Saturday, May 8, 2010

Tiada sesiapa berkecuali jika salah guna masjid – Dr Hasan

hasan-ali08 Oleh Fazy Sahir


PETALING JAYA: Exco agama kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata tiada sesiapa berkecuali daripada dikenakan tindakan jika terbabit dalam menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik.

Beliau yang juga Adun Gombak Setia dan Pesuruhanjaya PAS negeri menegaskan, "politik partisan dengan tuduh menuduh sehingga membabitkan nama individu lain adalah dilarang sama sekali.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad Khamis lalu yang mempunyai bukti Umno -Barisan Nasional menggunakan masjid sebagai kempen meraih undi di Hulu Selangor.

Menurut Khalid, ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor pada 25 April lalu, BN telah menganjurkan satu majlis bacaan Yassin dan solat hajat di sebuah masjid, untuk kemenangan calon BN.

Majlis diadakan dua hari sebelum tarikh pengundian di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu.

"Tidak kira sesiapa pun, orang awam, PAS, Umno mahupun PKR tidak diizinkan menggunakan masjid sebagai pentas politik," kata Dr Hasan ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Beliau, "politik berpartisan dengan tuduh menuduh membabitkan nama individu secara langsung, jika dibiarkan boleh membawa orang yang mendengarnya menyokong mana-mana parti politik.

"Saya sendiri yang terlibat selama 30 tahun berdakwah di masjid tahu perkara itu tidak boleh dilakukan dengan bersebab," tegasnya.

DAP boleh menang di Sibu

Mengenai PRK Parlimen Sibu, beliau yakin peluang bagi DAP untuk menang amat cerah.

"Ini dilihat melalui sokongan penduduk tempatan yang mahukan perubahan yang di bawa oleh DAP sendiri," katanya.

Beliau berkata, "peluang kita cerah kerana melihat pengurusan parti yang terlibat menjalankan kerja-kerja dengan bagus serta kita lihat bagaimana mereka membantu menangani isu berbangkit di Sibu ini."

Selain itu katanya, komitmen daripada penduduk tempatan juga amat baik. Melalui perbualan dengan penduduk tempatan mereka mahu lihat perubahan dengan memenangkan DAP.

Ketika ditanya mengenai penglibatan PAS pada tahap ini beliau menjelaskan PAS Selangor akan menghantar 500 orang petugas termasuk para pemimpin bagi membantu calon Pakatan Rakyat dari DAP itu.

"Jentera PAS Selangor sendiri bersilih ganti datang dan pergi membantu. Target kami sehingga penamaan calon kami akan turunkan 500 orang bagi membantu calon," katanya.

No comments: