidak semangat itu sia-sia saja.

“Adakah pemimpin Umno di Kelantan insaf dengan amanat Najib?,” tambahnya.

Turut baca:
Hanya Umno-BN pilihan rakyat
Umno akan perjuang dan pertahankan Islam
Petikan ucapan Presiden Umno

BN bantah projek persimpangan bertingkat

 
Peruntukan sebanyak RM31.8 juta kepada pemaju i-City Properties untuk membina projek sepanjang dua kilometer itu tidak memberi manfaat. 

 

Sidang DUN Selangor

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor membantah pembinaan projek persimpangan bertingkat menghubungkan Lebuhraya Persekutuan yang disediakan dalam Bajet Peruntukan Pembangunan Negeri 2013.

Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menyifatkan keputusan kerajaan negeri memberi peruntukan sebanyak RM31.8 juta kepada pemaju i-City Properties Sdn Bhd untuk membina projek sepanjang dua kilometer itu tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

“Peruntukan itu adalah wajar digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir atau mengatasi masalah kesesakan jalan di beberapa lebuh raya utama di negeri itu,” katanya dalam sidang media di lobi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu bersetuju bahawa pemaju membiayai persimpangan bertingkat ini.

Tetapi sekarang dalam bajet 2013 ini pemaju diberi keistimewaan dan mendapat peruntukan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Keputusan ini bercanggah dengan dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mengutamakan rakyat, sedangkan banyak permohonan pembangunan tidak diberi peruntukan. Contohnya isu perparitan dan banjir.

“Lebih baik peruntukan itu digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir atau mengatasi kesesakan kenderaan di Lebuhraya Persekutuan ke persimpangan NKVE di Bukit Raja…atau lebuhraya Guthrie ke Shah Alam yang sesak pada waktu kemuncak,” katanya.

Projek sepanjang dua kilometer itu akan menghubungkan Lebuh Raya Persekutuan bermula di Plaza Tol Sungai Rasah dengan Kawasan Pembangunan Seksyen 7, Shah Alam.

Menurut Shamsudin, kerajaan negeri tidak prihatin kepada bantahan penduduk di Seksyen 7 ekoran pembinaan projek itu dibuat di kawasan zon penampan (pemisah di antara semua kawasan rekreasi dan hutan simpan).

Beliau turut mempersoalkan mengapa projek berkenaan tidak dilaksanakan di dalam I-City, sebaliknya menceroboh zon penampan tersebut.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pengurus projek akan menyumbang keseluruhan kos pembinaan bersama sembilan syarikat swasta dan pemaju seperti i-City Properties Sdn Bhd (i-City) dan IJM Properties.

Projek ini juga dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013.

Berapa Maaf Daa!!!


Oleh Ahmad Zawawi

Hari  ini  Presiden  UMNO  memohon  maaf  lagi.  Kita  tidak  tahu  kali  yang  keberapa.  Setidak-tidaknya  pada  Perhimpunan  yang  lepas  juga  beliau  ada  memohon  maaf.  Bagi  ahli-ahli  UMNO  setelah  menghayati  permohonan  maaf  yang  begitu  mendayu-dayu  ini  kita  percaya  mereka  telah  bersedia  memberikan  kemaafan.

Lagipun  sudah  empat  tahun  lebih  kesalahan  tersebut  berlalu.   Ahli-ahli  UMNO  pun  nampaknya  yakin  yang  pada  PRU  13  ini  “Kek  Besar”  itu  akan  dapat  dimenafaati  oleh  lebih  ramai  ahli.  Tidaklah  seperti  masa-masa  yang  lalu dimana   ia  hanya  berkisar  dikalangan  yang  rapat  dengan  pimpinan  sahaja.

  Yang  paling  lucu  dalam  Amanat Presiden pada Perhimpunan 2012 ini dimana  beliau  meminta  ahli-ahli  UMNO  kembali  kepada  rakyat -  disaat-saat  pilihanraya  menjelang  tiba  baru  orang-orang UMNO  mendapat  seru.   Apa saja  yang  Presiden sebut  ahli-ahli  akan  patuh  dan  percaya.

Itu  mungkin  apa  yang  ahli-ahli  UMNO  percaya  tetapi  bukan  keseluruhan  para  pengundi  yang  akan  menentukan  siapa  yang  sepatutnya  menjadi  Kerajaan.   Menunggu  sehingga  tempohnya  terhentak  kedinding baru  hendak  diadakan  Pilihanraya  itu  sendiri  telah   membuktikan  Parti  yang  sedang   memerintah  amat  takut  berdepan  dengan  rakyat.

Saya  percaya  para  pengundi  (Rakyat Malaysia)  yang  telah  membulatkan  tekat  dan  azam  bersama-sama  Pakatan  Rakyat  membentuk  Parlimen  Ke  13  tidak  akan  berganjar  setapakpun  kebelakang  walaupun  mendengar  guruh  yang  berdentum-dentum  itu.

Kesimpulannya,  masyarakat  UMNO/BN  mungkin  sudah  cukup  mewah  daripada  hasil  mahsul  negara  akan  tetapi  rakyat  terbanyak  masih  tertinggal  dibelakang.  Jika  benar  selama  50  tahun  lebih  UMNO/BN  telah  membela  nasib  rakyat  mengapa  masih  ramai  rakyat  dikalangan  yang  miskin.  

Setelah  lima  dekad  memerintah  negara  masih  ada  rakyat  yang  menunggu  bantuan  rumah  PPRT?

Diakhiri coretan  ini  dengan  sepotong  kata-kata  hikmat:  Jangan   mudah  percaya  Hujan Sehari  boleh  menghapuskan  kemarau yang  sedang dihadapi  sejak  berpuloh  tahun. http://ahmadzawawi.wordpress.com

Khamis, 29 November 2012

Mahfuz tuntut Pak Lah kemuka penjelasan berhubung isu penjual karpet



Mahfuz menegaskan perkara tersebut yang berlaku pada tahun 
2007 dan pada ketika itu, Abdullah merupakan perdana menteri. 
— Gambar fail


KUALA LUMPUR — Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini menuntut penjelasan daripada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu penjual karpet Deepak Jaikishan yang didakwa ditipu oleh pemimpin Wanita Umno kerana perkara itu berlaku pada zaman pemerintahan beliau.
 Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, menegaskan perkara tersebut yang berlaku pada tahun 2007 dan pada ketika itu, Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah merupakan perdana menteri.

“Pak Lah perlu beri penjelasan... kita percaya semua dalam pengetahuan beliau, kenapa beliau serah kepada (Perdana Menteri Datuk Ser ) Najib (Razak),” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Deepak sebelum ini mendedahkan pada tahun 2007 beliau telah bersetuju untuk membeli tiga bidang tanah dengan harga RM 13 juta dengan disertai jaminan RM72 juta jaminan bank dari seorang Ketua Wanita Umno.

Ketua Wanita Umno itu jelas Deepak telah dianugerahkan projek penswastaan bernilai RM100 juta untuk membangunkan pusat penyelidikan pertahanan yang dikenali sebagai Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).

“Seperti ada perjanjian antara Pak Lah dengan Najib,” soal Mahfuz.

Deepak membawa perkara itu ke mahkamah dan dan menamakan Awan Megah Sdn Bhd bersama Kementerian Pertahanan, Syarikat Tanah Dan Harta Sdn Bhd dan Cebur Megah Development Sdn Bhd dalam pendakwaan kerana didakwa menipunya untuk projek tanah bernilai jutaan ringgit.

Najib setuju urusniaga tanah, kata Deepak



 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi menteri pertahanan pada 2006 bersetuju untuk memindahkan pemilikan tanah seluas 223.3 ekar (89.332ha) di Bukit Raja, Selangor daripada syarikat Awan Megah Sdn Bhd kepada seorang syarikat penama milik ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Hakim Zabariah Mohd Yusof bagaimanapun tidak membenarkan Deepak mengemukakan satu surat bertarikh 25 September 2006 daripada Awan Megah kepada Najib sebagai bukti, memandangkan beliau tidak memfailkan dokumen tersebut sebagai sebahagian daripada dokumennya semasa pengurusan kes.

Deepak dalam keterangannya hari ini mendakwa, Najib mempersetujui urusan berkenaan dan mahu timbalan ketua setiausaha kementerian pertahanan meneliti pemindahan milik tersebut.

Deepak memberitahu mahkamah bahawa beliau membantu untuk mengatur pertemuan di antara Awan Mega, yang diwakili pengarahnya Senator Raja Ropiah Raja Abdullah dengan Najib melalui isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahli perniagaan tersebut memberitahu mahkamah ketika disoal peguamnya R Sivarasa, bahawa transaksi yang berlaku memandangkan Awan Megah tidak berjaya mendapatkan bond tanah yang ditetapkan sebagai syarat untuk meneruskan projek Institut Pengajian Pertahanan Nasional di Putrajaya.

Deepak melalui syarikat Astacanggih Sdn Bhd, di mana beliau merupakan pengarah, menamakan kerajaan Malaysia, Syarikat Tanah Harta Sdn Bhd, Awan Megah dan Cebur Megah Development Sdn Bhd, di mana beliau turut menjadi pengarah, sebagai defendan.

Bagaimanapun, Hakim Zabariah mengeluarkan kerajaan Malaysia, Syarikat Tanah Harta, dan Cebur Megah sebagai defendan dalam saman tersebut.

Keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Majoriti Pemilik Tanah Baru Adalah Melayu




SHAH ALAM  : Hampir 7,000 hak milik tanah dikeluarkan Kerajaan Negeri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan empat tahun lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bahawa lebih separuh daripada jumlah tersebut juga adalah pemilikan kepada rakyat Selangor yang berbangsa Melayu.

Kira-kira sejumlah 3,833 penerima adalah berbangsa Melayu, 1,994 berbangsa Cina sementara 1,171 adalah berbangsa India.

Abdul Khalid ketika menjawab soalan daripada Adun Sekinchan, Ng Suee Lim turut menyatakan Kerajaan Negeri menggalakkan permohonan tanah secara berkelompok.

Kesemua permohonan yang menepati syarat, lengkap dan teratur akan diluluskan Kerajaan Negeri.
“Namun terdapat juga isu yang menyebabkan kita menghadapi masalah untuk meluluskan permohonan rakyat,” ujarnya yang juga Adun Ijok.

Antara isu yang dihadapi Pejabat Tanah Daerah ialah permohonan yang melibatkan rizab kerajaan seperti rizab jalan dan sungai selain masalah teknikal antara kedudukan tanah dan mukim berbeza yang memerlukan laporan berasingan.

Persimpangan Bertingkat Sebelah I-City Tidak Pakai Wang Rakyat




SHAH ALAM  : Persimpangan bertingkat bersebelah I-City akan dibina menggunakan dana yang diperuntukkan oleh tabung Kerajaan Negeri yang menerima sumbangan daripada pemaju-pemaju di negeri ini.

Justeru, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias bahawa pembangunan persimpangan bernilai RM 46 juta itu menggunakan dana rakyat.

“Kita tidak menggunakan wang rakyat sebaliknya peruntukan diambil daripada pemaju-pemaju yang membayar mengikut sistem kiraan ‘Gross Development Value’ (Nilai Pembangunan Kasar).

“Ini bermakna, semakin tinggi atau besar pembangunan, semakin tinggi sumbangan kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya sewaktu perbahasan usul peruntukan pembangunan 2012 di Sidang DNS hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid memberitahu keputusan pembangunan persimpangan bertingkat itu diputuskan sebelum tahun 2008 lagi.

“Namun, perlaksanaanya tidak jelas maka kita bertindak untuk mengubah cara perlaksanaanya agar kesemua proses dari awal direkod dengn telus dan jelas untuk tujuan audit.

“Itulah sebabnya juga kita memasukkannya dalam belanjawan negeri,” tegasnya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid yang juga Adun Ijok berkata beliau tidak mencampuri urusan perlaksanaan tersebut.

Segala perancangan dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan dipantau oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertindak sebagai perunding bagi projek tersebut.

Umno sekarang bersatu semasa nyanyi lagu Umno

Aspan Alias,


Muhyiddin dan Najib telah mengulangi keyakinan mereka yang UMNO dan ahli-ahlinya telah kembali bersatu padu terutamanya dalam menghadapi PRU yang hampir tiba ini. Mereka berdua berkata yang UMNO sudah bersedia untuk melalui peperangan menghadapi parti-parti pembangkang dengan perpaduan yang sangat kuat di kalangan ahli-ahli UMNO di setiap peringkat.

Tetapi saya dan ramai yang lain mengatakan yang UMNO berpecah-belah dan amat payah untuk diperbaiki. Tetapi apabila saya melihat melalui kaca TV pagi ini saya nampak perpaduan itu memang ada dan mereka sedang bersatu. Mereka bersatu di hadapan Presiden mereka dengan mengiyakan semua pertanyaan Presiden mereka itu dari rostrum yang tinggi di Dewan Merdeka yang hebat itu. Waktu saya menulis ini Presiden UMNO itu masih berucap dan mencemuh pembangkang yang beliau amat takuti itu.

TETAPI mereka bersatu hanya semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja tetapi mereka balik berpecah-pecah selepas itu. Jadi jika Najib dan Muhyiddin berkata yang UMNO bersatu, saya amat bersetuju. Tetapi apa yang tidak diakui oleh kedua-dua pemimpin ini UMNO hanya bersatu buat seketika sahaja, iaitu semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja.

