Sabtu, 20 Ogos 2011

Pemuda PAS edar sampul duit raya Bersih

Harakahdaily

RAWANG: Kempen untuk mendapatkan pilihanraya yang bersih dan adil dijangka semakin bersemarak di hari raya Aidil Fitri ini dengan pelbagai pendekatan.

Pemuda PAS Gombak misalnya mencetak dan menjual sampul duit raya Bersih. Ia memaparkan lapan tuntutan Bersih di belakang sampul itu.

Dua malam lalu, hampir 1,000 sampul itu dijual oleh Yang Dipertua PAS Gombak Ustaz Salahudin Nasir.

"Malam ini saya bawa 300 je, harap semuanya habis malam ini. 3 bungkus RM10 je," kata Salahudin ketika memberikan tazkirah di sebuah surau dekat sini.

Bagi beliau, masih ramai yang tidak tahu lagi apa tuntutan Bersih. Oleh itu, dengan menggunakan kad ini bermakna tuntutan ini diberitahu kepada lebih ramai orang, katanya.

Malam kelmarin, Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrulamin Bahrom mengajak semua jamaah surau itu agar memakai baju kuning untuk hari raya tahun ini.

Beliau juga mencadangkan agar kuih muih dibuat dengan warna kuning "dan jangan lupa kita buat juga pulut kuning,"
kata beliau.

Dengan cara ini, kata beliau ia akan mengingatkan semua orang tuntutan Bersih agar pilihan raya di negara ini dijalankan dengan bersih dan adil.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai masalah berkaitan dengan daftar pemilih dan penyelewengan sistem pilihan raya didedahkan kepada media.

Baru-baru ini empat bekas tentera mendedahkan mereka diarahkan membuang undi bagi pihak anggota tentera yang lain.

Ekoran itu, panglima angkatan tentera menyifatkan mereka melanggar etika tentera dan boleh disifatkan sebagai pembelot.

Namun kenyataan ini dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Pemuda PAS yang menganjurkan sidang media bekas tentera itu.

Tiada ulasan: