BN yang menurunkan Robert Lau Hui Yew untuk mempertahankan kerusi itu dicabar oleh wakil DAP Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron.
Hanya tiga orang mengemukakan borang apabila proses penamaan calon berakhir pukul 11 pagi tadi termasuk sesi bantahan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wong See Meng mengesahkan status ketiga-tiga mereka sebagai calon selepas sesi bantahan berakhir.
Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lepas.
Dalam pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Lim Chun
Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.
Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lepas, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).
Suruhanjaya Pilihan Raya menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon berikutan tiada isu dibangkitkan sepanjang tempoh bantahan selama satu jam.
Robert Lau merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.02 pagi diikuti Wong pada 9.03 pagi dan Narawi pada 9.25 pagi.
Mereka melaungkan slogan parti masing-masing tetapi keadaan adalah terkawal.
Ini adalah percubaan kali keempat bagi Wong untuk memenangi kawasan Sibu selepas tewas kepada Ahli Parlimen lima penggal Robert Lau pada 8 Mac 2008 dengan perbezaan 3,235 undi.
“Kami berharap gelombang kemenangan di Semenanjung akan berterusan di Sarawak,” kata pengarah pilihan raya BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
BN menang dalam dua pilihan raya lalu iaitu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor.
“Setiap pilihan raya kecil adalah penting bagi kami, malah sebelum ini Hulu Selangor juga sangat signifikan kepada kami.
“Kami hendak melihat sejauh mana rakyat menerima polisi kami,” kata Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri pada sidang media di sini.
Mengenai populariti BN di kalangan masyarakat Cina di Sibu, Timbalan Pengerusi BN ini berkata, masyarakat ini sangat penting memandangkan mereka merupakan pengundi majoriti di bahagian tersebut.
“Mereka merupakan peratusan terbesar, undi mereka sangat penting,” kata Muhyiddin.
Pada pilihan raya umum 2008 BN gagal memperoleh majoriti undi di kawasan Pelawan yang didominasi masyarakat Cina tetapi memenangi Sibu dengan sokongan pengundi Iban dan Melayu/Melanau.
“Harapan kami sekarang ialah di setiap kawasan, kawasan Melayu, kawasan Cina dan kawasan Iban, semua akan sokong kami,” kata Muhyiddin.
Dalam pada itu Penasihat DAP Lim Kit Siang menyifatkan pilihan raya kecil kali ini satu pertemuan sengit tetapi persaingan yang berpeluang untuk dimenangi.
“Kemenangan DAP di sini akan membawa pembangunan yang tidak pernah berlaku di sini dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang memandangkan BN mahu sangat mengekalkan kerusi ini,” kata Lim.
“Ini akan membawa kepada perubahan di Sibu di Sarawak dan peringkat persekutuan,” katanya.
Sebagaimana BN, PR juga mahu memenangi pilihan raya kecil untuk meningkatkan jumlah perwakilan mereka di Parlimen selepas kehilangan empat wakil rakyat yang keluar parti dan juga kerana dipecat.
Pada 25 April, wakil PKR gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor.
Kini PR mempunyai 77 kerusi di Dewan Rakyat iaitu 25 dari PKR, DAP (28), PAS (23) manakala Parti Sosialis Malaysia (satu).
Parti Progresif Sabah (Sapp) mempunyai dua wakil manakala Bebas pula lima.
BN menguasai 138 di Dewan Rakyat yang menawarkan 222 kerusi.
No comments:
Post a Comment