Saya telah terlihat dua tiga orang sahabat saya yang berada di dalam Dewan Merdeka pagi tadi sambil menyanyikan lagu UMNO bersama ribuan yang lain semasa perasmian Perhimpunan Agung parti itu pagi tadi. Kebetulan salah saorang dari mereka telah menghantar sms kepada saya mengajak saya minum kopi malam ini di Kuala Lumpur atau di Petaling Jaya.

Saya pun menjawab dengan gurauan, “wah, bersemangat betul nampaknya menyanyi lagu UMNO tadi. I nampak you nyanyi dengan ribuan perwakilan.” Rakan saya itu menjawab pantas, “Gitulah boss, dah kita diminta menyanyi, kita nyanyilah, setidak-tidaknya ada juga waktunya kita orang bersatu. Masa-masa yang lain semuanya berpecah. Masa nyanyi lagu UMNO itu sahajalah kami dapat bersatu. Cukuplah tu, kan?” katanya kepada saya melalui sms beliau sedang beliau mendengar ucapan bergegar-gegar Presidennya itunya itu.

Walaubagaimana pun saya tidak dapat menerima jemputan minum bersama beliau kerana saya terpaksa memenuhi jemputan berceramah di Tambun, katanya saya berceramah dengan Rafizi Ramli malam ini. Saya tidak nampak yang UMNO sudah bersatu kerana penyatuan yang diusahakan oleh parti itu adalah berdasarkan kepada asas yang amat remeh dan lemah.

UMNO sedar yang masalah besar yang akan dihadapi oleh UMNO ialah masalah sabotaj terhadap calon-calon yang sememangnya menjadi budaya UMNO sekarang ini. Itu sebabnya Dr Mahathir terpaksa melakukan ‘initiative’ untuk memanggil pemimpin-pemimpin bahagian untuk melakukan ikrar dan bai’ah supaya tidak melakukan sabotaj terhadap parti dalam pilihanraya ini. Itu menunjukkan yang beliau sendiri yakin yang tindakan mensabotaj calon parti sendiri itu adalah budaya yang berkembang pesat dalam UMNO.

Bagaimana hendak mengadakan pilihanraya yang mana ahli-ahli UMNO tidak akan mensabotaj partinya kerana keadaan parti itu sekarang terlalu rumit untuk diselesaikan dengan baik. Keadaan dan budaya buruk yang sedang berlaku ini sebenarnya sudah berlaku terlalu lama kerana pimpinan parti itu tidak mengambil indah terhadap isu ini semasa ia masih belum pesat berkembang. Pimpinan selama ini mengambil kebaikan rakyat sebagai kelemahan dan mereka menyangka yang keadaan ini tidaklah sampai ke tahap seperti sekarang ini.

UMNO merupakan parti yang tidak serius untuk menangani masalah semasa masalah itu masih kecil. Seperti penyakit ketagihan rasuah yang sedang dilakukan oleh pimpinan UMNO, mensabotaj parti juga merupakan budaya yang sudah diketagihi oleh mereka yang tidak berpuas hati terhadap isu-isu besar dan tidak bersetuju dengan calon-calon yang diturunkan oleh parti dalam pilihanraya dulu dan yang akan datang. Tindakan mensabotaj parti itu sudah tidak dirasakan apa-apa oleh pensabotaj ini kerana ia sudah menjadi perkara biasa.

Bagaimana pun kita tunggulah kesudahan kepada Perhimpunan Agung parti ini Sabtu depan. Ia tentunya merupakan perhimpunan yang sarat dengan isu-isu besar tetapi oleh kerana perwakilan telah di tentukan apa yang hendak diucapkan dan apa yang tidak perlu diucapkan di dalam perhimpunan ini,  tidaklah saya ketahui panas mana atau sejuk mana hasil dari perhimpunan yang terakhir sebelum pilihan raya dan juga perhimpunan terakhir UMNO sebagai parti pemerintah, mungkin.

Tetapi yang perlunya kita tahu UMNO tidak akan pulih seperti yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin mereka kerana keretakan dalam parti itu serius dan merbahaya. Tetapi ahli-ahlinya tidak merasakan apa apa bahaya yang akan dihadapi oleh UMNO. Ramai di antara perwakilan dan pemerhati akan dijumpai di pusat-pusat karaoke di bandaraya sehari dua ini kerana inilah budaya ahli-ahli parti orang Islam ini setiap tahun semasa Perhimpunan Agungnya itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Deepak, Musa: Perwakilan Umno perlu tanya Najib

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Para perwakilan Umno perlu menuntut penjelasan daripada presiden mereka Datuk Seri Najib Razak berhubung pendedahan yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan yang disiar oleh tiga media alternatif sejak kelmarin.

Ianya berkaitan pendedahan Deepak yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Najib dan juga beberapa pendedahan yang turut berkait dengan pembunuhan wanita Moggolia Altantuya Shaariibuu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, para perwakilan Umno perlu mendapat penjelasan daripada Najib berhubung pendedahan Deepak itu demi membersihkan imej Umno apatah lagi berdepan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

"Perwakilan perlu bangkit, soal dalam perbahasan dan Najib perlu jawab.

"Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung ini, medan terbaik untuk ahli Umno mendapat jawapan dari mulut Najib sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Selain isu Deepak katanya, perwakilan Umno juga perlu mendesak naib presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri yang didakwa campur tangan dalam penyiasatan polis seperti didedahkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan semalam.

Menurut Mahfuz, beliau tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu di belakang Deepak dan Musa yang mahu menekan Najib sehingga kedua-duanya berani tampil mendedahkan hal sebenar di saat Najib dan Umno sedang dalam perhimpunan agung mereka.

"Pendedahan ini dibuat pada waktu yang sangat strategik seperti telah dirancang pihak tertentu.

"Najib perlu perjelas sama ada Deepak dan Musa  ini adalah permainan Muhyiddin untuk menekan beliau untuk berundur, atau ianya memang dakwaan sebenar," soalnya.

Sorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa turut sependapat bahawa ada pihak lain di belakang kenyataan 'eksplosif' Deepak dan Musa itu.

"Saya yakin, Deepak tidak berani membuat kenyataan jika beliau tidak mendapat apa-apa jaminan oleh sesiapa. Bermakna, ada pihak dalaman menggerakkan tindakan Deepak," kata Husam.

Kenyataan yang disiarkan dalam lamannya, Husam.com itu mencadangkan agar, "Umno melepaskan Najib".

"Melepaskan Najib sebelum pilihanraya mungkin menaikkan sedikit harapan Umno untuk meneruskan survival - di atas premis PM baru akan sentiasa membawa harapan baru," jelas Husam.

Pengundi luar negara: SPR tidak tepati janji

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menepati janjinya untuk memberi peluang kepada pengundi-pengundi luar negara mengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, SPR sepatutnya membentangkan 'statute paper' dan menteri seharusnya memaklumkan kepada parlimen berkenaan pindaan Peraturan Pengurusan Perjalanan Pilihan Raya.

"Malangnya ia tidak ada, sedangkan hari ini adalah sidang parlimen terakhir sebelum pilihan raya yang dijangka berlaku pada bila-bila masa," katanya kecewa.

Jelas Fuziah, sewaktu SPR berjumpa ahli-ahli Parlimen mereka mengatakan kertas tersebut akan dibentangkan pada sidang parlimen kali ini.

"SPR telah menafikan hak rakyat yang berada di luar negara untuk mengundi," katanya.

Turut bersama dalam sidang media ini, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahamud.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata, perkara ini sudah diputuskan dalam Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya (PAC) yang dibentangkan pada April lepas.

Malah katanya, perkara ini tidak melibatkan perlembagaan dan ianya hanya peraturan di bawah kuasa SPR sahaja.

"Jadi kita beranggapan setelah jaminan diberi dan diputuskan dalam PAC, ianya akan dibentangkan. Tetapi sampai hari ini tidak ada satu pindaan, maka statusnya sama.

"Jadi tidak ada kemajuan baik pulih dan penambahbaikan pilihan raya seperti mana yang kita minta," katanya dalam sidang media.

Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw meminta SPR menjelaskan mengapa mereka tidak dapat menunaikan janji untuk membuat pindaan tersebut dalam sidang parlimen kali ini.

"Apa sebab musababnya, adakah SPR akan bentang pada Mac 2013 nanti?" tegasnya.

Menteri bohong, JAS tak sokong kondo 29 tingkat

Harakahdaily,


SHAH ALAM: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berbohong apabila mendakwa projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves mendapat sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
 
Sebaliknya JAS, melalui satu kenyataan bertarikh 24 Januari 2007, jelas tidak menyokong projek yang dimajukan oleh Dolomite Industries Company Sdn Bhd itu.

Bagaimanapun pemaju projek tersebut tetap berdegil meneruskan pembangunan tanpa mengambil kira pendirian JAS, lapor Selangorku.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuada Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong dalam sidang medianya di lobi bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“JAS tidak pernah keluarkan surat sokongan seperti yang didakwa Menteri Perumahan dalam laporan Malaysiakini bertajuk “Chor: Dolomite kemuka penyelesaian kejuruteraan” 19 November 2012 lalu,” kata Elizabeth.

Elizabeth turut menunjukkan laporan JAS yang ditandatangani Pengarah JAS Negeri Selangor, Rosli Zul yang jelas tidak menyokong pembangunan tersebut memandangkan ianya boleh menimbulkan masalah tanah runtuh.

Elizabeth juga memberitahu sehingga kini, sembilan blok bangunan komersil projek itu telah disiapkan tetapi belum diduduki kerana masih belum mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Terdahulu, Majlis Perbandaran Selanyang ketika era pentadbiran Umno-BN telah memberi kebenaran merancang kepada projek yang terletak di kira-kira 180 meter dari Kuil Mahamariamman, Batu Caves.

Bagaimanapun projek itu menerima tentangan masyarakat Hindu yang bimbang ia akan menjejaskan struktur tanah Batu Caves yang merupakan tempat ibadat mereka.

Cerita selipar Jepun, siput babi jadi modal bahas



 
Seorang pembahas di Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini mencuit hati para perwakilan apabila beliau secara berjenaka mempersoalkan pengunaan perkataan "Islam" dalam nama parti PAS.

Ketua pembangkang di DUN Kelantan itu berkata, "Islam" dalam nama parti PAS bukan bermaksud parti itu benar-benar Islam – seperti juga nama objek atau individu tertentu.

"Tengok orang pakai selipar Jepun, bukan (maknanya orang itu) Jepun.

"(Seniwati) Siput Sarawak bukan siput. Siput babi juga bukan babi," kata Alwi yang turut mengundang ketawa kecil dari penonton perbahasan di ruang legar PWTC.

Alwi seterusnya membandingkan bahawa PKR hanya "mencampurkan" Melayu, Cina dan India berbanding BN yang disifatkannya sebagai "penyatu" Melayu, Cina dan India.

Bagaimanapun, ketiga-tiga kelompok kaum itu – yang diumpamakannya sebagai tanaman beras, gandum dan jagung – memerlukan suasana dan persekitaran berbeza untuk tumbuh subur.

Katanya, tanaman berkenaan dan terbantut pertumbuhannya jika ditanam bersama di dalam satu bendang.

"Padi kena tanam di bendang padi. Gandum kena tanam ladang gandum. Jagung kena tanam ladang jagung.

"Apabila bubur, roti dan jagung kita letak sebelah menyebelah barulah kita boleh makan.

"Kalau semua kita campur sekali (dari awal) boleh makan tak?

"Itulah konsep BN. Bukankah elok pemimpin-pemimpin kita sudah buat sejak dahulu lagi?", soalnya.

Tuduhan Deepak: Projek mega cah keting dalam Umno

Abdul Aziz Mustafa,


KUALA LUMPUR: Pendedahan demi pendedahan Deepak Jaikishan menandakan bermulanya "projek mega cah keting berprofil tinggi dalam Umno," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pendedahan-pendedahan ahli perniagaan itu juga menyebabkan apa sahaja yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibalas dengan satu tempelakan sahaja iaitu "jawab Deepak dahulu"

"Najib boleh bertempik bermegah dengan beribu retorik sekalipun, tetapi apa sahaja yang beliau kata terutama sepanjang Perhimpunan Agung Umno kini akan dibalas dengan satu tempelakan sahaja sahaja iaitu 'jawab tuduhan-tuduhan Deepak dahulu'.

"Walaupun Najib buat-buat tak tahu tetapi dia tahu dan semua orang tahu bahawa apa sahaja yang dia cakap tidak ada gunanya lagi kerana orang hanya mahu dengar penjelasan beliau mengenai tuduhan-tuduhan Deepak sahaja," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Deepak juga akan melakukan u-turn seperti yang berlaku dalam Akuan Bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam dahulu, Mohamad berkata kemungkinan itu tidak boleh ditolak kerana Najib mungkin akan menggunakan segalanya kuasanya sebagai Perdana Menteri dalam keadaan terdesak ini.

"(Isteri Najib, Datin Seri) Rosmah (Mansor) juga tak mungkin duduk sahaja dan berdiam diri dalam keadaan sekarang.

"Semua orang tahu dialah yang paling berkuasa sehingga didakwa di sana-sini bahawa (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) pun takut kepadanya.

"Dengan kuasanya yang katanya begitu hebat itu, tentu Rosmah akan buat sesuatu," kata Mohamad (gambar).

Tetapi, kata Mohamad, sama seperti kes Balasubramaniam dahulu di mana orang hanya percaya kepada SDnya yang pertama sahaja.

Mengulas lanjut mengenai apa yang disifatkannya sebagai "projek mega cah keting berprofil tinggi dalam Umno," beliau berkata, semua mata kini memandang ke arah Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Setakat itu sahaja saya diberitahu, semua mata memandang ke arah Dr Mahathir dan Muhyiddin bila Deepak membuat pendedahan demi pendedahan yang menyusahkan Najib," kata Mohamad.

Antara lain, Deepak mendedahkan bahawa SD kedua yang dibuat secara tergesa-gesa oleh Balasubramaniam, untuk menarik balik tuduhan awalnya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaariibuu, adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Tiada maaf lagi bagi mu, UMNO-BN pada PRU-13

Oleh Noor Jaafar



MAAF?…, tiada maaf bagi mu UMNO-BN, kerana kesalahan yang kamu (UMNO-BN) lakukan bukan sekali malah banyak kali sejak 55 tahun memerintah.

Kalau rakyat masih boleh memaafkan UMNO-BN, bermakna rakyat tidak sensitif atau merelakan apa saja kesalahan yang dilakukan pemimpin UMNO-BN sebelum ini.

Boleh dikatakan hampir setiap kali dalam 12 kali pilihan raya umum pelbagai penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang dilakukan pemimpin UMNO-BN, tetapi rakyat masih ‘merelakan’ UMNO-BN memerintah negara ini.

Ia jauh berbanding sikap rakyat dan pemimpin negara lain, mereka akan tukar kerajaan atau pemimpin meletakkan jawatan jika berlaku dan melakukan penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah.

 Hanya pada PRU-12, hasil kerjasama tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR, DAP dan PAS, menampakkan rakyat semakin sedar dan mahu menukar kerajaan sebab itu UMNO-BN kehilangan dua pertiga majoriti.

Kalau tidak lama dulu, UMNO-BN dihantui isu BMF di Hong Kong, kini banyak lagi penyelewengan yang didedahkan menjelang PRU-13 tidak lama lagi, termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene, projek ternak lembu NFC (National Feedlot Corporation) dan PKFZ yang membazirkan ribuan juta wang rakyat.

Mungkin rakyat maafkan UMNO-BN kerana mereka tidak faham bahawa duit yang diseleweng atau ‘disonglap’ pemimpin UMNO-BN itu duit mereka sebab itu UMNO-BN masih dipilih memerintah negara.

Rakyat baru bangkit dari tidur

Bagaimanapun pada PRU-13 nanti mungkin berlainan, rakyat sudah sedar dan faham, mereka dilihat mula bangkit daripada ‘tidur’ tidak lagi akan mengizinkan wang rakyat dibelanjakan diselewengkan sewenangnya walaupun UMNO-BN mengumpan mereka dengan pelbagai habuan termasuk BR1M, baucer buku 1Malaysia, bantuan RM100 kepada pelajar sekolah dan Skim Tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi.

Mereka mula yakin kepada Pakatan Rakyat apabila kerajaan negeri yang diperintah PR membuktikan pemimpin mereka bersih, tidak menyeleweng dan rasuah seperti yang diperakui menerusi laporan Ketua Audit Negara terhadap prestasi kewangan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan.

UMNO-BN lemas, Najib sanggup bersumpah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib nampak semakin ‘lemas’ sebab itu merayu supaya rakyat memaafkan mereka sekali lagi pada PRU-13 nanti untuk membolehkan UMNO-BN membaiki kesilapan atau terus sebaliknya terus melakukan kesalahan yang sama.

Rayuan Najib itu bukan pertama kali, malah sudah acap kali dilafazkan termasuk ketika melakukan lawatan rasmi ke Kelantan, Kedah dan Selangor sebelum ini.

Pemimpin PR juga sudah berjanji akan memerintah negara lebih baik daripada UMNO-BN sebagaimana yang dibuktikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dan jika mereka gagal rakyat boleh menumbangnya semula pada PRU-14.

Sekarang rakyat juga sedar, mereka kini dibebani dengan pelbagai masalah termasuk harga barang mahal, minyak mahal, gaji rendah dan pelbagai hutang, tidak termasuk terpaksa membayar cukai, kompaun saman polis, JPJ dan yang termasuk menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diharamkan di negeri yang diperintah PR.

Jauh panggang daripada api berhubung dakwaan UMNO yang mereka membela bangsa Melayu, agama dan negara kerana Kelantan yang diperintah Melayu juga dizalimi, mengutuk pari yang memperjuangkan Islam dan menjahanamkan negara menjadikan wang rakyat macam wangnya sendiri.

UMNO-BN cukup takut kalah PRU-13

Atas alasan itulah menyebabkan UMNO-BN cukup takut akan tewas pada PRU-13 nanti sebab itu mereka bertekad akan melakukan apa saja untuk kekal memerintah negara.

Sebab itu juga mereka mula memainkan sentimen agama, perkauman dan mengugut rakyat supaya takut memilih PR pada PRU-13 nanti.

Sebagai rakyat Malaysia, pencapaian kewangan negara dengan hutang yang begitu banyak tidak langsung membolehkan ia dibanggakan berbanding pencapaian beberapa negara jiran, termasuk Singapura yang tidak mempunyai banyak hasil tetapi sudah begitu jauh meninggalkan Malaysia.

Pada saat genting setelah tahu UMNO-BN akan kalah pada PRU-13, barulah Presiden UMNO sanggup bersumpah dengan nama Allah dan Rasul berjanji terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat rumpun Melayu, membenteng akidah umat dan memelihara agama Islam.

Bagaimanapun, rakyat diharap tidak termakan dengan janji manis UMNO-BN itu, malah membuka pintu hati untuk memberi peluang PR menterjemahkan amanah rakyat dengan lebih baik, termasuk menurunkan harga petroleum, membayar royalti minyak sehingga 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak, hapus PTPTN yakni pendidikan percuma, gaji minimum RM1,200 sebulan, harga kereta lebih murah dan hapuskan tol. – Roketkini.com

Perwakilan rayu rakyat Kedah beri peluang kedua



 
Seorang perwakilan dari negeri Kedah hari ini merayu kepada rakyat negeri itu supaya memberi peluang kedua kepada Umno dan BN untuk mentadbir negeri berkenaan selepas kecundang pada pilihan raya umum Mac 2008.

Dalam ucapannya, Datuk Othman Aziz menegaskan, Umno Kedah berjanji "menjadikan negeri itu cemerlang, tidak mahu merosakkan kepercayaan rakyat, dan menjadikan negeri itu maju" jika berjaya merampas semula negeri itu.

"Kami merayu bagi peluang kali kedua... Tidak ada parti yang membela rakyat selain melalui Umno dan BN.

"Ahli Umno dan pemerhati di luar sana, marilah kita berjanji dengan YAB Presiden, bahawa kita akan bingkas bangun, tegas, bekerja kuat supaya menang dan mengambil balik negeri Kedah," katanya membahaskan ucapan dasar presiden.

Beliau turut menyeru supaya ahli dan jentera supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan kepercayaan presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, golongan itu perlu bersatu padu bagi "mengembalikan kuasa kepada BN di negeri itu dan menunjukkan bahawa parti itu lebih baik daripada Pakatan Rakyat di negeri itu".

Beliau berkata demikian selepas membangkitkan beberapa persoalan yang menyentuh kelemahan pentadbiran Menteri Besar Kedah dari PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau antara lainnya membangkitkan isu penebangan balak untuk menjadi dusun dan ladang rakyat yang didakwa menjejaskan alam sekita serta masalah aliran tunai dan kekurangan pelajar yang didakwa dihadapi Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Selain itu, beliau turut menimbulkan dakwaan campurtangan dalam pentadbiran Perkhidmatan Awam Kedah, isu pelaburan di Kulim Hi-tech, dan isu kilang di Papua New Guinea.

"Bila tanya MB, (dia kata) saya tak tahu... Kita akan dedah bila tiba masanya," katanya.

Mengulas mengenai punca kekalahan Umno di negeri itu, Othman yang juga setiausaha Umno negeri berkata ia antaranya berpunca daripada tindakan kira-kira 4,000 ahli Umno yang tidak tidak keluar mengundi dan membuang undi rosak.

Katanya, tindakan itu membolehkan PAS memerintah negeri itu selepas menguasai lima kerusi dan dengan kelebihan undi kira-kira1600 undi atau 0.002 peratus sahaja.

"(Oleh) sebab itu kita akujanji, (situasi ini) tidak akan berulang pada pilihan raya akan datang," katanya sambil menambah pihaknya akan memujuk 292,012 pengundi atas pagar daripada lebih 1 juta orang pengundi di negeri itu dengan kerjasama Wanita Umno.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan rakan komponen BN untuk menarik lebih 150,000 pengundi Cina, lebih 64,000 pengundi India dan termasuk masyarakat Siam.

Mereka juga akan bekerjasama dengan Pemuda dan Puteri serta NGO untuk menarik kira-kira 40 peratus pengundi muda yang berumur bawah 40 tahun menyokong parti itu.

Othman berkata kekerapan lawatan Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddn Yassin ke negeri itu beberapa kali pada tahun lalu dan tahun ini, memberi isyarat bahawa "ada potensi mengambil balik" negeri itu daripada Pakatan Rakyat.